Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 72/2026: MANIFESTASI KEYAKINAN UMMAH TERHADAP INSTITUSI FATWA

TintaMufti.jpg

 

MANIFESTASI KEYAKINAN UMMAH TERHADAP INSTITUSI FATWA

Pendahuluan

Fatwa memainkan peranan yang sangat fundamental dalam struktur kehidupan masyarakat Islam, bertindak sebagai panduan hukum yang menghubungkan teks suci al-Quran dan Sunnah dengan realiti kehidupan yang sentiasa berubah. Kepentingan fatwa bersumber daripada perintah Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 43:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.”

Ayat ini menerangkan kewajipan merujuk ahli ilmu termasuk dalam kalangan mufti dan para ulama, adalah asas membina kepercayaan masyarakat yang berteraskan kebenaran. Tanpa panduan ini, masyarakat terdedah kepada kekeliruan yang membawa kepada ekstremisme atau kelonggaran dalam amalan agama, seterusnya mengancam kestabilan sosial dan kerohanian ummah.

Dalam konteks di Wilayah Persekutuan, institusi fatwa melalui Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, memainkan peranan yang dinamik sebagai instrumen penyelarasan hukum syarak. Fatwa yang dikeluarkan bukan sekadar nasihat keagamaan, malah mendapat kedudukan perundangan yang mengikat setelah diwartakan di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505]. Ia selaras dengan prinsip Siyasah Syar'iyyah, yang memberi autoriti kepada pemerintah untuk menetapkan hukum demi kepentingan awam (Maslahah Mursalah).

Menelusuri sejarah fatwa di luar negara, evolusi institusi ini menunjukkan betapa Islam bersifat sejagat dan mampu beradaptasi sepanjang zaman dan masa. Pada era Khilafah Uthmaniyah, jawatan Sheikh al-Islam diwujudkan sebagai autoriti tertinggi bagi memastikan dasar negara tidak bercanggah dengan agama. Di Mesir, penubuhan Dar al-Ifta al-Misriyyah pada tahun 1895 menjadi titik permulaan kepada sistem kefatwaan moden yang lebih sistematik dan tersusun. Manakala di peringkat global, badan-badan seperti Majma’ al-Fiqh al-Islami kini memainkan peranan dalam ijtihad jama’i (ijtihad kolektif) untuk menyelesaikan isu-isu umat Islam di peringkat antarabangsa.

Peranan Institusi Fatwa dalam Melahirkan Kepercayaan Masyarakat

Fatwa berperanan sebagai penghubung ilmu, menyelaraskan tuntutan wahyu dengan keperluan semasa. Kepercayaan dan sokongan masyarakat sangat penting untuk keberkesanan institusi fatwa khususnya di Wilayah Persekutuan. Melalui institusi yang berwibawa, umat Islam dapat mengharungi cabaran kemodenan tanpa mengabaikan identiti dan ajaran agama yang sahih.

Hakikat fatwa dan hukum-hakam sentiasa berubah seiring dengan perubahan masa dan bersesuaian dengan konteks masyarakat setempat, selaras dengan pandangan Imam Ibn al-Qayyim yang menyebut:

فَصْلٌ فِي تَغْيِيرِ الْفَتْوَى ، وَاخْتِلَافِهَا بِحَسَبِ تَغَيُّرِ الْأَزْمِنَةِ وَالْأَمْكِنَةِ وَالْأَحْوَالِ وَالنِّيَّاتِ وَالْعَوَائِدِ

Maksudnya: “Fasal pada perubahan fatwa harus disesuaikan dengan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat kebiasaaan”.

Institusi fatwa memikul peranan penting dalam menguruskan perbezaan pandangan hukum syarak. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kesatuan dan keharmonian dalam masyarakat serta mengelakkan kekeliruan. Sebagai pihak yang berautoriti, institusi fatwa bertanggungjawab untuk menyelesaikan khilaf ini selaras dengan kaedah fiqh yang berbunyi:

حُكْمُ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan pemerintah mengangkat khilaf (percanggahan)”.

Institusi fatwa juga memikul tanggungjawab sebagai penghubung antara tuntutan wahyu dan realiti semasa dengan memastikan hukum-hakam Islam diaplikasikan secara relevan tanpa mengabaikan prinsip syarak yang sahih. Kepercayaan dan sokongan masyarakat terhadap kewibawaan institusi fatwa menjadi asas kepada keberkesanannya dalam membimbing umat Islam menghadapi cabaran kemodenan. Manakala fungsi autoriti fatwa pula penting dalam mengurus perbezaan pandangan hukum demi mewujudkan kesatuan, keharmonian serta mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat. Selari dengan satu kaedah fiqh yang masyhur menyatakan bahawa:

لَا يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الْأَحْكَامِ بِتَغَيُّرِ الْأَزْمَانِ

Maksudnya: “Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum-hakam selari dengan perubahan masa dan keadaan”.

