Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #98: BENARKAH KENYATAAN SEBURUK-BURUK MANUSIA ADALAH SEBAIK-SEBAIK JIN

afkar98

Soalan

Assalamualaikum Dato Mufti. Saya ingin bertanya berkenaan dengan kenyataan “Sebaik-baik jin adalah seburuk-buruk manusia” adakah kenyataan ini benar dato. Bolehkah ceritakan sikit berkenaan dengan jin mengikut pentafsiran al-Quran.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran merupakan sumber utama dan petunjuk bagi setiap manusia. Secara asasnya kepercayaan kepada perkara ghaib merupakan perkara pokok di dalam akidah Islam. Ini sepertimana Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya: Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

(Surah al-Baqarah, 3)

Hal ini menggambarkan bahawa kehidupan jin di alam ghaib adalah benar seperti yang diceritakan di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.

(Sural al-A’raf, 27)

Dalam mentafsirkan ayat (وَقَبِيلُهُ) Imam al-Qurtubi menyebut bahawa ia memberi makna kepada tentera-tentera syaitan. Selain itu Imam Mujahid berpendapat (وَقَبِيلُهُ) adalah dari golongan jin dan syaitan. Begitu juga, pada pendapat yang lain perkataan (وَقَبِيلُهُ) memberi maksud sebagai generasi atau keturunan syaitan. Imam Qurtubi menyebutnya lagi bahawa, mengikut sesetengah pendapat ulama, ayat ini merupakan dalil bahawa jin tidak boleh dilihat. Dikatakan lagi bahawa, harus untuk melihat golongan jin. Ini kerana sekiranya dikehendaki oleh Allah SWT untuk memperlihatkan mereka, maka Allah SWT akan membuka hijab supaya dapat dilihat jasad dan tubuh badan mereka. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 7/186)

Takrif dan Kejadian Jin

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut al-Jin berbeza dengan al-Insan. (وَأَجَنَّهُ) bermaksud “Apabila dilindungi sesuatu”. Dan bagi setiap sesuatu yang dihijab daripada kamu maka sesungguhnya (جُنَّ) iaitu dilindung (tidak boleh dilihat) daripada kamu.

Ibnu Manzur menyatakan, dinamakan al-Jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini seperti al-Janin dilindung (daripada pandangan) ia daripada perut ibunya.

(Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/89)

Dalam menceritakan perihal kejadian jin, Allah SWT menyebut tentangnya di dalam al-Quran bahawa jin dicipta daripada api menyala. Firman Allah SWT:

وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

Maksudnya: Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.

(Surah al-Hijr, 27)

Imam Ibnu Kathir menukil riwayat daripada Ibnu Abbas RA, menyatakan, sesungguhnya jin itu dijadikan daripada api yang marak dan menyala-nyala. Selain itu, riwayat daripada Amru bin Dinar menyatakan jin dijadikan daripada nyalaan matahari. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 4/458)

Jin Juga Ditaklifkan Seperti Manusia

Para ulama bersepakat bahawa golongan jin diberikan taklifan dan tanggungjawab sepertimana yang ditaklifkan kepada manusia dalam mengamalkan syariat yang dibawa oleh Baginda Nabi SAW. Hal ini jelas seperti yang diperintahkan di dalam al-Quran, Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

(Surah al-Zariyat, 56)

Di dalam kitab A’lam al-Jin wa al-Syaitan menyatakan, bahawa ayat di atas menggambarkan jin diberi taklifan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Sekiranya mereka mentaatinya, maka redha Allah SWT ke atas mereka dan diberikan ganjaran syurga. Dan sekiranya mereka melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT, maka mereka akan diberi balasan neraka. (Lihat A’lam al-Jin wa al-Syaitan, 1/41)

Begitu juga di dalam surah yang lain menceritakan tentang keimanan golongan jin kepada Allah SWT apabila mendengar ayat al-Quran yang dibacakan kepada mereka. Ini membuktikan bahawa golongan jin juga ditaklifkan supaya beriman kepada Allah SWT seperti mana ditaklifkan kepada golongan manusia. Firman Allah SWT:

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا ﴿١﴾ يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ ۖ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا ﴿٢

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! (1) `Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

(Surah al-Jin, 1-2)

Dr. Wahbah Zuhaili menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas menerangkan, terdapat pelbagai faedah daripada kisah di dalam ayat ini, di antaranya menjelaskan bahawa golongan jin juga diberi taklifan dan tanggungjawab mengikut syariat Islam seperti mana golongan manusia. Begitu juga, di antara kalangan mereka itu terdapat golongan yang beriman dan mereka menyeru kepada golongan jin yang kafir agar beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada seluruh makhluk termasuk manusia, jin dan malaikat. (Lihat Tafsir al-Munir 29/163)

Justeru, perbahasan di atas membenarkan bahawa golongan jin juga termasuk di dalam kalangan yang diberi taklifan supaya beriman dan patuh kepada perintah Allah SWT sepertimana yang ditaklifkan kepada umat manusia.

Selain itu, boleh juga rujuk artikel di dalam laman web PMWP yang bertajuk IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 41: ADAKAH GOLONGAN JIN ITU MUKALLAF?

Golongan Jin Yang Beriman dan Kufur Kepada Allah SWT

Keimanan dan kekufuran merupakan kayu ukur dalam membezakan di antara yang hak dan batil. Allah SWT menjanjikan kepada makhluk-Nya dari golongan manusia dan jin yang beriman dan beramal soleh akan diberikan ganjaran yang baik iaitu syurga. Demikian juga sebaliknya, mereka yang kufur dan ingkar akan diberikan balasan dengan azab siksaan yang buruk.

Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran, Firman Allah SWT:

وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ ۖ كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا ﴿١١﴾ وَأَنَّا ظَنَنَّا أَن لَّن نُّعْجِزَ اللَّـهَ فِي الْأَرْضِ وَلَن نُّعْجِزَهُ هَرَبًا ﴿١٢

Maksudnya: `Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit sekalipun). (12) `Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

(Surah al-Jin, 11-12)

Di dalam hal ini juga, Allah SWT telah menjelaskan bahawa terdapat golongan jin yang beriman kepada-Nya serta golongan jin yang ingkar dan kufur terhadap-Nya. Firman Allah SWT:

وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ وَمِنَّا الْقَاسِطُونَ ۖ فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُولَـٰئِكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا

Maksudnya: `Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar,

(Surah al-Jin, 14)

Dr. wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut, ayat di atas menceritakan tentang golongan jin ini sesetengah daripada mereka beriman, taat dan beramal soleh kepada Allah SWT dan sesetengah daripadanya melakukan kezaliman dan menyimpang daripada jalan kebenaran dan kebaikan... (الْقَاسِطُونَ) bermaksud golongan jin yang kafir, mereka menyeleweng daripada pertunjuk yang benar. Dan mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Munir, 29/170)

Begitu juga, di dalam hal ganjaran dan pembalasan Allah SWT terhadap golongan jin yang beriman dan kufur. Hal ini digambarkan di dalam al-Quran, bahawa mereka akan diberi ganjaran dan balasan di hari akhirat kelak. Oleh itu, ini tidak membezakan mereka daripada apa yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan manusia. Firman Allah SWT:

فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَانٌّ

Maksudnya: Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;

(Surah al-Rahman, 56)

Imam Ibnu kathir menyatakan, ayat di atas merupakan bukti bahawa golongan jin yang beriman akan dimasukkan kedalam syurga. Dinukilkan riwayat daripada Artah bin al-Manzur katanya: telah ditanya kepada Dhamrah bin Habib, adakah golongan jin dimasukkan ke dalam syurga? Katanya: ya bahkan mereka juga berkahwin. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 7/465)

Justeru, dapat disimpulkan di sini bahawa tiada perbezaan di antara manusia dan jin dalam hal balasan dan ganjaran daripada Allah SWT kepada hamba-Nya serta dalam menentukan amalan baik dan buruk hamba-Nya.

Benarkah Manusia Lebih Baik dan Mulia Daripada Jin

Kemuliaan dan kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia tidak diberikan terhadap makhluk-Nya yang lain. Namun kemuliaan ini tidak memberi sebarang makna kepada manusia yang tidak mamatuhi apa yang disyariatkan oleh Allah SWT kepadanya. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. 

(Surah al-Isra’, 70)

Di dalam hal ini Iman Ibnu Kathir di dalam mentafsirkan ayat (وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ) menyatakan bahawa Allah SWT telah memberi kemuliaan kepada manusia melebihi daripada makhluk-makhluk lain yang dijadikan-Nya. Dan ayat ini juga digunakan sebagai dalil kemuliaan golongan manusia berbanding golongan malaikat. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 5/89)

Selain itu, di dalam mentafsirkan ayat (وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا) Imam al-Qurtubi menyebut bahawa diberikan ke atas manusia kemuliaan kerana diberikan akal. Akal merupakan faktor utama untuk menunaikan taklifan yang diperintahkan kepada manusia. Akal juga dapat mengenali Allah SWT dan Kalam-Nya. Selain itu dengan akal dapat membenarkan ajaran yang dibawa oleh Rasul SAW.

Begitu juga, ayat ini menjelaskan hal berkenaan anak Adam AS yang dikhususkan kemuliaan bagi mereka berbanding dengan haiwan dan jin.

(Lihat Tafsir al-Qurtubi, 10/294)

Syeikh al-Sa’di juga menyatakan bahawa Kemuliaan yang diberikan kepada manusia adalah bermaksud diberikan kepada mereka ilmu, akal fikiran, diutuskan rasul dikalangan manusia, diturunkan kitab kepadanya dan pelbagai nikmat kemuliaan dari segi zahir dan batin. Oleh sebab itu, dengan nikmat ini sepatutnya mereka melahirkan rasa syukur dengan beribadah kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/463)

Oleh itu, dapat difahami bahawa kemuliaan manusia berbanding dengan makhluk yang lain bukanlah perkara yang bersifat mutlak. Sekiranya manusia itu menggunakan nikmat yang mereka perolehi ke arah keburukan, maka mereka itu lebih buruk daripada makhluk-makhluk yang lain. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَـٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ 

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

(Surah al-A’raf, 179)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada soalan dan hujah yang diberikan, kami berpendapat bahawa kelebihan yang Allah SWT telah berikan kepada manusia itu menjadikan manusia lebih mulia berbading dengan golongan jin, ini seperti mana yang dinyatakan di dalam ayat di atas. Namun, tingkatan ibadah hamba-Nya adalah sama di sisi Allah SWT. Selain itu juga, Allah SWT memberi ganjaran serta balasan yang setimpal berdasarkan perbuatan dan amalan yang dilakukan oleh hambanya iaitu golongan manusia dan juga jin.

Justeru, dapat kami simpulkan bahawa kenyataan “seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin” adalah bercanggah dengan apa yang dijelaskan di atas. Ini kerana, golongan jin yang beriman, soleh dan taat kepada perintah Allah SWT sudah tentu lebih baik daripada golongan manusia yang kufur, melakukan maksiat dan ingkar kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.