Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 132/2026 : MEMPERSENDA RUKUN NEGARA DALAM PEMENTASAN: ANTARA BATAS KEBEBASAN DENGAN TANGGUNGJAWAB MENURUT ISLAM

May be an image of text that says "LAM Wilayah Persekutuan Tinta Mufti"

 

MEMPERSENDA RUKUN NEGARA DALAM PEMENTASAN: ANTARA BATAS KEBEBASAN DENGAN TANGGUNGJAWAB MENURUT ISLAM

PENDAHULUAN

Sebuah rakaman pementasan yang tular baru-baru ini mengundang perhatian selepas kandungannya didakwa mempersendakan institusi raja, negara Malaysia dan Rukun Negara. Menteri Perpaduan Negara meminta Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung video tersebut. Penentuan tentang sebarang pelanggaran undang-undang wajar diserahkan kepada pihak yang berbidang kuasa.[1]

Isu ini menyentuh dua perkara yang saling berkait, iaitu batas kebebasan dalam kehidupan bersama dan tanggungjawab seorang Muslim ketika menggunakan kebebasan tersebut. Seni, humor dan satira boleh menjadi saluran untuk menyampaikan kritikan. Namun, apabila sesuatu karya menyentuh institusi negara dan nilai yang dikongsi oleh masyarakat, cara penyampaiannya turut memberi kesan kepada hubungan sosial. Kebebasan kerana itu perlu digunakan dengan adab, pertimbangan dan kesedaran terhadap akibat yang mungkin timbul.

Dalam konteks Malaysia, Rukun Negara membantu menjelaskan batas nilai dalam kehidupan bersama. Rukun Negara bukan peruntukan undang-undang yang menentukan had kebebasan bersuara. Fungsinya ialah menyediakan kerangka nilai yang menghubungkan kepercayaan, kewargaan, autoriti, undang-undang dan adab sosial. Had dari sudut undang-undang tetap ditentukan melalui peruntukan yang berkuat kuasa dan proses pihak berautoriti.

 

RUKUN NEGARA DAN BATAS KEBEBASAN DALAM KEHIDUPAN BERSAMA

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 susulan pengalaman getir negara selepas peristiwa 13 Mei 1969. Bahagian pertamanya menggariskan cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat, memelihara kehidupan demokratik, membina masyarakat yang adil, menghormati kepelbagaian budaya dan membentuk masyarakat progresif. Bahagian kedua memuatkan lima prinsip yang bermula dengan Kepercayaan kepada Tuhan dan diakhiri dengan Kesopanan dan Kesusilaan.[2]

Dari sudut sosiologi agama, susunan ini memperlihatkan hubungan antara kepercayaan agama dengan kehidupan sebagai warga negara. Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan memberi tempat kepada nilai keagamaan dalam kehidupan awam, manakala prinsip-prinsip berikutnya menyusun hubungan warga dengan raja, negara, Perlembagaan, undang-undang dan sesama anggota masyarakat.

Dalam tradisi Islam, kehidupan bersama turut dibina atas keadilan, keamanan dan tertib yang menjaga kepentingan umum. Al-Mawardi meletakkan pegangan agama yang dihayati, autoriti yang menjaga tertib, keadilan yang menyeluruh dan keamanan umum antara asas yang menjadikan kehidupan masyarakat tersusun.[3] Nilai ini menunjukkan bahawa ketertiban awam turut berkait dengan tanggungjawab moral dalam menjaga kehidupan bersama.

Dalam masyarakat majmuk, nilai Rukun Negara menjadi nyata melalui cara masyarakat berhubung dan mengurus perbezaan. Kesopanan dan Kesusilaan mempunyai titik temu dengan nilai akhlak Islam yang menuntut manusia menjaga hubungan, mengelakkan permusuhan dan membina keharmonian melalui cara berinteraksi. Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa al-ulfah atau keakraban sosial ialah buah daripada akhlak yang baik, sedangkan perpecahan lahir daripada akhlak yang buruk.[4]

Oleh itu, adab dalam menyatakan pandangan mempunyai fungsi sosial yang nyata kerana ia membolehkan perbezaan terus dibincangkan tanpa merosakkan penghormatan sesama warga. Dalam konteks ini, Rukun Negara berfungsi sebagai panduan nilai apabila masyarakat mengurus perbezaan dalam ruang bersama.[5]

Batas kebebasan dari sudut ini berkait dengan adab kenegaraan. Kritikan tetap mempunyai tempat apabila ia menjelaskan masalah, membawa alasan dan membuka ruang pembetulan. Persendaan membawa kesan yang berbeza apabila tumpuan beralih kepada tindakan merendahkan nilai yang dikongsi bersama. Pembezaan ini membolehkan ruang kritikan terus terbuka sambil menjaga adab dalam hubungan sesama warga.

 

TANGGUNGJAWAB MENURUT ISLAM DALAM MENGGUNAKAN KEBEBASAN

Dari sudut Islam, tanggungjawab ketika menggunakan kebebasan merangkumi niat, cara penyampaian dan kesan yang munasabah daripada sesuatu tindakan. Al-Quran memberikan asas yang jelas apabila sesuatu ungkapan boleh mencetuskan tindak balas yang lebih buruk. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencela sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan mencela Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan.”