Kepentingan Pembangunan Fatwa dengan Mewujudkan Akademi Fatwa

Dalam memajukan dan membangunkan institusi fatwa, pembentukan akademi fatwa merupakan satu asas penting bagi menerus dan meningkatkan lagi sustainability institusi fatwa. Pada zaman yang penuh dengan cabaran kemodenan, keupayaan untuk melahirkan individu yang berkelayakan terutamanya dalam pengeluaran hukum dan fatwa selari dengan kehendak masa semakin berkurangan. Perihal ini kerana kesukan untuk memenuhi kriteria mufti seperti yang telah digariskan oleh para ulama terdahulu. Imam al-Nawawi meletakkan beberapa syarat mufti antaranya ialah seorang muslim yang thiqah dan amanah, bebas dari kefasikan, menjiwai kefahaman hukum fiqh, minda yang sempurna dan kritis, mempu mengistinbat hukum dengan betul dan sentiasa berhati-hati.

Idea penubuhan akademi fatwa wajar disokong sebagai usaha melahirkan individu faqih yang memahami realiti semasa. Hal ini penting bagi memastikan maqasid syariah terpelihara dalam amalan dan ibadah masyarakat.

Peranan kepimpinan atau kerajaan dalam mencungkil dan melahirkan individu yang berkelayakan dan berjiwa mufti amatlah mustahak. Sebagaimana pandangan al-Khatib yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’, “Pemimpin seharusnya menilai keadaan para mufti dan melihat dalam kalangan mereka yang layak untuk mengeluarkan fatwa.”

Peranan akademi fatwa sebagai menyahut saranan kepentingan mencari ilmu dan melaksanakan tuntutan fardu kifayah demi mengangkat martabat ilmu dan fatwa. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Haramain tentang kelebihan menunaikan fardu kifayah kerana pelakunya telah melaksanakan kewajipan bagi pihak umat Islam serta menghilangkan beban mereka dalam melaksanakan tuntutan fardu kifayah. Menghasilkan individu yang berilmu, yang bertindak sebagai penghubung antara Allah SWT dengan menyampaikan ilmu syariat kepada masyarakat merupakan usaha yang sangat mulia. Perkara ini kerana dapat melahirkan individu yang mencapai kedudukan yang paling tinggi di sisi Allah SWT. Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Sufyan bin ‘Uyainah katanya: “Individu yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah SWT ialah golongan perantara yang menghubungkan antara Allah SWT dengan hamba-hamba-Nya iaitu para Rasul dan ulama”.

Cadangan penubuhan akademi fatwa merupakan langkah strategik dalam memastikan kelestarian serta pengukuhan institusi fatwa khususnya dalam menghadapi cabaran kemodenan yang semakin kompleks. Akademi ini berperanan melahirkan individu berkelayakan yang memenuhi kriteria mufti sebagaimana digariskan oleh para ulama termasuk keupayaan memahami realiti setempat dan menjaga maqasid syariah.

Sokongan kerajaan amat penting dalam mengenal pasti serta membangunkan tokoh berjiwa mufti demi menjamin kewibawaan fatwa yang dikeluarkan. Usaha ini bukan sahaja memenuhi tuntutan fardu kifayah malah mengangkat martabat ilmu dan ulama sebagai penghubung antara Allah SWT dan masyarakat, suatu kedudukan yang mulia dan tinggi di sisi-Nya.

Penutup

Kesimpulannya, institusi fatwa yang menjadi badan autoriti dalam kefatwaan dan hukum hakam syarak, adalah teras utama yang membimbing kehidupan umat Islam, dengan menggabungkan autoriti teks suci dengan realiti semasa. Hal ini amat signifikan di Wilayah Persekutuan, di mana pewartaan fatwa berkedudukan perundangan yang mengikat. Bagi menghadapi arus kemodenan yang kian mencabar, penubuhan akademi fatwa dicadangkan sebagai langkah strategik yang penting dalam mencari pelapis khususnya dalam konteks kefatwaan. Objektif utamanya adalah untuk melahirkan generasi mufti yang memiliki ciri thiqah (dipercayai) dan berkemampuan melaksanakan ijtihad jama’i (ijtihad kolektif). Usaha ini bukan sekadar memenuhi tuntutan fardu kifayah dan memelihara maqasid syariah. Ia juga merupakan tanggungjawab kepimpinan untuk menjamin kelestarian institusi ilmu yang berwibawa, membina kepercayaan masyarakat dan mengangkat martabat ulama sebagai penghubung antara hukum Allah SWT dan keperluan ummah.

 

SAHIBUS SAMAHAH TUAN AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

11 SYAABAN 1447H / 30 JANUARI 2026