Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #112 : RAHMAT ALLAH ITU LUAS TAPI MENGAPA ORANG BUKAN ISLAM DIAZAB DI AKHIRAT KELAK?

afkar 112

Soalan :

Assalamualaikum AF ustaz. Saya minta maaf jika saya bertanya. Saya ingin tahu. Bukankah Allah sebut bahawa rahmat Allah itu luas, namun mengapa dalam Al-Quran  sebut orang yang tidak beriman akan diazab pada hari akhirat kelak?. Bukankah itu tidak menunjukkan bahawa Allah bersifat rahmat?. Mohon pencerahan dan penjelasan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Walaikumussalam.Ketika di dunia sifat rahmat Allah meliputi kesemua makhluknya termasuklah orang bukan Islam. Mereka mempunyai peluang yang sangat besar untuk mendapat rahmat Allah di hari akhirat kelak dengan syarat mesti beriman kepada Allah dan segala apa yang diturunkan melalui Rasul-Nya. InI kerana ketika di akhirat, rahmat Allah hanya khusus untuk orang yang beriman. Azab Allah ﷻ yang dikenakan ke atas orang yang tidak beriman pada hari akhirat kelak tidak bertentangan dengan sifat rahmat Allah bahkan ia menunjukkan sifat adil Allah SWT.

Menjadi kewajipan kita untuk terus menerus menyampaikan risalah Islam. Semoga Allah menggolongkan kita dalam kalangan orang yang mendapat rahmat Allah bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat jua. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Sememangnya rahmat Allah itu luas. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah ﷻ :

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ

Maksudnya : “…Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu… ”[1]

Para ahli tafsir mempunyai pandangan yang berbeza mengenai tafsiran ayat tersebut. Imam Al-Tabari menukilkan beberapa pandangan ahli tafsir berkenaan firman Allah ‘Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu’. Antara tafsiran yang disebutkan oleh beliau :

فقال بعضهم: مخرجه عامٌّ، ومعناه خاص، والمراد به: ورحمتي وَسِعت المؤمنين بي من أمة محمّدٍ صلى الله عليه وسلم. واستشهد بالذي بعده من الكلام، وهو قوله: "فسأكتبها للذين يتقون"، الآية.

“Sebahagian ahli tafsir menyebut : Lafaznya umum namun maknanya khusus. Yang dimaksudkan dengan rahmat itu (yang disebutkan oleh Allah dalam ayat tersebut) adalah ‘Rahmat-Ku begitu luas bagi orang yang yang beriman dengan Aku dari kalangan umat Muhammad ﷺ. Ianya berdalilkan ayat selepasnya iaitu ‘maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa’. [2]

Pandangan ini adalah antara pandangan Ibn Abbas. Daripada Sa’id Bin Jubair daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau membaca ayat ‘Dan rahmat-Ku meliputi setiap sesuatu. Maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa’. Lalu beliau berkata :

جعلها الله لهذه الأمة.

“ Allah menjadikan rahmat tersebut untuk umat ini.”

Imam Al-Tabari juga menukilkan pandangan lain berkenaan tafsiran ayat tersebut. Beliau menyatakan :

وقال آخرون: بل ذلك على العموم في الدنيا، وعلى الخصوص في الآخرة

“Ahli Tafsir yang lain berkata bahkan ayat tersebut ditujukan umum ketika di dunia dan khususnya ketika di akhirat.”[3]

Ini berdasarkan pandangan Al-Hasan Al-Basri dan Qatadah. Mereka berkata :

وسعت في الدنيا البَرَّ والفاجر، وهي يوم القيامة للذين اتَّقوا خاصَّةً.

“ Rahmat Allah luas ketika di dunia yang meliputi orang yang baik dan berdosa. Pada hari Kiamat, rahmat Allah adalah khusus untuk orang yang bertakwa.”

Tafsiran ini memberikan makna bahawa ketika di dunia rahmat Allah itu umum  untuk semua makhluk-Nya termasuklah orang bukan Islam. Ini terzahir dalam segenap sudut kehidupan mereka. Jika tidak kerana rahmat Allah, sudah pasti mereka tidak akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Di samping itu, tanda rahmat Allah SWT terlihat dalam sikap kasih saying antara makhluknya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi ﷺ. Baginda bersabda :

‌جَعَلَ ‌اللهُ ‌الرَّحْمَةَ ‌مِائَةَ ‌جُزْءٍ، فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ وَأَنْزَلَ فِي الْأَرْضِ جُزْءًا وَاحِدًا، فَمِنْ ذَلِكَ الْجُزْءِ تَتَرَاحَمُ الْخَلَائِقُ، حَتَّى تَرْفَعَ الدَّابَّةُ حَافِرَهَا عَنْ وَلَدِهَا، خَشْيَةَ أَنْ تُصِيبَهُ

