Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 85/2026: PERNAHKAH RASULULLAH SAW MENGADILI GOLONGAN BUKAN ISLAM YANG MELAKUKAN KESALAHAN KETIKA MENTADBIR NEGARA?

TintaMufti.jpg

PERNAHKAH RASULULLAH SAW MENGADILI GOLONGAN BUKAN ISLAM YANG MELAKUKAN KESALAHAN KETIKA MENTADBIR NEGARA?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Persoalan berkenaan Rasulullah SAW mengadili dan menghakimi golongan bukan Islam yang didapati bersalah sering menjadi pertanyaan dalam kalangan masyarakat terutamanya yang beragama Islam. Pertanyaan seperti ini timbul kerana sifat yang tinggi untuk mencontohi akhlak Rasulullah SAW terhadap orang Islam mahupun bukan Islam. Justeru persoalan ini akan cuba dirungkai dalam Tinta Mufti pada kali ini.

Sebelum dibahaskan dengan lebih lanjut, perlu diketahui bahawa Rasulullah SAW bukan sahaja mengurus tadbir masyarakat Islam, bahkan baginda SAW turut memimpin sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai kaum dan agama. Di Madinah, selain kaum Muslimin, terdapat juga golongan Yahudi dan musyrikin yang hidup di bawah naungan pemerintahan Islam melalui perjanjian yang dimeterai. Mereka dikenali sebagai mu‘ahad atau ahli zimmah, iaitu golongan bukan Islam yang diberikan jaminan keselamatan dan kebebasan beragama. Islam menegaskan bahawa hak mereka hendaklah dipelihara serta tidak boleh dicerobohi sewenang-wenangnya, sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرَحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh seorang mu‘ahad (ahli zimmah), dia tidak akan dapat mencium bau syurga, sedangkan sesungguhnya baunya dapat dihidu dari jarak perjalanan empat puluh tahun”.

(Riwayat al-Bukhari)

Baginda SAW mengambil pendekatan damai dengan mengadakan perjanjian bersama mereka. Melalui perjanjian tersebut, kaum Yahudi diberikan kebebasan penuh dalam beragama serta jaminan terhadap harta benda mereka. Baginda SAW mengutamakan prinsip hidup bersama secara aman di bawah satu pemerintahan yang adil. Pendekatan ini mencerminkan kebijaksanaan politik dan keluasan rahmat Islam dalam mentadbir masyarakat majmuk.[1]

Dalam masa yang sama, perlindungan tersebut tidak bererti mereka kebal daripada undang-undang. Rasulullah SAW tetap mengadili kesalahan yang dilakukan oleh golongan bukan Islam apabila kes itu dibawa kepada Baginda SAW.

Antaranya peristiwanya ialah kes zina pasangan yahudi. Abdullah bin ‘Umar menceritakan bahawa, apabila pasangan yahudi tersebut datang merujuk kepada Nabi SAW, Baginda SAW meminta supaya dirujuk kepada hukum dalam kitab Taurat. Setelah terbukti bahawa hukuman rejam memang termaktub dalam kitab mereka dan cubaan menyembunyikan ayat tersebut terbongkar, Rasulullah SAW memutuskan hukuman berdasarkan ketetapan itu.[2]

Dalam peristiwa yang lain, kisah Bani Qurayzah, salah satu kabilah Yahudi di Madinah bersetuju untuk menerima keputusan hukuman yang akan diputuskan oleh Sa‘d bin Mu‘az RA selepas mereka melanggar perjanjian dengan Rasulullah SAW dalam peristiwa Perang Ahzab. Apabila mereka menyerah diri dan bersetuju untuk tunduk kepada penghakiman Sa‘d, Rasulullah SAW memanggil Sa‘d bin Mu‘az yang ketika itu dalam keadaan cedera. Baginda SAW bersabda kepada para sahabat: “Bangunlah kamu kepada pemimpin kamu.” Ini menunjukkan penghormatan terhadap kedudukan Sa‘d sebagai ketua Aus dan sebagai hakim yang dipilih dalam kes tersebut. Setelah Sa‘d duduk di sisi Rasulullah SAW, Baginda memaklumkan bahawa Bani Qurayzah telah bersetuju untuk menerima keputusannya. Maka Sa‘d memutuskan agar golongan lelaki yang terlibat dalam peperangan dihukum bunuh manakala wanita dan kanak-kanak dijadikan tawanan. Rasulullah SAW kemudian bersabda: “Sesungguhnya engkau telah menghukum mereka dengan hukum Allah (atau hukum Raja) dari atas tujuh langit.” Keputusan ini bukanlah tindakan sewenang-wenangnya, tetapi berdasarkan pengkhianatan berat yang dilakukan oleh Bani Qurayzah ketika keadaan Madinah berada dalam ancaman besar, serta selari dengan ketentuan hukuman dalam syariat mereka sendiri.[3]

Peristiwa ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW juga mengadili golongan bukan Islam apabila mereka melanggar perjanjian dan melakukan pengkhianatan terhadap negara. Dalam masa yang sama, hukuman tersebut diputuskan melalui proses penghakiman yang dipersetujui bersama, bukan secara zalim atau tanpa perbicaraan.

