
PENYELEWENGAN DANA ZAKAT : MAQASID AL-TADAYYUN DAN AL-‘UMRAN ASAS INTEGRITI DALAM PENGURUSAN INSTITUSI AGAMA
Tular isu berkaitan penyelewengan dana zakat dalam institusi agama yang merupakan salah satu tonggak utama dalam sistem sosial Islam dan berperanan dalam memelihara kebajikan umat Islam. Sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah dalam pengurusan dana zakat merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah Allah SWT dan pengkhianatan terhadap kepercayaan masyarakat Islam.
Dalam Islam, integriti dan kejujuran merupakan satu kewajipan bagi setiap individu muslim lebih-lebih lagi individu yang bekerja dalam institusi agama yang membawa imej kepada agama Islam itu sendiri. Islam menegaskan bahawa setiap amanah yang diberikan adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Hal ini ditegaskan melalui firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّـهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah Al-Anfal: 27)
Pengkhianatan terhadap amanah bukan sahaja satu bentuk kecuaian moral tetapi juga satu bentuk dosa besar yang menjejaskan hubungan antara manusia dengan Tuhannya serta merosakkan kepercayaan dalam masyarakat
Dalam konteks pekerjaan, setiap individu Muslim hendaklah menanam dalam dirinya dan menghayati konsep Maqasid al-Tadayyun iaitu menunaikan amanah dan tanggungjawab kerja dengan penuh tekun bagi memperoleh keredaan Allah SWT. Oleh itu, setiap tugasan perlu dilaksanakan dengan niat mencari reda Allah SWT tanpa penyelewengan, penipuan atau kelalaian. Islam menuntut seseorang supaya berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan setiap amanah disempurnakan dengan sebaik mungkin. Hal ini selari dengan hadis Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan bersungguh-sungguh.”
(Riwayat al-Tabrani)
Pada masa yang sama juga, prinsip Maqasid al-‘Umran juga perlu diterapkan iaitu menjadi pekerja yang berintegriti demi menyumbang kepada pembangunan sosial dan kemajuan tamadun negara. Seorang pekerja yang berintegriti bukan sahaja menyumbang kepada produktiviti institusi tetapi turut memainkan peranan dalam membangunkan masyarakat dan negara yang maju serta beretika. Pembangunan yang seimbang antara aspek spiritual dengan material ini akan melahirkan sistem kerja yang adil, telus dan berkesan sekaligus memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap institusi Islam.
Penyelewengan dalam institusi agama terutamanya harta bukan sekadar pelanggaran etika kerja bahkan salah satu daripada dosa besar kerana mengambil harta amanah awam dan boleh mencemarkan kesucian agama.
Sekiranya disabit kesalahan, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman takzir dan tindakan yang berat terhadap pelaku. Setiap pihak yang terlibat perlu disiasat demi menegakkan keadilan dan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap institusi agama.
Dalam masa yang sama, setiap individu Muslim diseru untuk terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga ummah dengan menyalurkan laporan atau aduan kepada pihak berkuasa jika mengesan sebarang salah laku. Keberanian dalam menegakkan kebenaran adalah tanda keimanan dan keprihatinan terhadap kemaslahatan umat. Oleh itu, dinasihatkan kepada semua pihak agar memperkukuh nilai integriti, amanah dan ketelusan dalam setiap urusan terutamanya yang melibatkan harta umat Islam bagi mencapai reda Allah SWT.
Wallahu’alam