Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 95/2026: PUASA NON - MUSLIM: ANTARA PENGALAMAN DAN PENGARUH MASYARAKAT

TintaMufti.jpg

PUASA NON - MUSLIM: ANTARA PENGALAMAN DAN PENGARUH MASYARAKAT

Mukadimah

Golongan non-Muslim yang hidup dalam masyarakat majmuk adakalanya terdorong untuk mencuba pengalaman berpuasa pada bulan Ramadan, sama ada kerana pengaruh persekitaran mahupun sebagai tanda menghormati rakan dan jiran Muslim. Melalui amalan ini, mereka berpeluang merasai lapar dan dahaga sekali gus memahami nilai kesabaran dan disiplin yang menjadi teras ibadah puasa dalam Islam. Walaupun mereka tidak tertakluk kepada kewajipan serta ganjaran ibadah tersebut, pengalaman ini tetap memberi manfaat khususnya dari sudut kesihatan sebagaimana yang dibuktikan oleh pelbagai kajian saintifik. Secara tidak langsung, keadaan ini menjadi medium dakwah yang berkesan apabila mereka dapat melihat bahawa ibadah puasa bukan sahaja mempunyai nilai spiritual, bahkan turut disokong oleh penemuan saintifik yang menunjukkan kesan positifnya terhadap tubuh manusia.

Pensyariatan Puasa

Bulan Ramadan merupakan bulan yang dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai peluang untuk meningkatkan ketaqwaan. Kewajipan berpuasa ke atas umat Nabi Muhammad SAW sejajar dengan kewajipan berpuasa yang telah ditetapkan ke atas umat terdahulu, Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

Surah al-Baqarah (183)

Puasa diwajibkan ke atas individu yang beragama Islam kerana ia merupakan salah satu daripada rukun Islam. Sementara non-Muslim tidak diwajibkan berpuasa kerana ibadah ini adalah pensyariatan khusus serta ganjaran pahala untuk umat Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, puasa yang dilakukan oleh non-Muslim tidak dikira mendapat ganjaran pahala dan tidak sah menurut syarak.

Walau bagaimanapun, manfaat berpuasa terbukti memberikan kebaikan dan kesan positif kepada kepada semua yang berpuasa tanpa mengira kaum dan bangsa mahupun warna kulit. Lapar bukanlah suatu seksaan, sebaliknya boleh menjadi “ubat” kepada tubuh apabila diamalkan dengan cara yang betul. Hal ini dibuktikan melalui kajian oleh ahli saintis Jepun, Yoshinori Ohsumi yang menyatakan bahawa apabila seseorang menahan lapar, tubuh akan mengaktifkan proses autophagy iaitu mekanisme semula jadi yang “memakan” sel-sel rosak atau tidak berfungsi bagi memberi ruang kepada pembentukan sel yang lebih sihat. Selain itu, paras insulin juga mula menurun dan membantu mengawal paras gula bagi pesakit diabetes.[1] Berpuasa juga berpotensi melindungi sel normal daripada ketoksikan agen anti kanser sekaligus mengurangkan kesan sampingan dalam kalangan pesakit seperti kemoterapi, radioterapi dan terapi sasaran terhadap sel tumor. [2]

Puasa sebagai Medium Dakwah melalui Jamuan Berbuka Puasa

Non-Muslim yang ingin mencuba pengalaman berpuasa juga boleh turut serta dalam majlis berbuka puasa bersama umat Islam di masjid yang menyediakan hidangan untuk orang ramai. Kebiasaannya, jamuan ini diadakan di ruang terbuka seperti dewan atau kawasan halaman yang tidak dikhususkan untuk ibadah solat. Oleh itu, penyertaan mereka adalah dibenarkan selagi menghormati adab serta peraturan yang ditetapkan. Antaranya termasuklah berpakaian sopan, menjaga tertib ketika berbuka serta mengelakkan sebarang provokasi atau tindakan yang bercanggah dengan etika di samping menjauhi sebarang agenda yang tidak wajar.