Dua peristiwa di atas membuktikan bahawa Baginda SAW menjalankan fungsi kehakiman dan keadilan terhadap bukan Islam secara adil dan berlandaskan prinsip perundangan yang diiktiraf.

Kesimpulannya, tindakan Rasulullah SAW dalam mengadili golongan bukan Islam membuktikan bahawa Islam adalah agama yang menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dan keadilan sejagat. Melalui peristiwa di zaman Rasulullah SAW ini, maka menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan keadilan tanpa prejudis, penghormatan terhadap perundangan negara dan tegas terhadap pengkhianatan negara.

Wallahu a'lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

13 RAMADAN 1447H / 3 MAC 2026

Rujukan:

[1] Safi al-Rahman al-mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum. (Damsyik: Dar al-’Usama’, 1427) Hlm. 132

وأقرب من كان يجاور المدينة من غير المسلمين هم اليهود- كما أسلفنا- وهم وإن كانوا يبطنون العداوة للمسلمين، لكن لم يكونوا أظهروا أية مقاومة أو خصومة بعد، فعقد معهم رسول الله صلّى الله عليه وسلم معاهدة ترك لهم فيها مطلق الحرية في الدين والمال، ولم يتجه إلى سياسة الإبعاد أو المصادرة والخصام.

[2] Al-Tabrizi, Misykat al-Masabih (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1985), jld. 2: hlm. 1057.

وَعَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ: أَن الْيَهُود جاؤوا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرُوا لَهُ أَنَّ رَجُلًا مِنْهُمْ وَامْرَأَةً زَنَيَا فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا تَجِدُونَ فِي التَّوْرَاةِ فِي شَأْنِ الرَّجْمِ؟» قَالُوا: نَفْضَحُهُمْ وَيُجْلَدُونَ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ: كَذَبْتُمْ إِنَّ فِيهَا الرَّجْمَ فَأْتُوا بِالتَّوْرَاةِ فَنَشَرُوهَا فَوَضَعَ أَحَدُهُمْ يَدَهُ عَلَى آيَةِ الرَّجْمِ فَقَرَأَ مَا قَبْلَهَا وَمَا بَعْدَهَا فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ: ارْفَعْ يَدَكَ فَرَفَعَ فإِذا فِيهَا آيةُ الرَّجم. فَقَالُوا: صدقَ يَا محمَّدُ فِيهَا آيَة الرَّجْم. فَأمر بهما النَّبِي صلى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرُجِمَا. وَفِي رِوَايَةٍ: قَالَ: ارْفَعْ يَدَكَ فَرَفَعَ فَإِذَا فِيهَا آيَةُ الرَّجْمِ تَلُوحُ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ إِنَّ فِيهَا آيَةَ الرَّجْمِ وَلِكِنَّا نَتَكَاتَمُهُ بَيْنَنَا فَأَمَرَ بِهِمَا فَرُجِمَا

[3] Muhammad bin Isma’il al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), no. hadis 3043, jld. 4: hlm. 67.

قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ بَنُو قُرَيْظَةَ عَلَى حُكْمِ سَعْدٍ ـ هُوَ ابْنُ مُعَاذٍ ـ بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، وَكَانَ قَرِيبًا مِنْهُ، فَجَاءَ عَلَى حِمَارٍ، فَلَمَّا دَنَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ قُومُوا إِلَى سَيِّدِكُمْ ‏"‏‏.‏ فَجَاءَ فَجَلَسَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ لَهُ ‏"‏ إِنَّ هَؤُلاَءِ نَزَلُوا عَلَى حُكْمِكَ ‏"‏‏.‏ قَالَ فَإِنِّي أَحْكُمُ أَنْ تُقْتَلَ الْمُقَاتِلَةُ، وَأَنْ تُسْبَى الذُّرِّيَّةُ‏.‏ قَالَ ‏"‏ لَقَدْ حَكَمْتَ فِيهِمْ بِحُكْمِ الْمَلِكِ ‏"‏‏.‏