Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #135: BENARKAH MARTABAT WALI ALLAH LEBIH TINGGI DARIPADA PARA NABI?

BENARKAH MARTABAT WALI ALLAH LEBIH TINGGI DARIPADA PARA NABI

SOALAN

Dalam pengajian saya, terdapat perbahasan yang menganggap wali Allah mempunyai martabat yang lebih tinggi daripada para nabi. Oleh itu, benarkah tanggapan ini? Mohon pencerahan pihak tuan.

RINGKASAN JAWAPAN

Wali Allah mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT berdasarkan tingkatan keimanan dan ketakwaan masing-masing. Walau bagaimanapun, martabat para nabi secara jelas menunjukkan jauh lebih utama daripada martabat wali Allah dan martabat wali Allah tidak akan mencapai kedudukan para nabi. Oleh yang demikian itu, perbahasan mengenai wali Allah mempunyai martabat yang lebih tinggi daripada para nabi merupakan perbahasan yang tersasar daripada kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Masyarakat Islam dianjurkan untuk tidak berselisih berkenaan perkara ini kerana ditakuti boleh menjadikan seseorang itu kafir.

 

HURAIAN JAWAPAN

Pendahuluan

Alhamdulillah segala puji dan syukur hanya bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan besar Muhammad SAW serta ahli keluarga, sahabat-sahabat, para tabiin dan pewaris-pewaris perjuangan baginda SAW.

Nabi adalah sesorang yang diutuskan oleh Allah untuk menerima dan menyampaikan wahyu yang diturunkan kepadanya. Hal yang sama juga berlaku kepada Rasul yang diberikan syariat dan kitab Allah SWT secara khusus.[1] Manakala, wali Allah adalah sesorang yang mengenal Allah SWT dan sifat-sifat-Nya dalam melakukan ketaatan yang berterusan, menghindari daripada kemaksiatan, membebaskan diri daripada belenggu kelazatan duniawi dan keinginan syahwat.[2]

Sememangnya diketahui, wali Allah mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT berdasarkan tingkatan keimanan dan ketakwaan masing-masing. Walau bagaimanapun, martabat para nabi secara jelas menunjukkan lebih utama daripada martabat wali Allah. Antara sebab-sebabnya termasuk perkara yang berikut:

1.       Keutamaan martabat para nabi berbanding seluruh manusia

Martabat para nabi secara pasti adalah lebih utama berbanding seluruh manusia. Hal ini kerana Allah SWT memilih para nabi sebagai penyampai kepada risalah dalam kalangan umat mereka. Firman Allah SWT:

وَإِذَا جَآءَتۡهُمۡ آيَةٌ قَالُواْ لَن نُّؤۡمِنَ حَتَّىٰ نُؤۡتَىٰ مِثۡلَ مَآ أُوتِيَ رُسُلُ ٱللَّهِۘ ٱللَّهُ أَعۡلَمُ حَيۡثُ يَجۡعَلُ رِسَالَتَهُۥۗ

Maksudnya: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikan-Nya itu.

Surah al-An'am (124)

Menurut at-Tabari, ayat di atas menerangkan bahawa Allah SWT melantik nabi dan rasul dalam kalangan manusia yang terpilih. Pelantikan ini bukanlah dengan usaha daripada pemilihan dalam kalangan manusia. Namun, pelantikan ini merupakan anugerah yang khusus daripada Allah SWT. Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui kepada siapa tugas risalah itu diberikan.[3]

Selain itu, Nabi ﷺ bersabda tentang sebab kedudukan para nabi dan rasul diangkat tinggi oleh Allah:

عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلَاءً قَالَ الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى الْعَبْدُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صُلْبًا اشْتَدَّ بَلَاؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ رِقَّةٌ ابْتُلِيَ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَمَا يَبْرَحُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الْأَرْضِ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيئَةٍ

Maksudnya: Mus’ab bin Sa’ad meriwayatkan daripada bapanya yang berkata: “Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat mendapat ujian? Baginda SAW menjawab: “Para nabi, kemudian orang-orang yang selanjutnya yang lebih utama dan selanjutnya. Seseorang hamba itu diuji menurut kadar agamanya (keimanannya). Sekiranya semakin kuat keimanannya, maka semakin berat ujiannya. Sekiranya semakin lemah keimanannya, maka dia diuji menurut kadar kesesuaian agamanya. Lalu, ujian itu akan berterusan menimpa seorang hamba sehinggalah dia akan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan suci daripada dosa.

