RAMADAN BULAN ISLAH, BUKAN MUSIM REHAT
Pendahuluan
Dalam amanatnya di Kementerian Dalam Negeri, Perdana Menteri ke-10 menegaskan bahawa Ramadan ialah tarbiyatul ruhiyyah, iaitu madrasah pembinaan kekuatan dalaman dan disiplin diri, bukan ruang memperlahankan gerak kerja.[1] Penegasan ini merentas semua sektor. Ia menyentuh sesiapa sahaja yang bekerja sama ada di pejabat, di lapangan, di kilang, di pasar atau di rumah.
Namun demikian, setiap kali Ramadan menjelang, wujud kecenderungan menurunkan intensiti usaha atas alasan lapar dan dahaga. Waktu menjadi longgar. Fokus menjadi lemah. Tugasan tertangguh. Mutu perkhidmatan merosot sedikit demi sedikit tanpa disedari. Jika budaya ini dibiarkan, maka nilai kerja sebagai amanah akan terhakis dan bulan ibadah akan berubah menjadi musim toleransi terhadap kelemahan diri. Hakikatnya, Ramadan tidak melemahkan. Ramadan membentuk diri dan peradaban.
Seruan islah memutuskan rantai kelesuan
Islah adalah usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai.[2] Islah bererti pembaikan yang disengajakan. Ia bukan perubahan kosmetik. Ia pembetulan sikap. Secara fitrahnya, penat kerana berpuasa ialah hakikat jasmani. Akan tetapi, memanjangkan penat menjadi alasan kepada sikap culas ialah kegagalan rohani. Oleh itu, Nabi SAW sering menyeru setibanya Ramadan:
يَا بَاغِيَ الخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ
Maksudnya: “Wahai pencari kebaikan, majulah. Wahai pencari keburukan, berhentilah.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Seruan ini merupakan arahan untuk bergerak. Ia menuntut kemaraan, bukan pengunduran. Dalam masa yang sama, Islam memuliakan keletihan yang lahir daripada usaha halal:
مَنْ أَمْسَى كَالًّا مِنْ عَمَلِ يَدَيْهِ أَمْسَى مَغْفُورًا لَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang pada petang hari merasa letih kerana bekerja dengan tangannya, maka dia berada dalam keadaan diampuni.”
(Riwayat al-Tabarani)
Keletihan kerana amanah ialah maruah. Manakala keletihan kerana malas ialah kehinaan yang dibungkus dengan alasan. Oleh yang demikian, Ramadan memutuskan rantai kelesuan yang berpunca daripada sikap seseorang. Jika rasa letih dijadikan justifikasi untuk melengah-lengahkan kerja, maka disiplin akan runtuh. Jika disiplin runtuh, maka amanah akan terabai.
Lantaran itu, islah bermula dengan mematahkan rantaian ini. Puasa mendidik untuk kawalan diri bagi mengekang kecenderungan untuk berlaku keculasan. Kemudian, kecenderungan yang dikawal melahirkan disiplin. Di sinilah islah berlaku, pada titik dalaman seseorang sebelum ia terlihat pada prestasi luaran.
Disiplin itqan yang melonjakkan mutu
Seterusnya, Ramadan bukan sekadar membaiki kelemahan. Ia memperkukuh mutu pekerjaan. Rasulullah SAW menegaskan prinsip yang kekal sepanjang zaman:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya:“Sesungguhnya Allah mencintai apabila seseorang melakukan sesuatu pekerjaan lalu dia menyempurnakannya.”
(Riwayat al-Baihaqi)
Inilah itqan, ia adalah satu ketelitian, kesungguhan dan ketepatan. Ramadan tidak menggugurkan tuntutan ini. Sebaliknya, ia menjadi medan latihan yang menguatkannya. Perkara ini diperincikan oleh Imam al-Ghazali bahawa tujuan puasa di bulan Ramadan adalah untuk mematahkan dominasi hawa nafsu supaya jiwa menjadi teguh, lalu mampu mencapai darjat ketakwaan.[3] Jiwa yang kuat tidak mudah tunduk kepada gangguan. Ia stabil dan fokus.
Demikian juga, Wahbah al-Zuhaili menghuraikan bahawa puasa di bulan Ramadan menguatkan kehendak, mempertajam tekad, mengajar sabar serta membantu kejernihan akal dan ketajaman fikir.[4] Apabila kehendak menjadi kuat, maka kerja dilakukan dengan tuntas. Apabila sabar terlatih, maka tekanan diurus dengan matang. Apabila fikiran jernih, maka keputusan dibuat dengan tepat. Inilah lonjakan mutu yang lahir daripada disiplin rohani.
Roh ihsan yang menghidupkan kerja
Namun demikian, itqan sahaja belum memadai. Mutu memerlukan ruh. Di sinilah hadirnya ihsan di bulan Ramadan. Kamal Ibn al-Humam menjelaskan bahawa rasa lapar menumbuhkan empati terhadap golongan yang memerlukan.[5] Begitu juga Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan bahawa orang kaya yang merasai lapar tidak akan melupakan yang kelaparan.[6]
Daripada lapar lahir empati. Daripada empati lahir rahmah. Daripada rahmah lahir tindakan yang lebih tangkas dan prihatin. Inilah dimensi ihsan, bekerja bukan sekadar menyempurnakan prosedur, tetapi menyedari kesan kerja terhadap manusia lain.
