
ADAB BERTAUBAT DARIPADA DOSA FITNAH
Fenomena penyebaran fitnah semakin membimbangkan khususnya melalui media sosial yang membolehkan maklumat disebarkan dengan pantas tanpa tapisan. Fitnah boleh membawa kesan yang amat buruk yang boleh merosakkan maruah seseorang bahkan turut menjatuhkan reputasi serta kredibilitinya di mata masyarakat. Fitnah juga boleh menimbulkan permusuhan, kebencian dan perpecahan yang boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan sosial.
Berkaitan hal ini, imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa Rasulullah SAW memberi peringatan yang tegas tentang bahaya fitnah kerana sering berpunca daripada perbuatan mengubah fakta dan mereka-reka sesuatu yang tidak benar sehingga menatijahkan ancaman besar serta kerosakan dalam kehidupan.[1]
Fitnah merupakan dosa besar yang bukan sahaja melanggar hak Allah SWT, bahkan turut mencabul hak sesama manusia (haq al-Adami). Oleh itu, taubat daripada dosa fitnah tidak memadai sekadar penyesalan di dalam hati, bahkan menuntut pemulihan hak dan maruah pihak yang dizalimi. Nabi SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
من كانت عنده مظلمة لأخيه، من عرضه أو من شيء، فليتحلله منه اليوم قبل أن لا يكون دينار ولا درهم ، إن كان له عمل صالح أخذ منه بقدر مظلمته، وإن لم يكن له حسنات أخذ من سيئات صاحبه فحمل عليه
Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai kezaliman terhadap saudaranya sama ada pada maruahnya atau sesuatu yang lain, maka hendaklah dia meminta halal daripadanya pada hari ini sebelum datang suatu hari yang tiada lagi dinar dan dirham. Jika dia mempunyai amalan soleh, maka akan diambil daripadanya sekadar kadar kezalimannya, dan jika dia tidak mempunyai kebaikan, maka akan diambil daripada dosa saudaranya lalu dibebankan ke atasnya.”
(Riwayat al-bukhari)
Imam al-Nawawi menyebut bahawa taubat adalah wajib daripada setiap dosa. Jika dosa tersebut hanya melibatkan hubungan antara hamba dengan Allah SWT, maka terdapat tiga syaratnya iaitu meninggalkan maksiat, menyesali perbuatan tersebut dan berazam tidak mengulanginya. Namun, jika dosa itu berkaitan dengan hak manusia, maka ditambah satu syarat lagi iaitu membebaskan diri daripada hak orang tersebut sama ada dengan memulangkan harta, meminta maaf atau mendapatkan keampunan daripadanya. Kewajipan taubat ini disokong oleh dalil daripada al-Quran, al-Sunnah serta ijmak ulama.[2]
Sehubungan itu, taubat daripada dosa fitnah tidak memadai sekadar penyesalan di dalam hati semata-mata, bahkan hendaklah disertai dengan usaha memulihkan hak serta maruah pihak yang telah dizalimi. Antara langkah yang perlu diambil adalah seperti berikut:
- Pelaku fitnah wajib menzahirkan penyesalan yang bersungguh-sungguh serta berhenti serta-merta daripada perbuatan tersebut. Taubat yang sebenar mestilah lahir daripada kesedaran hati yang tulus dan keazaman untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.
- Pelaku hendaklah berusaha membersihkan semula nama individu yang difitnah. Ini termasuk menjelaskan kepada khalayak bahawa tuduhan yang disebarkan sebelum ini adalah tidak benar serta menarik balik kenyataan tersebut secara terbuka. Tindakan ini amat penting bagi memulihkan maruah mangsa dan mengelakkan kesan buruk terus berpanjangan.
- Permohonan maaf secara langsung kepada individu yang difitnah. Permohonan maaf ini hendaklah disertai dengan keikhlasan dan kesediaan untuk memperbaiki keadaan. Dalam masa yang sama, dianjurkan untuk menyebut kebaikan individu tersebut di tempat yang sama fitnah disebarkan, serta mendoakan kesejahteraan dan kebaikan buatnya
- Sekiranya fitnah yang dilakukan menyebabkan kerugian dari sudut harta, pekerjaan atau kedudukan, maka pelaku wajib berusaha sedaya upaya untuk memulihkan semula hak mangsa.
Taubat daripada dosa fitnah bukan hanya melibatkan hubungan kita dengan Allah SWT, tetapi juga berkait rapat dengan tanggungjawab sesama manusia. Oleh itu, marilah kita sama-sama lebih berhati-hati dalam setiap percakapan dan perkongsian maklumat serta segera memperbaiki keadaan jika terlanjur melakukan kesilapan.
Semoga kita semua diberi kekuatan untuk kembali kepada kebenaran dan memelihara lidah daripada berkata yang tidak benar. Firman Allah SWT:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.
Surah al-Nur (31)
Wallahu’alam
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
5 ZULKAEDAH 1447H / 23 APRIL 2026
Rujukan:
[1] Ahmad bin Ali bin Hajr Abu al-Fadl al-‘Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. (Beirut: Dar al-Ma’rifah. 1379H) Jld. 13 Hlm. 4
وما كان النبي صلى الله عليه وسلم يحذر بالتشديد من الفتن يشير إلى ما تضمنه حديث الباب من الوعيد على التبديل والإحداث فإن الفتن غالبا إنما تنشأ عن ذلك
[2] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, Riyadh al-Salihin. (Damsyik: Dar Ibn Kathir li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1428H) Hlm. 14
قَالَ العلماءُ: التَّوْبَةُ وَاجبَةٌ مِنْ كُلِّ ذَنْب، فإنْ كَانتِ المَعْصِيَةُ بَيْنَ العَبْدِ وبَيْنَ اللهِ تَعَالَى لاَ تَتَعلَّقُ بحقّ آدَمِيٍّ فَلَهَا ثَلاثَةُ شُرُوط: أحَدُها: أَنْ يُقلِعَ عَنِ المَعصِيَةِ. والثَّانِي: أَنْ يَنْدَمَ عَلَى فِعْلِهَا. والثَّالثُ: أَنْ يَعْزِمَ أَنْ لا يعُودَ إِلَيْهَا أَبَدًا. فَإِنْ فُقِدَ أَحَدُ الثَّلاثَةِ لَمْ تَصِحَّ تَوبَتُهُ.
وإنْ كَانَتِ المَعْصِيةُ تَتَعَلقُ بآدَمِيٍّ فَشُرُوطُهَا أرْبَعَةٌ: هذِهِ الثَّلاثَةُ، وأَنْ يَبْرَأَ مِنْ حَقّ صَاحِبِها، فَإِنْ كَانَتْ مالًا أَوْ نَحْوَهُ رَدَّهُ إِلَيْه، وإنْ كَانَت حَدَّ قَذْفٍ ونَحْوَهُ مَكَّنَهُ مِنْهُ أَوْ طَلَبَ عَفْوَهُ، وإنْ كَانْت غِيبَةً استَحَلَّهُ مِنْهَا. ويجِبُ أَنْ يَتُوبَ مِنْ جميعِ الذُّنُوبِ، فَإِنْ تَابَ مِنْ بَعْضِها صَحَّتْ تَوْبَتُهُ عِنْدَ أهْلِ الحَقِّ مِنْ ذلِكَ الذَّنْبِ وبَقِيَ عَلَيهِ البَاقي. وَقَدْ تَظَاهَرَتْ دَلائِلُ الكتَابِ والسُّنَّةِ، وإجْمَاعِ الأُمَّةِ عَلَى وُجوبِ التَّوبةِ.