Riwayat Ibn Majah

Menurut Muhammad al-Sindi, hadis di atas membahaskan bahawa keutamaan martabat berdasarkan tingkatan ujian yang diterima oleh seseorang. Ujian yang paling berat terhadap para nabi menunjukkan martabat mereka yang paling utama. Kemudian, diikuti martabat seterusnya iaitu martabat yang lebih rendah berdasarkan tingkatan ujian yang diterima.[4] Badr al-Din al-Ayni juga menghuraikan hadis di atas secara pasti terdapat jurang yang besar antara martabat nabi dengan martabat wali Allah. Sedangkan, jurang martabat wali-wali Allah lebih kecil daripada itu.[5]

2.       Martabat wali Allah dan para nabi

Seterusnya, penjelasan martabat wali Allah dan para nabi yang dibuat menerusi matan iaitu teks akidah oleh Abu Ja’faar al-Tahawi seperti berikut:

وَلَا نُفَضِلُ أَحَداً مِنَ الأَوْلِيَاء عَلَى أَحَدٍ مِنَ الأَنْبِيَاء عَليهِمُ السَّلَامُ ، وَنَقُولُ : نَبِي وَاحِدٌ أَفْضَلُ مِنْ جَمِيعِ الأَوْلِيَاء

Maksudnya: Kami tidak melebihkan seseorang wali daripada para nabi. Justeru kami mengatakan bahawa seorang Nabi itu lebih mulia daripada semua wali.[6]

Huraian matan di atas memperlihatkan bahawa seorang wali Allah tidak pernah mencapai tahap nabi. Hal ini berlaku kerana wali Allah merupakan pengikut kepada nabi. Martabat wali Allah sebagai pengikut adalah lebih rendah berbanding nabi sebagai orang yang diikutinya. Setiap nabi adalah wali Allah dan bukan semua wali Allah adalah nabi. Dengan keadaan sedemikian, seorang nabi itu menghimpunkan dalam dirinya ciri-ciri kenabian dan kewalian.[7] Hal ini menyebabkan ulama aliran Ashari’rah secara ijmak iaitu sebulat suara bersama majoriti umat Islam menyatakan bahawa setiap nabi lebih baik daripada setiap wali Allah yang bukan nabi.[8]

Dalam pada itu, umat Islam tidak berselisih pandangan bahawa para nabi itu mempunyai kedudukan dan darjat yang lebih tinggi. Begitu juga para nabi memiliki lebih keutamaan dan kemuliaan di sisi Allah SWT berbanding dengan golongan yang lain. Sesiapa yang menyelisihi kesepakatan ini, maka boleh termasuk dalam golongan yang terkeluar daripada Islam.[9] Ketinggian dan keutamaan martabat nabi adalah perkara sesuatu kebenaran yang dapat dipastikan melalui akal atau dalil. Manakala sesiapa yang berpendapat sebaliknya, perkara ini boleh menjadikan seseorang itu kafir. Hal yang demikian kerana perkara ini merupakan urusan agama yang dapat diketahui secara pasti.[10]

 

Penutup

Perbahasan mengenai wali Allah mempunyai martabat yang lebih tinggi daripada para nabi merupakan perbahasan yang tersasar daripada kefahaman Ahli Sunnah Waljamah. Keutamaan martabat para nabi dibuktikan dengan pelantikan mereka sebagai penyampai risalah Allah SWT dan penerimaan ujian yang paling berat berbanding dengan manusia yang lain. Sementara itu, martabat wali Allah tidak akan mencapai kedudukan para nabi berdasarkan pendapat secara ijmak dalam kalangan Ahli Sunnah Waljamaah. Oleh itu, masyarakat Islam dianjurkan untuk tidak berselisih berkenaan perkara ini kerana ditakuti boleh menjadikan sesorang itu kafir.

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

[1] al-Taftazani, Mas’ud bin ‘Umar bin ‘Abd Allah, Sharh al-Maqasid, (Beirut: 'Alam al-Kutub, 1998), 5: 5. Teks asal:

النبي إنسان بعثه الله لتبليغ ما أوحى اليه وكذا الرسول، وقد يخص بمن خص بشريعة وكتاب

[2] Al-Jurjani, ‘Ali ibn Muhammad al-Sharif, Kitab al-Ta‘rifat, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983), 254. Teks asal:

والولي، هو العارف بالله وصفاته بحسب ما يمكن المواظب على الطاعات، المجتنب عن المعاصي، المعرض عن الانهماك في اللذات والشهوات

