Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 80/2026: FITNAH ‘PENYONDOL’ YANG MEMBAWA PADAH 

TintaMufti.jpg

FITNAH ‘PENYONDOL’ YANG MEMBAWA PADAH 

Pendahuluan

Perbincangan tentang gangguan orang ketiga dalam rumah tangga semakin kerap muncul dalam wacana masyarakat. Ada kes yang benar-benar melibatkan campur tangan sehingga hubungan suami isteri retak. Ada juga yang sekadar tuduhan tanpa asas kukuh. Dalam keadaan emosi yang mudah memuncak, masyarakat sering menghukum tanpa meneliti fakta dan disiplin hukum.

Islam tidak menafikan bahawa konflik rumah tangga boleh berlaku atas pelbagai sebab. Namun perbuatan merosakkan hubungan pasangan yang sah melalui hasutan dan manipulasi adalah satu bentuk kezaliman. Dalam masa yang sama, tuduhan tanpa bukti juga merupakan dosa yang berat. Oleh itu, isu ini perlu ditimbang dengan neraca yang adil dan berpandukan sumber yang sahih.

Larangan Perosakan Rumah Tangga

Dalam disiplin fiqh, perbuatan merosakkan hubungan suami isteri dikenali sebagai al-takhbib. Ia merujuk kepada tindakan mempengaruhi atau memperdaya sehingga timbul kebencian antara pasangan yang sah.[1] Perbuatan ini boleh berlaku sama ada terhadap isteri mahupun terhadap suami. Islam melihat kedua-duanya sebagai bentuk pengkhianatan terhadap akad. Nabi Muhammad SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ خَبَّبَ امْرَأَةً عَلَى زَوْجِهَا أَوْ عَبْدًا عَلَى سَيِّدِهِ

Maksudnya: Bukan dalam kalangan kami sesiapa yang merosakkan seorang isteri terhadap suaminya atau seorang hamba terhadap tuannya.

Riwayat Abu Dawud

Penggunaan frasa ‘bukan dalam kalangan kami’ mencerminkan satu amaran yang cukup keras. Hal ini kerana ia bukan sekadar teguran ringan, malah membawa kepada penafian terhadap akhlak serta manhaj yang dibawa oleh Baginda SAW.[2] Dalam erti kata lain, perbuatan tersebut telah terkeluar daripada petunjuk dan jalan hidup yang diredai Islam.

Makna takhbib meliputi perbuatan menipu, memburukkan pasangan, atau memperindahkan perceraian supaya pelaku dapat menguasai pasangan tersebut selepas hubungan itu runtuh.[3] Perbuatan ini dihukum haram dan tergolong dalam dosa besar kerana ia meruntuhkan ikatan yang sah serta menggugat struktur keluarga.

Dalam kerangka maqasid tadayun, keluarga ialah asas pemeliharaan agama dan keturunan. Apabila hubungan ini dirosakkan secara sengaja, maka kesannya tidak terhenti pada dua individu. Ia melibatkan anak-anak, maruah keluarga dan kestabilan masyarakat. Kerosakan ini bukan isu peribadi semata-mata. Ia menyentuh maslahat umum yang wajib dipelihara.

Walau bagaimanapun, hukum tidak boleh dijatuhkan secara pukul rata tanpa membezakan antara perosakan yang haram dengan perkahwinan kedua atau seterusnya yang berlaku secara sah dan teratur.

Beza antara “Penyondol” dengan Poligami

Syariat tidak menilai sesuatu isu berdasarkan sentimen awam atau istilah popular. Ia menilai melalui dalil dan kaedah hukum. Istilah “penyondol” ialah label sosial. Namun dalam fiqh, garis pemisahnya jelas. Sama ada berlaku perosakan rumah tangga yang sah, atau adakah berlaku perkahwinan yang memenuhi syarat syarak. Allah SWT berfirman:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya: “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil, maka seorang sahaja.”

Surah al-Nisa’ (3)

Ayat ini menjadi asas keharusan poligami. Namun keharusan itu terikat dengan syarat keadilan yang tegas. Sayyid Tantawi menjelaskan bahawa keadilan yang diwajibkan ialah keadilan yang mampu dilaksanakan secara zahir seperti nafkah, tempat tinggal dan giliran bermalam.[4] Jika aspek ini diabaikan, maka poligami berubah daripada rukhsah kepada kezaliman.

Di sinilah garis pemisahnya. Isteri kedua, ketiga atau keempat yang sah ialah wanita yang dinikahi melalui akad yang memenuhi rukun dan syarat, tanpa unsur takhbib (hasutan merosakkan) serta dengan kemampuan suami menunaikan keadilan. Akad tersebut berdiri atas hukum harus yang diikat dengan tanggungjawab.

