
ANTARA AGAMA DAN NYAWA: MEMPERBETULKAN KEKELIRUAN TENTANG HUBUNGAN HIFZ AL-DIN DAN HIFZ AL-NAFS
Islam merupakan agama yang diturunkan bagi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan hidup manusia secara menyeluruh, sama ada dalam aspek duniawi mahupun ukhrawi. Justeru setiap pensyariatan dalam Islam didasari kepada objektif kemaslahatan kepada manusia itu sendiri, terutamanya dalam menjaga kemaslahatan terhadap lima perkara yang dianggap sebagai asas penting kepada manusia, iaitu pada sudut penjagaan terhadap agama, nyawa, akala, keturunan dan harta mereka. Hal ini ditegaskan oleh Imam al-Ghazali dengan kata beliau:[1]
ومقصود الشرع من الخلق خمسة: أن يحفظ عليهم دينهم ونفسهم وعقلهم ونسلهم ومالهم، فكل ما يتضمن حفظ هذه الأصول الخمسة فهو مصلحة، وكل ما يفوت هذه الأصول فهو مفسدة ودفعها مصلحة
Maksudnya: “Sesungguhnya tujuan syariat terhadap manusia ada lima, iaitu untuk memelihara agama mereka, nyawa mereka, akal mereka, keturunan mereka dan harta mereka. Maka setiap perkara yang mengandungi pemeliharaan terhadap lima asas ini adalah suatu maslahah, dan setiap perkara yang menyebabkan hilangnya asas-asas tersebut adalah suatu mafsadah, serta menolaknya merupakan suatu maslahah”.
Sungguh pun kelima-lima prinsip asas dalam maqasid al-shari’ah ini difahami oleh masyarakat secara umumnya, namun dalam keadaan-keadaan tertentu yang melibatkan pertembungan antara maslahah dan mafsadah pada lima prinsip asas yang disebutkan sebagai al-kulliyyat al-khams ini sering kali menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan salah faham.
Dalam konteks pertembungan antara maslahah penjagaan agama dengan maslahah penjagaan nyawa, prinsip “penolakan mafsadah adalah lebih diutamakan berbanding penghasilan maslahah”[2], dan prinsip “memilih mafsadah yang lebih ringan”[3] perlu dijadikan sebagai panduan dalam menetapkan hukum. Justeru, bukanlah syariat mengutamakan nyawa berbanding agama, ataupun sebaliknya, namun penilaian tahap maslahah dan mafsadah perlulah dilakukan pada ketika berlakunya pertembungan bagi menentukan tindakan yang lebih utama untuk dilakukan.
Sehubungan dengan itu, dalam permasalahan seseorang yang sedang solat lalu dia mendapati terdapat seseorang yang berada dalam keadaan berbahaya, maka hukum syarak membenarkan untuk dia memutuskan solat yang sedang didirikan walaupun asalnya tidak boleh bahkan haram memutuskan solat tanpa ada sebarang sebab yang diizinkan syarak[4]. Firman Allah SWT:
وَلا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu.
Surah Muhammad (33)
Walaupun begitu, menurut pandangan para fuqaha, solat boleh bahkan wajib diputuskan dalam keadaan darurat, khususnya apabila terdapat keperluan mendesak untuk menyelamatkan nyawa atau menghilangkan bahaya terhadap seseorang seperti kes lemas, diserang binatang buas dan seumpamanya sekiranya orang yang sedang solat itu mampu memberikan pertolongan. Situasi ini kerana kewajipan menjaga nyawa dan menolak kemudaratan didahulukan berbanding meneruskan solat pada ketika itu.[5] Imam Izzuddin Ibn Abd Salam menjelaskan: “Dalam situasi pertindihan antara dua tuntutan, menyelamatkan nyawa insan yang terancam lemas hendaklah didahulukan daripada menunaikan solat pada waktunya. Hal ini kerana menyelamatkan nyawa seorang Muslim yang terpelihara darahnya merupakan maslahat yang lebih besar dan lebih utama di sisi Allah SWT berbanding pelaksanaan solat pada ketika itu. Tambahan pula, kedua-dua maslahat tersebut masih boleh dihimpunkan dengan cara menyelamatkan mangsa terlebih dahulu, kemudian menggantikan solat yang tertinggal.[6]”
Kesimpulannya, syariat Islam dibina atas asas menjaga kemaslahatan manusia melalui pemeliharaan lima prinsip utama maqasid al-shari‘ah. Dalam keadaan berlaku pertembungan antara dua maslahat seperti penjagaan agama dan penjagaan nyawa, penentuan hukum hendaklah dibuat berdasarkan penilaian tahap maslahah dan mafsadah dengan berpandukan prinsip mendahulukan penolakan mudarat serta memilih mudarat yang lebih ringan.
Oleh itu, keharusan bahkan kewajipan memutuskan solat untuk menyelamatkan nyawa dalam keadaan darurat bukanlah bererti mengutamakan nyawa secara mutlak ke atas agama tetapi merupakan pelaksanaan tuntutan syarak yang menilai keutamaan berdasarkan situasi iaitu menyelamatkan nyawa didahulukan dan solat tetap ditunaikan semula selepas itu, sekali gus menghimpunkan kedua-dua maslahat tersebut.
