Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 70/2026: JENAYAH “DOXING” DAN PENCEROBOHAN MARUAH

TintaMufti.jpg

Mukadimah

Dalam era ledakan teknologi maklumat hari ini, sempadan privasi menjadi semakin nipis. Saban hari, masyarakat dihidangkan dengan fenomena yang dikenali sebagai doxing iaitu tindakan mendedahkan maklumat peribadi individu seperti nama, alamat, dan nombor telefon di media sosial tanpa kebenaran. Walaupun sering kali dilakukan atas alasan “menegakkan keadilan” atau menghukum pesalah sosial, tindakan ini sebenarnya merupakan satu bentuk pencerobohan hak peribadi yang serius.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Ybhg. Datuk Seri Mohd Khalid Ismail juga telah mengeluarkan kenyataan kepada umum mengenai aktiviti doxing dalam kalangan masyarakat terutamanya menerusi platform digital semakin berleluasa[1]. Lantaran itu, perbuatan menyebar dan mendedahkan maklumat peribadi kini telah diwartakan sebagai salah satu jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya disabitkan kesalahan tersebut berdasarkan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 130, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Seksyen 507E (1) dan Seksyen 507F (2) Kanun Keseksaan[2].

Sehubungan dengan itu, penulisan Tinta Mufti kali ini bertujuan mengulas jenayah doxing menurut perspektif Islam sebagai menzahirkan sokongan kepada pihak kerajaan dalam memelihara kesejahteraan rakyat, dan panduan hukum syarak kepada masyarakat.

LARANGAN MENGAMBIL HAK TANPA KEIZINAN

Secara asasnya, syariat Islam amat menitikberatkan soal kehormatan dan hak milik peribadi. Sebarang tindakan mengambil atau menggunakan hak orang lain termasuklah data peribadi tanpa keizinan pemiliknya adalah dilarang. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya.”

Surah al-Nur (27)

Dalil ini menunjukkan larangan terhadap orang beriman daripada memasuki rumah orang lain tanpa memberikan salam dan memohon keizinan terlebih dahulu. Perbuatan memasuki rumah orang lain tanpa keizinan dinilai sebagai suatu kesalahan kerana mencabuli dan mencerobohi hak orang lain. Pada masa yang sama, ayat ini turut menekankan kepentingan untuk memelihara konsep privacy (keperibadian). Jika memasuki rumah fizikal pun memerlukan izin, maka menceroboh “rumah digital” seseorang dan menyebarkan isinya kepada umum adalah lebih-lebih lagi dilarang.

MENYEBAR AIB DAN FITNAH: SATU PENGKHIANATAN MARUAH

Amalan doxing jelas bercanggah dengan syariat Islam kerana ia merupakan jambatan kepada penyebaran aib dan fitnah. Apabila maklumat sulit didedahkan, ia membuka ruang kepada tohmahan masyarakat yang tidak bersempadan. Kesannya, mangsa bukan sahaja kehilangan privasi, malah maruah diri dan keluarga tercalar hebat.

Lebih parah lagi, doxing sering kali menjadi instrumen “hukuman rimba” (vigilante justice) di mana seseorang dihukum oleh netizen sebelum sempat dibicarakan secara adil di mahkamah. Syariat Islam amat menegaskan prinsip tabayyun (menyemak kebenaran) dan keadilan dalam menghukum agar tiada pihak yang dizalimi. Tuntutan ini telah dijelaskan menerusi firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.”

Surah al-Hujurat (9)

ANALISIS MENURUT MAQASID SYARIAH

Jenayah doxing secara langsung menggugat prinsip-prinsip dalam Maqasid Syariah yang bertujuan menjaga maslahat manusia, antaranya termasuklah aspek memelihara nyawa (hifz al-nafs) memandangkan pendedahan alamat dan lokasi boleh mengundang ancaman fizikal serta tekanan mental yang ekstrem kepada mangsa,di samping memelihara harta (hifz al-mal) kerana maklumat peribadi yang tersebar terdedah kepada salah guna penjenayah siber bagi tujuan penipuan kewangan.

