
MAQASID SYARIAH DALAM BELANJAWAN: MENUTUP KETIRISAN, MELEBARKAN IHSAN (KHUTBAH JUMAAT KHAS PARLIMEN)
الحمد لله ربّ العالمين، نحمده ونستعينه ونستغفره ونستهديه، ونعوذ بالله تعالى من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له، ومن يجعل الله له نوراً فما له من نور . وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أدى الأمانة، وبلغ الرسالة ونصح الأمة، وجاهد في الله حق جهاده، وتركنا على المحجة البيضاء، ليلها كنهارها، لا يزيغ عنها إلا هالك، فمن يطع الله ورسوله فقد فاز فوزاً عظيماً، ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالاً مبينا.
اللهم صل وسلم وبارك على هذا النبي الكريم، وعلى آله وصحابته، مع الذين أنعمت عليهم من النبيين والصديقين والشهداء والصالحين وحسن أولئك رفيقاً.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ أُوصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللَّهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.
قَالَ اللهُ تَعَالَى: ﴿وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا ﴿٦٧﴾
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Khatib mengingatkan diri sendiri dan ahli jemaah sekalian agar sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dengan beristiqamah mematuhi perintahNya serta menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ketakwaan kita beroleh kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat kelak.
Sering kali apabila kita berbicara tentang undang-undang dan syariat Islam, minda kita hanya terbayang tentang hukum-hakam solat, ibadah puasa atau hukuman di mahkamah. Tidakkah kita terfikir bahawa sebenarnya Islam telah memberikan kita panduan hidup yang lengkap dan sempurna termasuk dalam pengurusan harta dan urus tadbir ekonomi? Ayat yang dibacakan di awal khutbah tadi ِiaitu daripada Surah al-Furqan ayat ke-67, merupakan antara pedoman dan petunjuk al-Quran kepada kita untuk mengurus perbelanjaan secara berhikmah, yang bermaksud:
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”
Oleh yang demikian, bersempena Pembentangan Belanjawan 2027 yang bertemakan “Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, marilah kita menghayati khutbah hari ini yang bertajuk: “Maqasid Syariah dalam Belanjawan: Menutup Ketirisan, Melebarkan Ihsan”.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Sesungguhnya Allah SWT menurunkan syariat Islam kepada umat manusia untuk menjamin tujuan-tujuan tertentu iaitu lima maqasid syariah yang utama: (1) menjaga agama, (2) menjaga nyawa, (3) menjaga akal, (4) menjaga keturunan, dan (5) menjaga harta. Selain itu, bagi memungkinkan lima maqasid ini dipelihara, syariat juga mengambil kira aspek penjagaan keamanan yang merangkumi keamanan masyarakat dan keamanan negara. Sesebuah negara atau masyarakat yang hidup dalam keadaan kacau-bilau dan ketakutan tidak akan dapat memelihara kelima-lima maqasid yang utama tersebut.
Bertitik tolak daripada realiti ini, instrumen terpenting bagi sesebuah negara untuk melindungi kesemua asas tersebut ialah melalui dasar belanjawan yang terancang. Mengapakah peruntukan belanjawan ini sangat penting? Hal ini kerana usaha untuk memelihara lima asas utama ini tidak boleh sekadar bersandarkan kepada teori, kempen dan undang-undang semata-mata, sebaliknya ia juga menuntut sokongan yang kukuh dari aspek kewangan. Sebagai contoh; usaha menjaga agama menuntut dana bagi pengimarahan syiar Islam; menjaga nyawa memerlukan penyediaan fasiliti kesihatan awam dan keselamatan; menjaga akal berhajat kepada pembiayaan sistem pendidikan yang berkualiti; menjaga keturunan menuntut pembelaan institusi keluarga dan perumahan; manakala menjaga harta memerlukan penjanaan ekonomi dan penyediaan peluang pekerjaan.
Bagi merealisasikan perbelanjaan negara yang syumul ini, pengagihan sumber mestilah menyantuni tiga peringkat maslahah secara seimbang, iaitu (1) daruriyyat yang merupakan keperluan-keperluan asas bagi kelangsungan kehidupan; (2) hajiyyat yang merupakan keperluan-keperluan untuk mengelakkan kesukaran dan kesulitan; dan (3) tahsiniyyat sebagai pelengkap yang bersesuaian dengan keindahan adat kebiasaan dan kemuliaan akhlak. Keseimbangan ini bermaksud kelulusan setiap perbelanjaan itu diuruskan dengan penuh hikmah merangkumi tiga maslahah ini tanpa mengabaikan salah satu daripadanya. Walaupun daruriyyat dan hajiyyat merupakan kepentingan yang lebih utama, keperluan pada peringkat tahsiniyyat sama sekali tidak boleh dipinggirkan.