Surah al-An‘am (108)

Muhammad Abu Zahrah menjelaskan bahawa menerangkan kesalahan sesuatu pegangan berbeza daripada mencelanya. Penjelasan beliau memberi perhatian kepada akibat yang lahir daripada sesuatu tindakan. Apabila suatu cara membawa kerosakan yang lebih besar daripada manfaatnya, maka akibat tersebut turut menjadi pertimbangan hukum. Beliau menghubungkan ayat ini dengan sadd al-dhara’i, iaitu menutup jalan yang membawa kepada kerosakan.[6]

Bagi pengkarya, tanggungjawab ini bermaksud niat yang baik perlu disertai cara penyampaian yang wajar dan pertimbangan terhadap kesannya kepada khalayak. Dalam suasana media digital, sebuah pementasan mungkin berlangsung dalam tempoh yang singkat, tetapi rakamannya boleh dipotong, disebarkan dan ditonton dalam konteks yang berbeza. Kesan sosialnya boleh berkembang jauh melampaui ruang asal persembahan.

Pertimbangan tersebut diperkukuh melalui pendekatan maqasid yang menilai natijah sesuatu perbuatan. Al-Syatibi menjelaskan bahawa ma’alat al-af’al, iaitu akibat sesuatu tindakan, merupakan pertimbangan yang diiktiraf oleh syarak. Dalam isu kebebasan berkarya, prinsip ini meletakkan tanggungjawab pada cara kebebasan digunakan supaya maruah manusia, hubungan sosial dan keharmonian masyarakat terus dipelihara, khususnya apabila sesuatu kandungan disampaikan kepada khalayak yang luas.[7]

KESIMPULAN

Pengkarya perlu terus mempunyai ruang untuk berkarya, bersatira dan mengkritik. Bersama ruang itu hadir tanggungjawab untuk memilih bentuk penyampaian yang jelas, berasas dan peka terhadap masyarakat yang menjadi khalayaknya. Dalam perkara yang menyentuh nilai bersama, ketajaman karya lebih bermakna apabila hujahnya dapat difahami tanpa bergantung pada penghinaan sebagai cara menarik perhatian.

Masyarakat juga memikul tanggungjawab ketika memberikan reaksi. Kandungan yang dianggap melampaui batas boleh ditegur melalui hujah dan saluran yang sesuai. Reaksi yang menyerang individu, kaum atau agama akan menambah ketegangan serta mengaburkan nilai yang hendak dipertahankan.

Rukun Negara wajar difahami sebag
ai nilai yang hidup dalam hubungan sesama warga. Dalam kerangka Islam, Kepercayaan kepada Tuhan membawa tanggungjawab moral, manakala Kesopanan dan Kesusilaan membimbing perbezaan supaya diurus dengan beradab, menjaga maruah manusia dan memelihara kehidupan bersama.

 

SAHIBUS SAMAHAH HJ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

[1] Bernama, “Persenda Rukun Negara: PDRM, MCMC Diminta Siasat, Ambil Tindakan Segera – Aaron,” Astro Awani, 19 September 2026, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/persenda-rukun-negara-pdrm-mcmc-diminta-siasat-ambil-tindakan-segera-aaron.

[2] Portal Rasmi Kerajaan Malaysia, “Rukun Negara,” dikemas kini 17 Oktober 2025, https://www.malaysia.gov.my/government/kenali-malaysia/rukun-negara.

[3] Abu al-Hasan ‘Ali ibn Muhammad al-Mawardi, Adab al-Dunya wa al-Din (Beirut: Dar Maktabat al-Hayah, 1986), 133. Teks asal:

«سِتَّةُ أَشْيَاءَ هِيَ قَوَاعِدُهَا، وَإِنْ تَفَرَّعَتْ، وَهِيَ: دِينٌ مُتَّبَعٌ، وَسُلْطَانٌ قَاهِرٌ، وَعَدْلٌ شَامِلٌ، وَأَمْنٌ عَامٌّ، وَخِصْبٌ دَائِمٌ، وَأَمَلٌ فَسِيحٌ»

[4] Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, jil. 2 (Beirut: Dar al-Ma‘rifah, 1402H), 157. Teks asal:

«اعْلَمْ أَنَّ الْأُلْفَةَ ثَمَرَةُ حُسْنِ الْخُلُقِ، وَالتَّفَرُّقَ ثَمَرَةُ سُوءِ الْخُلُقِ»

[5] Kharunna’im Ramli, Azmi Aziz, dan Arena Che Kasim, “Rukun Negara dan Dilema Perpaduan: Satu Wacana Epistemologi,” Akademika 96, no. 2 (2026): 31–51, https://doi.org/10.17576/akad-2026-9602-03.

[6] Muhammad Abu Zahrah, Zahrah al-Tafasir, jil. 5 (Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi, t.t.), 2624–2625, https://www.islamweb.net/ar/library/content/221/803/. Teks asal:

«وَإِنَّهُ يُوَازِنُ بَيْنَ الْفِعْلِ وَمَا يُؤَدِّي إِلَيْهِ»

[7] Abu Ishaq Ibrahim ibn Musa al-Syatibi, al-Muwafaqat, tahqiq Abu ‘Ubaydah Mashhur ibn Hasan Al Salman, ed. 1, jil. 5 (al-Khubar: Dar Ibn ‘Affan, 1417H/1997), 177–178. Teks asal:

«النَّظَرُ فِي مَآلَاتِ الْأَفْعَالِ مُعْتَبَرٌ مَقْصُودٌ شَرْعًا»