Sebaliknya, “penyondol” merujuk kepada individu yang mendekati suami atau isteri orang dengan jalan meruntuhkan hubungan sedia ada. Di sini berlaku pencemaran pada niat dan jalan.

Penilaian hukum juga berkait dengan niat. Kaedah fiqh menyatakan bahawa setiap amalan dinilai berdasarkan tujuan pelakunya.[5] Jika niatnya merosakkan, maka hukumnya haram walaupun akhirnya berlaku akad. Jika niatnya menuju perkahwinan yang sah tanpa unsur perosakan, maka hukum asalnya kembali kepada harus. Tertakluk kepada syarat keadilan dan kemampuan.

Namun, niat sahaja tidak mencukupi. Jalan yang diambil turut dinilai. Kaedah fiqh menetapkan bahawa wasilah mengambil hukum maqasid.[6] Maka sekiranya jalan menuju perkahwinan disertai usaha memecah-belahkan pasangan yang sah, maka unsur haram tetap melekat walaupun akad akhirnya dimeterai.

Oleh yang demikian, tidak semua wanita yang mendekati lelaki berstatus suami adalah “penyondol”. Ada yang benar-benar melalui saluran sah dan menunggu penyelesaian hukum tanpa campur tangan merosakkan. Namun sesiapa yang meruntuhkan rumah tangga demi kepentingan peribadi, maka dia berada dalam wilayah larangan yang tegas. Membezakan kedua-duanya adalah tuntutan keadilan hukum, bukan pembelaan emosi.

Pelindungan Keluarga dalam Undang-Undang

Larangan merosakkan rumah tangga tidak berdiri atas asas moral semata-mata. Undang-undang Syariah di Malaysia turut mengiktiraf kepentingan melindungi institusi keluarga daripada campur tangan yang merosakkan. Perbuatan menghasut pasangan supaya berpisah, mengganggu keharmonian rumah tangga atau mencetuskan konflik boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan kesalahan jenayah Syariah.[7]

Peruntukan ini membuktikan bahawa keluarga bukan sekadar unit peribadi. Ia ialah asas struktur sosial yang mempunyai implikasi awam. Justeru itu, undang-undang bertindak sebagai benteng pencegahan sebelum kerosakan menjadi lebih parah. Pendekatan ini selari dengan prinsip sadd al-dhara’i‘ (menutup jalan yang membawa kepada kerosakan). Pencegahan didahulukan sebelum kemudaratan membesar.

Dalam masa yang sama, undang-undang keluarga Islam menetapkan bahawa poligami bukan hak mutlak tanpa kawalan. Seseorang suami tidak boleh mengikat perkahwinan kedua atau seterusnya tanpa kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah.[8] Mahkamah hanya akan memberikan kebenaran selepas menilai keperluan, kemampuan kewangan, keupayaan berlaku adil serta memastikan bahawa perkahwinan tersebut tidak mendatangkan darar (kemudaratan) kepada isteri sedia ada. Mekanisme ini menzahirkan prinsip keadilan yang menjadi syarat keharusan poligami dalam syarak.

Struktur perundangan ini memperlihatkan keseimbangan yang jelas. Perbuatan merosakkan rumah tangga ditegah dan dihukum. Keharusan poligami pula dikawal melalui prosedur kehakiman yang ketat. Ini menunjukkan bahawa sistem hukum Islam menimbang antara keharusan dengan perlindungan hak secara seimbang. Apa yang diharuskan tidak dibiarkan tanpa disiplin. Apa yang dilarang tidak dihukum tanpa asas.

Penutup

Isu gangguan rumah tangga menuntut ketegasan hukum dan keseimbangan penilaian. Jika benar berlaku takhbib (perbuatan menghasut atau merosakkan hubungan pasangan yang sah), maka ia adalah dosa besar yang ditegah keras oleh Nabi SAW serta diiktiraf sebagai kesalahan dalam kerangka undang-undang Syariah. Ia mencabul akad yang sah dan meruntuhkan asas hifz al-nasl (pemeliharaan keturunan).

Sebaliknya, tuduhan tanpa bukti yang kukuh juga satu kezaliman. Melabel seseorang sebagai “penyondol” tanpa asas yang jelas boleh tergolong dalam fitnah yang mencemarkan maruah dan merosakkan reputasi. Hukum tidak dibina atas sangkaan, apatah lagi sentimen media sosial. Kedua-dua bentuk kerosakan ini iaitu perosakan sebenar dan tuduhan melulu adalah sama-sama menggugat institusi keluarga dan kestabilan masyarakat.