Maksudnya : “Allah menjadikan rahmat sebanyak serratus bahagian. Dia menyimpan 99 bahagian dan menurunkan satu bahagian ke dunia. Di antara bahagian tersebut adalah sifat saling mengasihi antara makhluk sehingga seekor binatang akan mengangkat tapak kakinya daripada anaknya takut-takut akan terpijak anaknya.”[4]

 Di antara tanda lain rahmat Allah ketika di dunia adalah membuka seluas-luasnya pintu taubat. Allah ﷻ berfirman :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[5]

Bahkan ada doa yang dirakamkan oleh Allah SWT :

رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

Maksudnya : “…Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.”[6]

Ini tanda rahmat Allah yang paling besar ketika di dunia di samping memberikan kemudahan kepada makhluk-Nya untuk menjalani kehidupan seharian. Namun, ketika di akhirat, rahmat Allah hanya untuk orang yang beriman.Imam Fakhruddin Al-Razi berkata :

‌وَرَحْمَتِي ‌وَسِعَتْ ‌كُلَّ ‌شَيْءٍ هُوَ أَنَّ رَحْمَتَهُ فِي الدُّنْيَا عَمَّتِ الْكُلَّ، وَأَمَّا فِي الْآخِرَةِ فَهِيَ مُخْتَصَّةٌ بِالْمُؤْمِنِينَ

“Dan rahmat-Ku meliputi setiap sesuatu bermakna rahmat Allah meliputi semua makhluk secara umum ketika di dunia. Adapun di akhirat ianya dikhususkan untuk orang yang beriman.”[7]

Pengkhususan sifat rahmat Allah untuk orang yang beriman ketika akhirat terlihat menerusi firman Allah selepas daripada ayat tersebut :

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِندَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ يَأْمُرُهُم بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنزِلَ مَعَهُ ۙ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya : "Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.”[8]

Adapun orang yang tidak beriman diazab ketika di akhirat, ini bukan bermakna bahawa Allah tidak bersifat dengan sifat Rahmat akan tetapi itu menunjukkan bahawa Allah ﷻ bersifat dengan sifat adil. Allah ﷻ menjelaskan :

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Maksudnya : “Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.”[9]

Firman Allah lagi :

أَفَنَجْعَلُ الْمُسْلِمِينَ كَالْمُجْرِمِينَ ﴿٣٥﴾ مَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ

Maksudnya : “Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar). Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?”[10]

Ibn Kathir berkata :

لَا يَسْتَوِي الْمُؤْمِنُونَ وَالْكَافِرُونَ

“Tidak sama orang yang beriman dengan yang tidak beriman.”[11]

Hal ini juga dapat dilihat dan diperhatikan secara logik melalui apa yang berlaku di dunia. Seorang hakim apabila menjatuhkan hukuman kepada pesalah atau penjenayah, ini bermakna ianya adalah satu rahmat kepada mangsa. Iaitu dengan keadilan yang ditegakkan oleh hakim. Jika hakim tersebut tidak menjatuhkan hukuman kepada seseorang yang terbukti bersalah, ini sudah pasti dilihat sebagai satu kezaliman kepada mangsa. Justeru, hukuman yang dikenakan itu bukan bermakna hakim tidak bersikap belas kasihan namun ia adalah satu keadilan yang dikenakan di atas ketidakpatuhan seseorang itu terhadap undang-undang yang telah digariskan.

Kesimpulannya, ketika di dunia sifat rahmat Allah meliputi kesemua makhluknya termasuklah orang bukan Islam. Mereka mempunyai peluang yang sangat besar untuk mendapat rahmat Allah di hari akhirat kelak dengan syarat mesti beriman kepada Allah dan segala apa yang diturunkan melalui Rasul-Nya. InI kerana ketika di akhirat, rahmat Allah hanya khusus untuk orang yang beriman. Azab Allah ﷻ yang dikenakan ke atas orang yang tidak beriman pada hari akhirat kelak tidak bertentangan dengan sifat rahmat Allah bahkan ia menunjukkan sifat adil Allah SWT.

Wallahu’alam.

 

Nota hujung :

[1] Surah Al-‘Araf : 156

[2] Abu Ja’far Al-Tabari, Muhammad Bin Jarir, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayy Al-Quran, Dar Al-Tarbiyah Wa Al-Turath, j.13 h.156.

[3] Abu Ja’afar Al-Tabari, , Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayy Al-Quran, j.13 h.159

[4] Riwayat Al-Bukhari no 6000 & Muslim no 2752

[5] Surah Al-Zumar : 53

[6] Surah Ghafir : 7

[7] Fakhruddin Al-Razi, Muhammad Bin Umar, Mafatih Al-Ghaib, Dar Ihya’ Al-Turath Al-‘Arabiy, Beirut, j.15 h.379.

[8] Surah Al-‘Araf : 157

[9] Surah Al-Jathiah : 21

[10] Surah Al-Qalam : 35-36

[11] Abu Al-Fida’ Ibn Kathir, Ismail Bin Umar, Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, Dar Tayyibah, j.7 h.267