Hal ini kerana tahsiniyyat bukanlah semata-mata soal kemewahan, tetapi ia turut merangkumi elemen kesempurnaan hidup yang bersangkut paut dengan hukum wajib, sunat dan harus. Namun hukum melaksanakannya adalah wajib bagi setiap muslim. Justeru, peruntukan belanjawan yang menyokong ke arah kesejahteraan, kemudahan infrastruktur yang selesa dan kesempurnaan kualiti hidup rakyat turut diiktiraf sebagai tuntutan hakiki dalam kerangka perbelanjaan yang menepati kehendak syarak. Oleh yang demikian, belanjawan ini merupakan suatu kewajipanb yang perlu untuk dilakukan oleh pemerintah bagi menjaga ketiga-tiga peringkat maslahah tersebut iaitu; dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.
Seterusnya, belanjawan negara juga mesti menyeimbangkan antara memenuhi maqasid al-tadayyun dan maqasid al-‘umran. Belanjawan yang hanya memfokuskan umran melalui pembangunan ekonomi tanpa tadayyun akan membentuk negara yang zahirnya maju tetapi berdepan dengan krisis moral, rasuah yang meluas dan ketidakadilan sosial. Sebaliknya, belanjawan yang hanya memfokuskan tadayyun tanpa umran akan melahirkan negara akan mundur, miskin dan tidak mampu berdikari apatah lagi membela nasib rakyatnya di persada global.
Oleh yang demikian, perancangan belanjawan yang menepati neraca syarak perlulah menghayati seruan Allah SWT dalam Surah al-Qasas, ayat 77:
وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن كَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِي ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ
Maksudnya: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan."
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sejarah Islam telah mencatatkan pelbagai model pengurusan ekonomi dan perlaksanaan belanjawan yang sangat cemerlang. Hal ini contohnya ditunjukkan dalam kisah Nabi Yusuf AS yang dirakamkan di dalam Surah Yusuf merupakan rujukan terhebat mengenai perancangan belanjawan jangka panjang dan pengurusan krisis. Ketika dilantik menjadi bendahari negara Mesir, baginda telah melaksanakan dasar belanjawan berhemah dan penjimatan yang sistematik untuk menghadapi ancaman kemarau panjang. Baginda AS telah merangka pelan ekonomi 14 tahun iaitu semasa tujuh tahun pertama yang dilimpahi hasil tuaian yang lumayan, Nabi Yusuf AS tidak membenarkan rakyat berbelanja boros. Sebaliknya, baginda mengarahkan agar sebahagian besar hasil gandum disimpan di dalam sisinya bersama tangkai sebagai rizab negara. Lebihan (surplus) pada waktu senang ini kemudiannya dibelanjakan secara berpusat dan bersasar ketika tujuan tahun musim kemarau melanda. Inilah kebijaksanaan perancangan belanjawan yang telah menyelamatkan Mesir dan negara-negara sekitarnya daripada kebuluran.
Seterusnya, marilah kita mengambil iktibar daripada kisah yang masyhur tentang ketelusan seorang pemimpin dalam membezakan urusan negara dengan urusan peribadi. Pada suatu malam, seorang utusan datang melaporkan hal rakyat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Beliau menyalakan sebatang lilin yang besar dan bertanya panjang lebar tentang keadaan rakyat jelata, golongan fakir miskin dan keadilan yang ditegakkan oleh pegawainya. Namun sebaik sahaja utusan itu bertanya pula tentang keadaan diri baginda sendiri, Umar terus meniup dan memadamkan lilin tersebut, lalu meminta dibawakan sebatang pelita kecil yang malap cahayanya. Apabila ditanya sebabnya, beliau menjawab: "Lilin yang engkau lihat aku padamkan tadi adalah daripada harta Allah dan harta kaum Muslimin, dan aku menggunakannya untuk menguruskan berkaitan keperluan mereka. Adapun ini adalah urusan peribadiku, maka cukuplah dengan pelita milikku sendiri."[1]
Lihatlah bagaimana ketinggian taqwa dan integriti seorang pemimpin yang amat berhati-hati dalam sekecil-kecil urusan. Marilah kita jadikan kisah ini sebagai cermin tauladan; mendidik hati kita untuk lebih jujur dengan amanah yang digalas kerana setiap kejujuran kita di dunia inilah yang akan menjadi pembela dan peneduh kita di hari pertemuan dengan-Nya kelak.
Muslimin rahimakumullah,
Oleh yang demikian, dalam merealisasikan pengurusan belanjawan yang cemerlang, fokus utama perlulah diberikan kepada usaha pemerkasaan pakar-pakar dalam pelbagai bidang dengan menyalurkan peruntukan kewangan yang sewajarnya kepada mereka. Apabila golongan pakar dan teknokrat diberikan sokongan dana dan sumber yang mencukupi, mereka mampu merangka pelan jangka panjang yang strategik, memacu inovasi, serta menguruskan krisis dengan cekap yang akhirnya akan menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk dimanfaatkan oleh seluruh rakyat.
