IKHTIAR MENDAPATKAN SIJIL SPM: SUATU TUNTUTAN DALAM PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN UMMAH
Terdapat sebahagian kecil dalam masyarakat kita yang berpendapat bahawa mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah satu perkara yang penting, ini kerana tanpa SPM pun boleh memperolehi kejayaan dalam kehidupan.
Isu pendidikan merupakan salah satu instrumen penting dalam pembangunan sesebuah negara. Dalam kehidupan yang serba moden kelulusan akademik terutamanya SPM menjadi salah satu perkara penting bagi setiap individu untuk melangkah ke peringkat pendidikan lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan. Walaupun sijil bukanlah penentu mutlak kejayaan namun sijil tetap menjadi syarat asas dalam kebanyakan urusan duniawi.
Dalam Maqasid Syariah sesuatu yang bersifat hajiyyah atau keperluan merujuk kepada perkara yang jika ditinggalkan tidak mengakibatkan kemusnahan nyawa namun boleh menyebabkan kesempitan dan kesukaran yang ketara. Imam al-Suyuti menyebut:
وَالْحَاجَةُ: كَالْجَائِعِ الَّذِي لَوْ لَمْ يَجِدْ مَا يَأْكُلهُ لَمْ يَهْلَك غَيْرَ أَنَّهُ يَكُونُ فِي جَهْدٍ وَمَشَقَّةٍ.
Maksudnya: “Al-Hajah (keperluan) itu seperti orang yang lapar. Jika dia tidak menemui makanan dia tidaklah binasa namun dia berada dalam kepayahan dan kesusahan.”
Dalam hal ini, memperolehi sijil SPM boleh dikategorikan sebagai perkara yang bersifat hajiyyat atau satu keperluan kerana tanpa sijil tersebut seseorang itu akan menghadapi kesulitan untuk melanjutkan pelajaran atau memperoleh kerjaya yang baik. Ini bertepatan dengan konsep Maqasid al-Umran iaitu tujuan syarak dalam pembangunan sosial dan tamadun termasuk dalam pengurusan pendidikan.
Peperiksaan dalam perspektif Islam
Islam mengiktiraf kewujudan proses penilaian bagi menilai kelayakan seseorang. Ini dapat dilihat daripada kisah Rasulullah SAW ketika mengutuskan Muaz bin Jabal R.A ke Yaman. Nabi SAW bersabda:
" كَيْفَ تَقْضِي " . فَقَالَ أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللَّهِ . قَالَ " فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللَّهِ " . قَالَ فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم . قَالَ " فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " . قَالَ أَجْتَهِدُ رَأْيِي . قَالَ " الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " .
Maksudnya: “Dengan apakah kamu akan berhukum? Maka Muaz menjawab: Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat dalam Kitabullah. Baginda bersabda: Sekiranya tidak terdapat dalam Kitabullah? Maka jawab Muaz: Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW. Baginda bertanya lagi: Sekiranya tidak terdapat dalam Sunnah Rasulullah SAW? Jawab Muaz: Aku akan berijtihad dengan pendapatku. Maka Rasulullah SAW bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufiq kepada utusan Rasulullah SAW.”
Berdasarkan hadis ini, ia menggambarkan bahawa Rasulullah SAW sendiri menguji kelayakan Muaz bin Jabal sebelum beliau ditugaskan ke Yaman sebagai pendakwah. Maka, peperiksaan atau ujian dalam konteks moden seperti SPM adalah suatu bentuk penilaian kelayakan yang selari dengan prinsip Islam.
Umat Islam tidak diajar hanya bertawakkal semata-mata tanpa berusaha dalam memperoleh sesuatu. Dalam hal ini, mengambil peperiksaan SPM merupakan salah satu usaha sebagai ikhtiar bagi memperoleh kemudahan dalam urusan duniawi manakala segala keputusan setelah itu barulah diserahkan kepada Allah SWT. Imam Ibn Hajar menyebut konsep tawakkal bukan bererti hanya menyerahkan sesuatu urusan kepada Allah SWT semata-mata tetapi perlu berusaha sebagai sebab untuk mendapatkan sesuatu perkara. Beliau menukilkan pandangan Imam Ahmad yang menyatakan bahawa burung yang bertawakal pun berusaha keluar pada waktu pagi untuk mencari makanan dan ini menunjukkan perlu kepada usaha dan ikhtiar kemudian barulah bertawakal kepada Allah SWT.[1]
Memperoleh sijil SPM merupakan satu bentuk ikhtiar dan usaha penting dalam kehidupan moden kerana ia menjadi syarat asas untuk melanjutkan pembelajaran yang lebih tinggi dan mendapatkan pekerjaan. Dari perspektif Maqasid Syariah sijil SPM termasuk dalam kategori hajiyyat (keperluan) yang jika tidak diambil boleh menyebabkan kesukaran dalam menghadapi kehidupan.
Islam tidak menafikan kepentingan kelulusan akademik sebagai instrumen untuk memudahkan urusan kehidupan bahkan ia selari dengan prinsip penilaian kelayakan yang wujud dalam sejarah Islam. Namun begitu setiap usaha mesti diiringi dengan tawakal yang benar kepada Allah SWT kerana rezeki dan kejayaan hakikatnya datang daripada-Nya
Wallahu’alam
Rujukan:
[1] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari. (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1379H) jld. 11 Hlm. 305
المراد بالتوكل اعتقاد ما دلت عليه هذه الآية: وما من دابة في الأرض إلا على الله رزقها ـ وليس المراد به ترك التسبب والاعتماد على ما يأتي من المخلوقين، لأن ذلك قد يجر إلى ضد ما يراه من التوكل، وقد سئل أحمد عن رجل جلس في بيته، أو في المسجد وقال: لا أعمل شيئا حتى يأتيني رزقي، فقال: هذا رجل جهل العلم، فقد قال النبي صلى الله عليه وسلم: إن الله جعل رزقي تحت ظل رمحي، وقال: لو توكلتم على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصا وتروح بطانا ـ فذكر أنها تغدو وتروح في طلب الرزق، قال: وكان الصحابة يتجرون ويعملون في نخيلهم والقدوة بهم