Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 82/2026: PANDUAN SAF JEMAAH WANITA

TintaMufti.jpg

 

PANDUAN SAF JEMAAH WANITA

Mukadimah

Persoalan saf jemaah wanita di masjid dan surau sering menjadi perhatian khususnya menjelang bulan Ramadan apabila kehadiran jemaah meningkat dan kelihatan terdapat kekosongan atau kelompongan dalam saf bahagian wanita. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang kesempurnaan saf serta tahap kefahaman jemaah terhadap tuntutan merapatkan saf dalam solat berjemaah. Justeru, isu ketidak sempurnaan saf dalam kalangan jemaah wajar ditangani melalui panduan dan pengurusan yang baik agar solat yang ditunaikan mengikut ketetapan yang digariskan oleh Syarak.

Terdapat banyak hadis yang menceritakan berkaitan suruhan Nabi SAW agar meluruskan saf jemaah sebelum menunaikan solat. Antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ، مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Luruskan saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk dalam kesempurnaan solat.”

(Riwayat Muslim)

Hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu meninggalkan ruang-ruang bagi syaitan. Barangsiapa yang menyambungnya (saf) maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memotong saf, maka Allah akan memotongnya”

(Riwayat Abu Daud)

Hukum Merapatkan Saf

Menurut mazhab Syafi’i, merapatkan saf adalah perkara sunat ketika solat berjemaah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini berikut:

وَيُسَنُّ سَدُّ فُرَجِ الصُّفُوفِ، وَأَنْ لَا يُشْرَعَ فِي صَفٍّ حَتَّى يَتِمَّ الْأَوَّلُ وَأَنْ يُفْسَحَ لِمَنْ يُرِيدُهُ، وَهَذَا كُلُّهُ مُسْتَحَبٌّ لَا شَرْطٌ، فَلَوْ خَالَفُوا صَحَّتْ صَلَاتُهُمْ مَعَ الْكَرَاهَةِ وَقَدْ تَقَدَّمَ بَعْضُ ذَلِكَ (وَيُكْرَهُ وُقُوفُ الْمَأْمُومِ فَرْدًا) عِنْدَ اتِّحَادِ الْجِنْسِ.[1]

Maksudnya: “Disunatkan menutup segala kekosongan dalam saf, serta tidak memulakan saf yang baharu sehingga saf yang pertama disempurnakan. Disunatkan juga memberi ruang kepada sesiapa yang ingin menyertai saf. Kesemua perkara ini adalah sunat dan bukannya syarat sah solat. Oleh itu, jika mereka menyelisihinya, solat tetap sah tetapi makruh yang telah disebutkan sebahagian daripadanya sebelum ini. Dimakruhkan seseorang makmum berdiri bersendirian dalam saf apabila makmum itu daripada jantina yang sama.

Berdasarkan petikan tersebut, perbuatan menutup ruang kosong dalam saf, menyempurnakan saf yang hadapan sebelum memulakan saf baharu serta memberi ruang kepada orang yang ingin menyertai saf adalah perkara sunat bukan syarat sah solat. Oleh itu, jika perkara tersebut tidak dilakukan, solat tetap sah tetapi hukumnya makruh kerana meninggalkan anjuran yang dituntut.

Selain itu, makruh bagi seorang makmum berdiri bersendirian dalam saf apabila jemaah itu terdiri daripada jantina yang sama kerana ia bercanggah dengan tujuan penyusunan saf yang menekankan kesatuan dan kerapatan.

Panduan Saf Jemaah Wanita

  • Saf wanita hendaklah berada di belakang saf lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki sekiranya solat berjemaah bersama.
  • Dalam solat berjemaah, saf disusun bermula dari hadapan dan dipenuhi secara berturutan. Jika keadaan saf masih belum penuh, maka sunat untuk memenuhkan saf bermula daripada bahagian kanan dalam keadaan imam berada di tengah-tengah saf solat.
  • Saf hadapan perlu diisi dan disempurnakan terlebih dahulu sebelum membentuk saf baharu di bahagian belakang.
  • Kekosongan dalam saf disunatkan untuk dipenuhi dengan adab tanpa mengganggu atau menyakiti jemaah lain. Sekiranya terdapat kekosongan dalam saf dan tidak ada orang dari belakang yang mengisi kekosongan saf tersebut, makmum dalam saf yang sama hendaklah mengisinya dengan bergerak dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri.
  • Kedudukan saf kanak-kanak perempuan adalah bersama dengan wanita yang sudah baligh dan tidak dibezakan sama ada berada di hadapan atau di belakang wanita yang sudah baligh, dan ini merupakan pandangan dalam mazhab Syafi’i.[2] Namun, terdapat pandangan yang mengatakan bahawa sunat untuk didahulukan perempuan yang baligh berbanding kanak-kanak perempuan yang belum baligh.[3]
  • Bagi para ibu yang membawa kanak-kanak, menjadi tanggungjawab untuk memastikan bahawa mereka tidak menggangu para jemaah yang lain.

Wallahu a'lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

7 RAMADAN 1447H / 25 FEBRUARI 2026

 

Rujukan:

[1] al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). 1:493.

[2] Al-Syarwani, Abd al-Hamid, Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfat al-Muhtaj, (Kaherah: Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1983). 2:306.

(ثُمَّ النِّسَاءُ) ظَاهِرُهُ أَنَّ الْبَالِغَاتِ وَغَيْرَهُنَّ سَوَاءٌ

[3] Al-Bujairimi, Sulaiman Ibn Muhammad, Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Minhaj, (Kaherah: Matba’ah al-Halabi, t.t). 1: 360.

وَيُقَدَّمُ مِنْ الْإِنَاثِ الْبَالِغَاتُ عَلَى غَيْرِهِنَّ ح ل