Tambahan pula, Mustafa al-Siba‘i menyifatkan puasa sebagai pembinaan keberanian moral dan kekuatan kehendak.[7] Keberanian ini membebaskan manusia daripada alasan. Kekuatan ini mengangkat kerja daripada rutin kepada tanggungjawab yang bermakna. Maka, apabila itqan digabungkan dengan ihsan, maka suatu kerja menjadi ibadah yang hidup. Ia tepat. Ia prihatin. Ia bernilai.
Penutup
Ramadan menegaskan maqasid tadayyun dalam erti kata maksud beragama yang sebenar, iaitu menjadikan agama sebagai kerangka hidup yang memandu niat, tindakan dan disiplin diri. Beragama bukan sekadar ritual, tetapi penghayatan yang mengawal waktu, amanah dan akhlak ketika bekerja. Justeru itu, tadayyun melahirkan insan yang konsisten antara ibadah dengan tanggungjawab, antara puasa dengan produktiviti serta antara zikir dengan kesungguhan melaksanakan tugas.
Daripada tadayyun yang sahih itu lahirlah umran, yakni pembangunan kehidupan yang teratur, sejahtera dan bermaruah. Umran tertegak bukan hanya dengan struktur dan sistem, tetapi dengan manusia yang berintegriti, beriltizam dan berjiwa ihsan. Apabila Ramadan membentuk individu yang memurnikan niat serta menyempurnakan amanah, maka kesannya menjalar kepada keluarga, organisasi dan masyarakat. Lantas terbinanya peradaban yang stabil dan diyakini.
Sehubungan itu, Ramadan menjadi garis pemisah antara kesungguhan dengan kelalaian. Ia menolak sikap sambil lewa serta mematahkan budaya beralasan yang meruntuhkan kualiti diri. Islah menuntut pembaikan yang tegas dan terukur pada disiplin, amanah serta daya juang. Tadayyun dalam erti maksud beragama pula menundukkan seluruh gerak kerja kepada kesedaran ubudiyyah bahawa setiap tugas dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Daripada kesedaran inilah terbina integriti yang konsisten. Daripadanya lahir umran menerusi masyarakat yang kukuh, sistem yang diyakini serta peradaban yang bermaruah dan berdaya tahan.
Wallahu a'lam
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
8 RAMADAN 1447H / 26 FEBRUARI 2026
Rujukan:
[1] Anwar Ibrahim, “Teks Ucapan Verbatim YAB PM Sesi Pertemuan Bersama YAB Perdana Menteri di Kementerian Dalam Negeri,” Prime Minister’s Office of Malaysia, diakses 23 Februari 2026, https://www.pmo.gov.my/en/speeches-en/teks-ucapan-verbatim-yab-pm-sesi-pertemuan-bersama-yab-perdana-menteri-di-kementerian-dalam-negeri/.
[2] Pusat Rujukan Persuratan Melayu, s.v. "Islah," Kamus Dewan Perdana, diakses pada 24 Februari 2026, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=islah&d=382696&#LIHATSINI.
[3] Abu Hamid al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, (Beirut: Dar al-Fikr, n.d.), 1: 230. Teks asal:
مَقْصُودُ الصَّوْمِ الْخَوَاءُ، وَكَسْرُ الْهَوَى لِتَقْوَى النَّفْسُ عَلَى التَّقْوَى
[4] Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, (Beirut: Dar al-Fikr, 1985), 3: 1618. Teks asal:
وَالصَّوْمُ يُقَوِّي الإِرَادَةَ، وَيَشْحَذُ العَزِيمَةَ، وَيُعَلِّمُ الصَّبْرَ، وَيُسَاعِدُ عَلَى صَفَاءِ الذِّهْنِ وَاتِّقَادِ الفِكْرِ
[5] Kamal Ibn al-Humam, Fath al-Qadir, (Beirut: Dar al-Fikr, n.d.), 2: 42. Teks asal:
إنَّه لما ذاق ألم الجوع في بعض الأوقات، ذكر مَنْ هذا حالُه في عموم الأوقات، فتسارع الرقة عليه
[6] Ibn Rajab al-Hanbali, Lata’if al-Ma‘arif (Beirut: Dar Ibn Kathir, n.d.), 314. Teks asal:
عن بعض السلف أنَّه سئل:"لِمَ شُرِع الصيام؟ فقال: ليذوق الغني طعم الجوع فلا ينسى الجائع"
[7] Mustafa al-Siba‘i, Ahkam al-Siyam (Damascus: Dar al-Qalam, n.d.), 89. Teks asal:
رُجُولَةٌ مُسْتَعْلِنَةٌ وَإِرَادَةٌ مُسْتَعْلِيَةٌ