[3] al-Tabari, Abu Jaafar Muhammad Ibn Jarir, Tafsiran al-Tabari Jami al-Bayan ‘an Tawil Ayat al-Quran. (Dar al-Hijrah, 2001), 9: 539-540. Teks asal:

أَنَّ آيَاتِ الْأَنْبِيَاءِ وَالرُّسُلِ لَمْ يُعْطَهَا مِنَ الْبَشَرِ إِلَّا رَسُولٌ مُرْسَلٌ، وَلَيْسَ الْعَادِلُونَ بِرَبِّهِمُ الْأَوْثَانَ وَالْأَصْنَامَ مِنْهُمْ فَيُعْطَوْهَا. يَقُولُ جَلَّ ثَنَاؤُهُ: فَأَنَا أَعْلَمُ بِمَوَاضِعِ رِسَالَاتِي وَمَنْ هُوَ لَهَا أَهْلٌ، فَلَيْسَ لَكُمْ أَيُّهَا الْمُشْرِكُونَ أَنْ تَتَخَيَّرُوا ذَلِكَ عَلَيَّ أَنْتُمْ، لِأَنَّ تَخَيُّرَ الرَّسُولِ إِلَى الْمُرْسِلِ دُونَ الْمُرْسَلِ إِلَيْهِ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ إِذَا أَرْسَلَ رِسَالَةً بِمَوْضِعِ رِسَالَاتِهِ

[4] Muhammad Ibn Abd al-Hadi al-Tawwi al-Sindi, Hashiah al-Sindi ala Sunan Ibn Majah: Kifayah al-Hajah fi Sharh Sunan Ibn Majah, (Beirut: Dar al-Jil, t.t.), 2: 490. Teks asal:

الْأَفْضَلُ فَالْأَفْضَلُ عَلَى تَرْتِيبِهِمْ فِي الْفَضْلِ فَكُلُّ مَنْ كَانَ أَفْضَلَ فَبَلَاؤُهُ أَشَدُّ

[5] Badr al-Din Abu Muhammad Mahmoud Ibn Ahmad al-Ayni, Umdat al-Qariy Sharh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiy, t.t.), 21: 212. Teks asal:

إِذْ لَا شكّ أَن الْبعد بَين النَّبِي وَالْوَلِيّ أَكثر من الْبعد بَين ولي وَولي

[6] Al-Tahawi, Abu Ja’afar al-Tahawi, Matan al-‘Aqidah al-Tahawiyyah: Bayan ‘Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. (Bayrut: Dar Ibn Hazm, 1995).

[7] Al-Babarti, Muḥammad Ibn Muhammad, Sharh Aqidah Ahl al-Sunnah wa al- Jama'ah, (Kuwait: Wizarah al-Awqaf wa al-Shu'un al-Islamiyyah, 1989), 148. Teks asal:

لا يبلغ ولى قط من درجة النبي لأن الولى تابع للنبى والتابع درجته دون درجة المتبوع ولأن كل نبي ولي وليس كل ولي نبيا ففي النبي اجتمعت النبوة والولاية

[8] Al-Baghdadi, Abi Mansur ‘Abd al-Qahir bin Tahir, Usul al-Dīn (Istanbul: Matba’ah al-Dawlah, 1928), 298. Teks asal:

أجمع أصحابنا مع أكثر الأمة على أن كل نبي أفضل من كل ولي ليس بنبي

[9] Ibn Hazm, Muhammad Ali Ibn Ahmed Ibn Saed, al-Muhalla bi al-'Athar, (Beirut: Dar al-Fikr, t.t.), 1: 45. Teks asal:

وَلَا خِلَافَ بَيْنَ مُسْلِمَيْنِ فِي أَنَّ الْأَنْبِيَاءَ - عَلَيْهِمْ السَّلَامُ - أَرْفَعُ قَدْرًا وَدَرَجَةً وَأَتَمُّ فَضِيلَةً عِنْدَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَأَعْلَى كَرَامَةً مِنْ كُلِّ مَنْ دُونَهُمْ، وَمَنْ خَالَفَ فِي هَذَا فَلَيْسَ مُسْلِمًا

[10] Al-Qurtubi, Ahmad Ibn Umar Ibn Ibrahim, al-Mufhim li-ma Ashkal min Talkhis Kitab Muslim, (Damshik: Dar Ibn Kathir dan Dar al-Kalim al-Tayyib, 1996), 6: 217. Teks asal:

لا إشكال أن النبي أفضل من الولي. وهذا أمرٌ مقطوع به عقلًا ونقلًا، والصائر إلى خلافه كافر، فإنَّه أمرٌ معلوم من الشرائع بالضرورة