Seterusnya, matlamat untuk menghapuskan kemiskinan tegar di dalam negara bukanlah satu angan-angan kosong, malah ia adalah suatu sasaran yang sangat realistik serta selari dengan tuntutan fitrah kemanusiaan. Sejarah kegemilangan Islam pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah membuktikan hakikat ini apabila kekayaan negara berjaya diagihkan dengan begitu adil sehinggakan tiada lagi asnaf yang layak menerima zakat. Kejayaan gemilang ini pasti dapat diulang semula pada hari ini sekiranya pemerintah dan pentadbir memenuhi syarat-syarat utamanya; iaitu memelihara integriti yang tinggi, memastikan tiada sebarang ketirisan atau rasuah dalam pengurusan dana awam, serta sentiasa mendahulukan keutamaan perbelanjaan berlandaskan Fiqh Mizan dengan mendahulukan kemaslahatan golongan yang paling memerlukan.
Walau bagaimanapun, kita mesti sedar dan insaf bahawa setiap perancangan yang diusahakan oleh manusia sudah semestinya tidak lari daripada kelemahan dan kekurangan. Segala kelompangan dalam mana-mana dasar atau pelaksanaan belanjawan ini hanya dapat ditampung melalui semangat kesepaduan dan kerjasama erat daripada semua pihak, bermula dari peringkat pemimpin, agensi kerajaan, sektor swasta, sehinggalah kepada rakyat jelata. Apabila seluruh lapisan masyarakat bersatu hati menyokong usaha-usaha yang baik, saling menasihati dengan penuh hikmah, dan membuang sikap mementingkan diri, segala perancangan negara akan mencapai matlamatnya lantas menatijahkan kesejahteraan hidup yang menyeluruh buat semua.
Sidang Jemaah yang Dirahmati Allah
Sebagai penutup tirai khutbah pada hari ini, menjelang pembentangan Belanjawan 2027 yang bakal diumumkan, khatib mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan titipan pesanan, harapan dan doa buat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri serta seluruh barisan kepimpinan negara.
Sesungguhnya mengurus perbendaharaan negara dan mengagihkan kekayaan bukanlah satu tugas yang ringan; ia merupakan satu amanah yang amat berat dan akan dihisab di hadapan Allah SWT kelak. Pemimpin yang adil sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai paksi pertimbangan utamanya, bertepatan dengan kaedah fiqh yang masyhur:
تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
Maksudnya: “Tindakan urus tadbir seorang pemimpin ke atas rakyatnya mestilah sentiasa terikat dengan maslahah.”
Justeru, harapan besar seluruh rakyat jelata adalah agar belanjawan yang bakal dibentangkan ini benar-benar menyelami denyut nadi masyarakat yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran. Diharapkan peruntukan tersebut bertindak sebagai penawar yang mampu meringankan beban kos sara hidup, merapatkan jurang ekonomi, memartabatkan pendidikan dan kesihatan, serta bebas daripada sebarang unsur ketirisan dan pembaziran yang merugikan.
Marilah kita bersama-sama menadah tangan, memohon ke hadrat Allah SWT agar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dikurniakan taufik, hidayah, ketajaman fikiran dan kekuatan jiwa memikul amanah ini.
Ya Allah, kurniakanlah petunjuk, kekuatan, dan kebijaksanaan ke atas Perdana Menteri kami dalam memikul amanah besar merangka serta membentangkan Belanjawan Negara. Bimbinglah lisan beliau agar lancar dalam membentangkan belanjawan ini. Jadikanlah belanjawan ini sebagai instrumen kukuh yang menepati Maqasid Syariah yang dapat memelihara kesucian agama, menjamin keselamatan nyawa, melindungi kewarasan akal, menjaga kehormatan keturunan dan menjana keberkatan harta. Kurniakanlah kepada negara kami kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan, dan jadikanlah tanah air kami ini sebuah negara "baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur" (negara yang baik, makmur dan mendapat keampunan Tuhan).
بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الْآيَاتِ وَالذِكْرِ الحكيم، وتقبل مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلَاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.
[1] Abu Muhammad al-Masri, Sirah Umar Ibn Abd al-Aziz (Beirut: ‘Alam al-Kutub, 1983), hlmn. 137.
"يَا عبد الله إِن الشمعة الَّتِي رَأَيْتنِي أطفأتها من مَال الله وَمَال الْمُسلمين وَكنت أَسأَلك عَن حوائجهم وَأمرهمْ فَكَانَت تِلْكَ الشمعة تقد بَين يَدي فِيمَا يصلحهم وَهِي لَهُم فَلَمَّا صرت لشأني وَأمر عيالي وَنَفْسِي أطفأت نَار الْمُسلمين."