Dalam isu pertembungan antara tuntutan ibadah dan kewajipan menyelamatkan nyawa, keutamaan yang diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa jelas mencerminkan keluasan, keseimbangan dan rahmat syariat tanpa sedikit pun menjejaskan atau merendahkan kedudukan ibadah itu sendiri. Dengan kefahaman yang tepat ini umat Islam dapat menghayati dan melaksanakan ajaran agama secara lebih bijaksana, berhemah serta selaras dengan maqasid dan tujuan sebenar pensyariatan Islam.
Wallahu’alam
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
6 RAMADAN 1447H / 24 FEBRUARI 2026
[1] Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad, “Al-Mustasfa min ‘ilm al-Usul”, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 174.
[2] ‘Ali Haydar (1991), “Durar al-Hukkam fi Sharh Majallah al-Ahkam”, Beirut: Dar al-Jil, 1:41.
دَرْءُ الْمَفَاسِدِ أَوْلَى مِنْ جَلْبِ الْمَنَافِعِ. أَيْ: إذَا تَعَارَضَتْ مَفْسَدَةٌ وَمَصْلَحَةٌ يُقَدَّمُ دَفْعُ الْمَفْسَدَةِ عَلَى جَلْبِ الْمَصْلَحَةِ، فَإِذَا أَرَادَ شَخْصٌ مُبَاشَرَةَ عَمَلٍ يُنْتِجُ مَنْفَعَةً لَهُ، وَلَكِنَّهُ مِنْ الْجِهَةِ الْأُخْرَى يَسْتَلْزِمُ ضَرَرًا مُسَاوِيًا لِتِلْكَ الْمَنْفَعَةِ أَوْ أَكْبَرَ مِنْهَا يَلْحَقُ بِالْآخَرِينَ، فَيَجِبُ أَنْ يُقْلِعَ عَنْ إجْرَاءِ ذَلِكَ الْعَمَلِ دَرْءًا لِلْمَفْسَدَةِ الْمُقَدَّمِ دَفْعُهَا عَلَى جَلْبِ الْمَنْفَعَةِ
[3] ‘Ali Haydar (1991), “Durar al-Hukkam fi Sharh Majallah al-Ahkam”, Beirut: Dar al-Jil, 1:14.
إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِي أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا. لِأَنَّ الضَّرُورَاتِ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ، كَمَا وَضَّحْنَا فِي الْمَادَّةِ 21، فَإِذَا وُجِدَ مَحْظُورَاتٌ وَكَانَ مِنْ الْوَاجِبِ أَوْ مِنْ الضَّرُورِيِّ ارْتِكَابُ أَحَدِ الضَّرَرَيْنِ فَيَلْزَمُ ارْتِكَابُ أَخَفِّهِمَا وَأَهْوَنِهِمَا،
[4] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiy, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (Mesir: Matabi’ Dar al-Saufah, 1427H) Jld. 34 Hlm. 51
قَطْعُ العِبَادَةِ الوَاجِبَةِ بَعْد الشُّرُوعِ فِيهَا بِلَا مَسُوغٌ شَرْعِي غَيْر جَائِز بِاتِّفَاقِ الفُقَهَاءِ؛ لِأَن قَطَعَهَا بِلَا مَسُوغٍ شَرْعِي عَبَثٌ يَتَنَافى مَعَ حُرْمَةِ العِبَادَةِ
[5] Dr. Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh. (Damsyik: Dar al-Fikr, t.t) Jld. 2 Hlm. 1053
قد يجب قطع الصلاة لضرورة، وقد يباح لعذر. أما ما يجب قطع الصلاة له لضرورة فهو ما يأتي: تقطع الصلاة ولو فرضاً باستغاثة شخص ملهوف، ولو لم يستغث بالمصلي بعينه، كما لو شاهد إنساناً وقع في الماء، أو صال عليه حيوان، أو اعتدى عليه ظالم، وهو قادر على إغاثته
[6] Izzuddin Ibn Abd Salam, Qawa’id al-Ahkam fi Islah al-Anam. (Kaherah: Maktabah al-Kulliyah al-Azhariyyah, 1991H) Jld. 1 Hlm. 66
تَقْدِيمُ إِنْقَاذ الغَرْقَى المَعْصُومِين عَلَى أَدَاءِ الصَّلَاة لِأَنَّ إِنْقَاذُ الغَرْقَى المَعْصُومِينَ عِندَ اللهِ أَفْضَل مِن أَدَاءِ الصَّلَاة، وَالجَمع بَينَ المَصْلَحَتَين مُمْكِنٌ بِأَن يُنقِذَ الغَرِيق ثُمَّ يَقْضِي الصَّلَاة. وَمَعْلُومٌ أَنَّ مَا فَاتَهُ مِن مَصْلَحَةِ أَدَاءِ الصَّلَاة لَا يُقَارِبُ إِنْقَاذُ نَفْس مُسْلِمَة مِنَ الهَلَاك