Islam juga menggalakkan umatnya berbuat baik dan berlaku adil kepada non-Muslim yang hidup secara aman selagi mereka bukan kafir harbi yang memerangi agama Islam, firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu) dan Allah Maha pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Mumtahanah (7)

Keharusan ini adalah berdasarkan perintah Allah SWT agar melakukan ihsan kepada seluruh manusia dan menguatkan jalinan keharmonian serta kasih sayang sesama anggota masyarakat tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

Selain itu, pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa boleh juga mengutamakan mereka yang fakir miskin dan anak yatim daripada kalangan Muslim dan non-Muslim dalam jemputan tersebut. Ini sebagaimana dalil yang menunjukkan memberi makanan kepada non-Muslim. Firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا


Maksudnya:Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.”

Surah al-Insan (8)

Tawanan yang dimaksudkan dalam ayat diatas merujuk golongan musyrik dan saudara Muslim yang lebih berhak diberi makan pada ketika itu.[3] Imam al-Nawawi turut menyatakan keharusan memberi sedekah makan kepada non-Muslim :

يُسْتَحَبُّ أَنْ يَخُصَّ بِصَدَقَتِهِ الصُّلَحَاءَ وَأَهْلَ الْخَيْرِ وَأَهْلَ الْمُرُوءَاتِ وَالْحَاجَاتِ فَلَوْ تَصَدَّقَ عَلَى فَاسِقٍ أَوْ عَلَى كَافِرٍ مِنْ يَهُودِيٍّ أَوْ نَصْرَانِيٍّ أَوْ مَجُوسِيٍّ جَازَ وَكَانَ فِيهِ أَجْرٌ فِي الْجُمْلَةِ


Maksudnya: “Dianjurkan agar sedekah itu diberikan kepada orang soleh, orang yang rajin melakukan kebaikan, menjaga kehormatan dan yang memerlukan. Namun jika ada orang yang bersedekah kepada orang fasik, atau orang kafir dalam kalangan Yahudi, Nasrani, atau Majusi, hukumnya boleh dan baginya ganjaran pahala pada keseluruhan perbuatannya. [4]

Puasa juga boleh berfungsi sebagai medium dakwah secara tidak langsung. Pendekatan ini berpotensi mendekatkan non-Muslim kepada pemahaman terhadap keindahan Islam, khususnya apabila tuntutan berpuasa bukan sahaja dilihat sebagai kewajipan agama, bahkan turut disokong dengan hikmah dan manfaat dari sudut kesihatan yang dibuktikan melalui kajian saintifik. Dalam konteks ini, puasa bukan sekadar ibadah malah mengandungi maqasid yang bertujuan mendidik manusia mengawal nafsu serta membentuk disiplin diri. Justeru, pengalaman non-Muslim yang mencuba berpuasa boleh menjadi medium yang meningkatkan kefahaman mengenai Islam.

Penutup

Masyarakat non-Muslim yang ingin mencuba pengalaman berpuasa tidak disekat bahkan diberi ruang untuk melakukannya sebagai satu bentuk pendedahan kepada amalan Islam. Walau bagaimanapun, mereka tidak memperoleh ganjaran ibadah kerana pensyariatan puasa dikhususkan kepada umat Islam. Namun begitu, jika mereka memilih untuk berpuasa, amalan tersebut tetap memberikan manfaat dari sudut kesihatan sebagaimana yang disokong oleh pelbagai kajian saintifik. Secara tidak langsung, pengalaman ini turut menyumbang kepada peningkatan kesedaran spiritual serta berperanan sebagai medium dakwah di samping memperlihatkan kelebihan puasa dari aspek kesihatan.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

28 RAMADAN 1447H / 18 MAC 2026

 

Rujukan: 

[1]https://www.bluezones.com/2018/10/fasting-for-health-and-longevity-nobel-prize-winning-research-on-cell-aging/https://www.3sandourhealth.org/wp-content/uploads/2022/01/3135-7218-1-SM.pd

[2] https://www.scielo.br/j/clin/a/fHZxg8ZbRY59Fnwy7sgcDjP/?format=html&lang=en

[3] Abu Jaafar al-Tabari, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Al-Quran ( T.t : Muasasah al-Risalah, 2000) Jld 24: 97

عن قتادة (وأسِيرًا) قال: كان أسراهم يومئذ المشرك، وأخوك المسلم أحقّ أن تطعم

قال: ثنا المعتمر، عن أبيه، عن أبي عمرو أن عكرِمة قال في قوله: (وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا) زعم أنه قال: كان الأسرى في ذلك الزمان المشرك.

[4] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi Ad-Din bin Syarah, Majmu’ Syarh al-Muhadzzab.(t.t Dar al-Fikr, t.th) J: 6 P: 240