Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 92/2026: KESALAHAN DALAM DAKWAAN FADHILAT SURAH AL-FIL BAGI MELUASKAN REZEKI

TintaMufti.jpg

 

KESALAHAN DALAM DAKWAAN FADHILAT SURAH AL-FIL BAGI MELUASKAN REZEKI

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Baru-baru ini terdapat seorang pempengaruh telah mendakwa bahawa bagi para peniaga yang ingin membuka pintu rezeki maka hendaklah membaca surah al-Fil. Individu tersebut menambah bahawa apabila surah ini dibaca tiga kali, maka Allah SWT akan ‘membuka’ pintu rezeki dan memberikannya daripada jalan yang tidak dijangka.

Melihat perkara ini, terdapat kesalahan dalam memahami perkataan rabbuka (رَبُّكَ) yang dianggap mengandungi maksud perbuatan membuka dalam Bahasa Melayu. Sedangkan maksud yang sebenar perkataan tersebut ialah ‘Tuhan kamu’. Terjemahan lengkap bagi ayat tersebut ialah ‘Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera bergajah?’. Hal ini jelas menunjukkan bahawa individu terbabit tidak memahami Bahasa Arab dan konteks ayat tersebut secara jelas. Tambahan pula perbuatan menyandarkan maksud sesuatu perkataan yang mempunyai cara sebutan yang sama dengan Bahasa Melayu adalah sesuatu yang tidak tepat dan bercanggah dengan pengamalan yang benar. Ini akan membawa kepada salah faham terhadap kandungan al-Quran itu sendiri.

Selain daripada itu, tiada sandaran daripada al-Quran dan sunnah yang membenarkan dakwaan yang disebutkan tersebut. Terdapat beberapa kaedah dan cara yang disebutkan melalui nas al-Quran dan hadis berkaitan amalan yang membuka pintu rezeki. Antaranya ialah bertaqwa kepada Allah SWT seperti yang disebutkan dalam surah al-Talaq, ayat 2-3. Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ‎﴿٢﴾‏ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ

Maksudnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

(Surah al-Talaq: 2-3)

Antaranya lagi ialah dengan memperbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Hal ini berdasarkan firmanNya:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ‎﴿١٠﴾‏ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ‎﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا ‎﴿١٢﴾‏

Maksudnya: Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. "(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

(Surah Nuh: 10-12)

Di samping itu, terdapat banyak lagi amalan yang warid daripada al-Quran dan Sunnah berkaitan amalan yang membuka dan meluaskan rezeki, maka sebaiknya dirujuk kepada kedua-duanya. Oleh yang demikian, kami ingin memberikan nasihat bahawa kefahaman agama hendaklah dirujuk kepada golongan ahlinya dan pihak yang beraurotiti. Hal ini bagi mengelakkan kesalahfahaman dan kekeliruan dalam ilmu agama apabila ia diambil daripada individu yang tidak berkeahlian. Ini seperti kata-kata yang disandarkan kepada Ibn Sirrin bahawa beliau berkata:

إن هذا العلم دين ‌فانظروا ‌عمن ‌تأخذون دينكم

Maksudnya: Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka hendaklah kalian melihat daripada siapa kalian mengambil agama kalian.

Secara kesimpulannya, umat Islam hendaklah berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan sesuatu amalan yang dikaitkan dengan kelebihan atau fadhilat tertentu, khususnya apabila ia melibatkan ayat-ayat al-Quran. Setiap dakwaan berkaitan fadhilat sesuatu amalan hendaklah disandarkan kepada dalil yang sahih daripada al-Quran dan al-Sunnah serta difahami berdasarkan penjelasan para ulama yang muktabar. Hal ini penting bagi memastikan kesucian ajaran Islam terpelihara daripada sebarang bentuk penyalahgunaan, kekeliruan atau dakwaan yang tidak berasas.

Disamping itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan ingin menjemput individu yang mempunyai pemikiran sebegini untuk datang menemui pihak kami bagi sesi penjelasan dan nasihat yang lebih berfokus.

Waallahu a’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

26 RAMADAN 1447H / 16 MAC 2026