Masyarakat awam perlu kembali kepada disiplin agama dalam menilai sesuatu isu. Jangan menghukum tanpa penelitian. Jangan menyebar dakwaan tanpa bukti. Setiap pertikaian rumah tangga mempunyai dimensi hukum yang memerlukan siasatan, bukan spekulasi. Pendidikan pra dan pascaperkahwinan perlu diperkasa agar pasangan memahami tanggungjawab, hak serta batas interaksi dengan pihak ketiga.

Agensi berkuasa pula perlu memperkukuh mekanisme pencegahan. Program kaunseling keluarga mesti diperkemas secara sistemik. Penguatkuasaan terhadap kesalahan yang melibatkan gangguan rumah tangga perlu dilaksanakan dengan tegas dan adil. Data perceraian yang sedia ada hendaklah diterjemah kepada dasar intervensi yang praktikal, bukan sekadar statistik tahunan.

Tuntasnya, rumah tangga yang terpelihara ialah asas kepada pembinaan umran (kestabilan dan pembangunan sosial). Hasutan dan fitnah hanya melahirkan kitaran perpecahan yang berpanjangan. Maka memelihara keharmonian keluarga bukan sekadar urusan peribadi, tetapi amanah kolektif. Mengabaikannya akan membuka pintu kepada kerosakan yang jauh lebih besar daripada isu yang diperdebatkan.

Wallahu a'lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

2 RAMADAN 1447H / 20 FEBRUARI 2026

 

Rujukan: 

[1] ‘Abd al-Muḥsin al-‘Abbād, Sharḥ Sunan Abī Dāwūd, vol. 30: 586. Teks asal:

يعني: أفسده عليه وعمل معه أعمالاً جعلته يتمرد على سيده ويعامله معاملة سيئة، وقد يكون ذلك التخبيب من أجل أن بينه وبين سيده عداوة، أو قد يكون له رغبة فيه فيريد أن يجعل سيده يزهد فيه ويرخصه ويبادر إلى التخلص منه فيشتريه.

[2] Ḥasan Abū al-Ashbāl, Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim, 7:,104. Teks asal:

(ليس منا)، أي: ليس من أخلاقنا ولا من هدينا ولا من سنتنا ولا من طريقنا أو طريقتنا، إنما هو من أخلاق غيرنا، فينبغي ألا يتخلق أحد من المسلمين بأخلاق غير المسلمين التي منها كيت وكيت وكيت مما ذكرت آنفاً.

[3] Muḥammad Shams al-Ḥaqq al-‘Aẓīmābādī, ‘Awn al-Ma‘būd Sharḥ Sunan Abī Dāwūd, jld. 14 (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah), 52: Teks asal:

(مَنْ خَبَّبَ زَوْجَةَ امْرِئٍ) أَيْ خَدَعَهَا وَأَفْسَدَهَا أَوْ حَسَّنَ إِلَيْهَا الطَّلَاقَ لِيَتَزَوَّجَهَا أَوْ يُزَوِّجَهَا لِغَيْرِهِ أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ (أَوْ مَمْلُوكَهُ) أَيْ أَوْ أَمَتَهُ أَيْ أَفْسَدَهُ عَلَيْهِ بِأَنْ لَاطَ أَوْ زَنَى بِهِ أو حَسَّنَ إِلَيْهِ الْإِبَاقَ أَوْ طَلَبَ الْبَيْعَ أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ (فَلَيْسَ مِنَّا) أَيْ مِنَ الْعَامِلِينَ بِأَحْكَامِ شَرْعِنَاقَالَ الْمُنْذِرِيُّ وَأَخْرَجَهُ النَّسَائِيُّ

[4] Muhammad Sayyid Tantawi, al-Tafsir al-Wasit li al-Qur’an al-Karim (Kaherah: Dar Nahdah Misr, 1997), 3, 335: teks asal:

أما العدل الذي جعله الله شرطا في جواز الجمع بين الزوجات فهو العدل الذي يتعلق بالتسوية فيما يقدر عليه الإنسان ويملكه مثل التسوية بينهن في النفقة والكسوة والسكنى والمبيت.

[5] Muhammad Sidqi al-Burno, Mawsu‘ah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2003), 1:124:

أن أعمال المكلف وتصرفاته القولية والفعلية والاعتقادية ترتتب عليها نتائجها وأحكامها الشرعية تبعاً لمقصود المكلف وغايته وهدفه من وراء تلك الأعمال والتصرفات.

[6] Muhammad bin Husayn al-Jizani, Ma‘alim Usul al-Fiqh (Riyadh: Dar Ibn al-Jawzi), 297:

الوسائل لها أحكام المقاصد فما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب، وما لا يتم المسنون إلا به فهو مسنون، وطرق الحرام والمكروهات تابعة لها، ووسيلة المباح مباح.

[7] Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559].

[8] Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303], Seksyen 23.

Wallahu a'lam