Selain itu, pencerobohan privasi ini turut menjejaskan usaha memelihara keturunan atau maruah (hifz al-nasl) memandangkan tindakan memalukan seseorang di khalayak akan memberi kesan jangka panjang kepada reputasi ahli keluarga serta keturunan mereka.

Sementara dalam konteks yang lebih luas, hal ini perlu dilihat menerusi lensa Maqasid Tadayyun (tujuan keberagamaan) yang menuntut penghayatan akhlak mulia serta Maqasid Umran (tujuan ketamadunan) yang menekankan pembinaan masyarakat yang harmoni, selamat, dan saling menghormati hak individu demi menjamin kestabilan sesebuah negara.

MENCONTOHI SIFAT AL-AMIN RASULULLAH SAW

Untuk membendung jenayah doxing ini daripada terus berleluasa, kami berpandangan bahawa masyarakat terutamanya umat Islam sewajarnya kembali meneladani keperibadian agung Rasulullah SAW. Baginda digelar sebagai al-Amin (yang amanah) jauh sebelum diangkat menjadi rasul kerana sifat jujur dan amanah dalam memegang rahsia serta urusan orang lain. Hal ini dibuktikan melalui riwayat dalam Sahih al-Bukhari yang menyatakan bahawa ketika Baginda SAW mula berdakwah secara terbuka, Baginda bertanya kepada orang ramai sama ada mereka akan mempercayainya jika Baginda SAW memberitahu tentang ancaman serangan musuh, dan mereka mengakui bahawa baginda SAW sentiasa berkata benar serta tidak pernah berdusta. Lafaz hadisnya seperti berikut:

لَوْ أَخْبَرْتُكُمْ أَنَّ خَيْلًا بِالْوَادِي تُرِيدُ أَنْ تُغِيرَ عَلَيْكُمْ أَكُنْتُمْ مُصَدِّقِيَّ؟ قَالُوا: نَعَمْ, مَا جَرَّبْنَا عَلَيْكَ إِلَّا صِدْقًا

Maksudnya: “Bagaimana pendapat kamu jika aku khabarkan kepada kamu bahawa ada pasukan berkuda di lembah yang ingin menyerang kamu, adakah kamu mempercayaiku? Mereka berkata: Ya,kami tidak pernah mendapati kecuali engkau seorang yang jujur.”

(Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, sifat amanah dalam mengendalikan maklumat merupakan cerminan terhadap keimanan seseorang. Rasulullah SAW telah bersabda bahawa:

لا إيمانَ لمن لا أمانةَ له ، ولا دينَ لمن لا عهدَ له

Maksudnya: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak amanah, dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji.”

(Riwayat Ahmad)

Daripada dalam hadis, dapat difahami bahawa agama sepatutnya terserlah dalam tingkah laku seseorang ketika bergaul dengan manusia, maka dia tidak menyakiti mereka, dan juga terserlah dalam perbuatannya secara peribadi dengan menjauhi perkara-perkara yang diharamkan serta melaksanakan apa yang diperintahkan. Bahkan, tindakan mendedahkan maklumat peribadi orang lain tanpa mendapat keizinan juga termasuk dalam perbuatan khianat, lebih-lebih lagi setelah berjanji untuk menyimpan kerahsiaan maklumat tersebut.

PENUTUP

Sebagai kesimpulan, perbuatan doxing bukanlah sekadar trend media sosial, tetapi merupakan satu dosa yang melibatkan pencerobohan hak sesama manusia. Kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk meruntuhkan karamah insaniah (kemuliaan insan). Marilah kita menjadi pengguna media sosial yang beretika, menjaga lisan dan jari-jemari daripada menyebarkan perkara yang boleh memudaratkan orang lain.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

8 SYAABAN1447H / 27 JANUARI 2026

[1] “Doxing” , laman sesawang Berita Harian , diakses pada 26 Januari 2026, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1500860/henti-dedah-maklumat-peribadi-doxing-kpn?source=widget

[2] “Doxing”, laman sesawang Sinar Harian, diakses pada 26 Januari 2026, https://www.sinarharian.com.my/article/765345/berita/semasa/sebar-data-peribadi-tanpa-kebenaran-satu-kesalahan-ndash-pdrm