Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 103/2026: AMANAH DALAM PENYALURAN: MENANGANI ISU PENYEMBUNYIAN LOGO INSTITUSI ZAKAT

TintaMufti.jpg

AMANAH DALAM PENYALURAN: MENANGANI ISU PENYEMBUNYIAN LOGO INSTITUSI ZAKAT

 

Ibadah zakat merupakan rukun Islam yang berfungsi sebagai mekanisme penyucian harta dan instrumen keadilan sosial. Kewajipan ini bukan sekadar tentang memberi, malah ia melibatkan amanah yang besar dalam aspek pengurusan dan pengagihan. Allah SWT telah memperincikan golongan asnaf yang berhak menerima zakat melalui firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, dan orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk jalan Allah (fisabilillah), dan orang musafir (yang keputusan belanja) di perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Taubah (60)

Seiring dengan perkembangan pengurusan zakat moden, institusi seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan institusi-institusi zakat setiap negeri bertindak sebagai pihak berautoriti yang mengutip dan mengagihkan dana zakat kepada pelbagai pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) atau institusi pendidikan untuk diagihkan kepada asnaf.

Namun, timbul satu fenomena yang dikesali apabila terdapat pihak perantara atau penerima manfaat yang sengaja menyembunyikan logo institusi zakat dalam laporan aktiviti, poster promosi atau hantaran media sosial mereka. Tindakan ini sering kali dilakukan demi membina naratif seolah-olah bantuan tersebut datang sepenuhnya daripada dana peribadi atau kempen kutipan mereka sendiri selain meraih populariti dan kepercayaan orang awam bagi tujuan kutipan derma yang lain pada masa hadapan. Perbuatan ini juga menghilangkan kredit kepada institusi agama yang sebenarnya menjadi tulang belakang bantuan tersebut.

Tindakan menyembunyikan identiti pengagih asal bukan sekadar isu teknikal, tetapi ia melibatkan isu integriti dan ketelusan. Apabila logo institusi zakat dipadam atau tidak dipaparkan, masyarakat terutamanya pembayar zakat tidak nampak keberkesanan wang zakat mereka diuruskan oleh pihak berautoriti. Hal ini boleh menimbulkan persepsi negatif bahawa institusi zakat tidak melakukan kerja dengan baik, sedangkan hakikatnya bantuan telah disalurkan melalui rakan strategik yang tidak amanah dalam pelaporan.

Dalam Islam, pengiktirafan terhadap ihsan orang lain adalah sebahagian daripada adab. Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ

Maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur kepada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia.”

(Riwayat Abu Daud)

Memaparkan logo institusi pemberi zakat bukanlah bertujuan untuk riyak dan menunjuk-nunjuk bagi pihak institusi, tetapi ia merupakan satu bentuk akauntabiliti awam dan tanda pengiktirafan bahawa dana tersebut ialah dana umat Islam yang diuruskan oleh pihak berkuasa agama. Dalam hal ini Imam al-Nawawi menyebut:

‌الْأَفْضَلُ ‌فِي ‌الزَّكَاةِ ‌إظْهَارُ ‌إخْرَاجِهَا لِيَرَاهُ غَيْرُهُ فَيَعْمَلُ عَمَلَهُ وَلِئَلَّا يُسَاءَ الظَّنُّ بِهِ

Maksudnya: "Yang lebih afdal dalam urusan zakat ialah menzahirkan pembayarannya supaya orang lain dapat melihatnya lalu mengikut perbuatan tersebut dan juga supaya tidak timbul prasangka buruk terhadap dirinya (bahawa dia tidak menunaikan zakat)."[1]

Dalam konteks sebuah institusi zakat, menzahirkan agihan zakat kepada penerima mempunyai maslahah yang besar iaitu membentuk keyakinan kepada pembayar-pembayar zakat untuk membayar zakat kepada institusi zakat, lalu akhirnya lebih banyak manfaat kepada asnaf-asnaf. Penyembunyian logo institusi zakat dalam agihan dana zakat akan menyebabkan hilang maslahah ini.

Kesimpulan

Menyembunyikan logo institusi zakat oleh perantara atau penerima manfaat merupakan perbuatan yang tidak berintegriti dan bercanggah dengan maslahah. Islam menuntut menzahirkan pembayaran dan pengagihan zakat terutamanya bagi institusi zakat agar dapat meningkatkan keyakinan kepada orang awam bahawa dana-dana zakat diuruskan dengan betul dan berkesan. Hal ini sekaligus dapat meningkatkan lagi pembayar zakat, lalu lebih banyak manfaat dapat diagihkan kepada asnaf yang memerlukan.

WaAllahu a’lam

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

18 SYAWAL 1447H / 7 APRIL 2026

 

[1] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, (Kaherah: al-TIba’ah al-Muniriah, t.t), 6:233.