Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #142: KISAH PERDEBATAN ANTARA NABI MUSA AS DENGAN NABI ADAM AS

KISAH_PERDEBATAN_ANTARA_NABI_MUSA_AS_DENGAN_NABI_ADAM_AS.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum, benarkah terdapat kisah perdebatan antara Nabi Musa AS dengan Nabi Adam AS berkenaan dengan kelakuan Nabi Adam AS yang memakan buah larangan dan menyebabkan Baginda dikeluarkan dari syurga.

Ringkasan Jawapan

Peristiwa dialog dan perdebatan antara Nabi Musa AS dengan Nabi Adam AS tentang kekhilafan yang dilakukan oleh Nabi Adam AS setelah terpedaya dengan godaan syaitan. Peristiwa tersebut berlaku apabila Nabi Adam AS memakan buah daripada pohon larangan lalu Allah SWT memerintahkan baginda AS dan isterinya Hawa turun ke muka Bumi. Peristiwa ini adalah berlandaskan hadis Nabi SAW yang wajib diimani.

Antara ibrah yang terdapat dalam hadis ini adalah menunjukkan tentang keharusan berdialog jika terdapat sebarang kemusykilan dalam keadaan damai dengan menyebut kelebihan antara satu sama lain. Hadis ini juga menunjukkan kewajipan beriman dengan perkara ghaib yang telah sabit dengan dalil yang sahih. Selain itu, hadis ini juga menunjukkan bukti takdir masa lalu di samping menjelaskan kelebihan Nabi Adam AS yang diciptakan oleh Allah SWT dan para Malaikat sujud kepadanya serta kelebihan Nabi Musa AS yang dianugerahkan kepadanya Risalah dan Kalam Allah SWT. Dalam hadis ini juga menunjukkan bukti wujud kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS.

Huraian Jawapan

Kisah Nabi Adam AS setelah terpedaya dengan godaan syaitan apabila memakan buah daripada pohon larangan lalu Allah SWT memerintahkan baginda AS dan isterinya Hawa turun ke muka Bumi. Kisah ini telah dirakamkan dalam al-Quran melalui firman-Nya:

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ ‎﴿٣٥﴾‏ فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ ۖ وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَىٰ حِينٍ ‎﴿٣٦﴾

Maksudnya: Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim". (35) Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". (36)

(Surah al-Baqarah, 35-36)

Peristiwa perdebatan antara Nabi Musa AS dengan Nabi Adam AS tentang kekhilafan yang dilakukan oleh Nabi Adam AS dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

‏"‏ احْتَجَّ آدَمُ وَمُوسَى فَقَالَ لَهُ مُوسَى أَنْتَ آدَمُ الَّذِي أَخْرَجَتْكَ خَطِيئَتُكَ مِنَ الْجَنَّةِ فَقَالَ لَهُ آدَمُ أَنْتَ مُوسَى الَّذِي اصْطَفَاكَ اللَّهُ بِرِسَالَتِهِ وَبِكَلاَمِهِ ثُمَّ تَلُومُنِي عَلَى أَمْرٍ قَدْ قُدِّرَ عَلَىَّ قَبْلَ أَنْ أُخْلَقَ فَحَجَّ آدَمُ مُوسَى ‏"‏ ‏.‏

Maksudnya: Terjadi perdebatan antara Nabi Adam dan Musa. Musa berkata: “Kamukah Adam yang dikeluarkan dari syurga atas kesalahan kamu?”. Adam berkata: “Kamukah Musa yang dipilih oleh Allah SWT dengan Risalah dan Kalam-Nya, lalu kamu mencelaku atas perkara yang telah ditentukan ke atas ku sebelum aku diciptakan?”. Maka Adam menewaskan hujah Musa

Riwayat muslim (2652)

Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi SAW, sabdanya:

‏"‏ احْتَجَّ آدَمُ وَمُوسَى، فَقَالَ لَهُ مُوسَى يَا آدَمُ أَنْتَ أَبُونَا خَيَّبْتَنَا وَأَخْرَجْتَنَا مِنَ الْجَنَّةِ‏.‏ قَالَ لَهُ آدَمُ يَا مُوسَى اصْطَفَاكَ اللَّهُ بِكَلاَمِهِ، وَخَطَّ لَكَ بِيَدِهِ، أَتَلُومُنِي عَلَى أَمْرٍ قَدَّرَ اللَّهُ عَلَىَّ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَنِي بِأَرْبَعِينَ سَنَةً‏.‏ فَحَجَّ آدَمُ مُوسَى، فَحَجَّ آدَمُ مُوسَى ‏"‏ ثَلاَثًا‏

Maksudnya: Berlaku perdebatan antara Adam dan Musa. Musa berkata: “Wahai Adam, kamu adalah bapa yang telah mengecewakan dan mengeluarkan kami dari syurga”. Adam berkata: “Wahai Musa, kamu dipilih oleh Allah SWT dengan dianugerahkan Kalam-Nya dan mendatangkan catatan wahyu dengan kekuasaan-Nya, lalu kamu mencelaku atas perkara yang telah ditakdirkan Allah SWT ke atasku empat puluh tahun sebelum Dia menciptaku. Maka seperti itu hujah Adam mengatasi hujah Musa, hujah Adam mengatasi hujah Musa. Disebut sebanyak tiga kali

Riwayat al-Bukhari (6614)

Berhubungan hadis ini, para ulama berbeza pandangan berkenaan waktu dan masa pertemuan antara Nabi Adam AS dengan Nabi Musa AS. Sebahagian pandangan menyatakan bahawa pertemuan mereka terjadi pada zaman Nabi Musa AS dengan cara Allah SWT menghidupkan kembali Nabi Adam AS. Menurut pendapat yang lain Allah SWT mempertemukan ruh Nabi Adam AS dengan Nabi Musa AS sepertimana Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan ruh para anbia pada malam Israk dan Mikraj. Selain itu, terdapat pandangan yang lain menyatakan bahawa pertemuan mereka berlaku dalam mimpi yang mana mimpi merupakan wahyu bagi para anbia. Menurut Ibn Abd al-Bar dan al-Qabisi, Nabi Musa AS dipertemukan dengan Nabi Adam AS setelah kewafatannya di alam barzakh.[1]

Menurut Qadi ‘Iyad, peristiwa ini boleh dianggap berlaku secara nyata iaitu Nabi Musa AS dan Nabi Adam AS bertemu secara langsung. Perkara ini telah boleh dibuktikan sepertimana hadis Israk bahawa Nabi SAW bertemu dengan para nabi di langit dan Baitul Maqdis serta bersembahyang bersama mereka. Bahkan, perkara ini tidak mustahil sekiranya Allah SWT menghidupkan mereka sepertimana hidupnya para syuhada. Peristiwa pertemuan Nabi Musa AS dan Nabi Adam AS berkemungkinan berlaku pada zaman Nabi Musa AS ketika Baginda AS masih hidup dengan memohon kepada Allah SWT untuk bertemu Nabi Adam AS, lalu Allah SWT menunaikan hajat baginda dan mereka bertemu dan berdialog.[2]

Sebagai kesimpulan, peristiwa dailog dan perdebatan antara Nabi Musa AS dengan Nabi Adam AS berlandaskan hadis Nabi SAW yang wajib diimani. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan pandangan Ibn Jauzi yang menyatakan bahawa wajib beriman ke atas peristiwa ini walaupun tidak dapat melihat bagaimana hal keadaan itu berlaku. Ini kerana hadis tersebut merupakan khabar yang sahih daripada Nabi SAW walaupun perkara tersebut tidak dapat dilihat secara hakikat seperti azab kubur serta nikmatnya, namun wajib menerimanya[3].

Dr. Umar Sulaiman dalam karyanya Sahih al-Qasas al-Nabawi menyimpulkan bahawa, antara ibrah yang terdapat dalam hadis perdebatan antara Musa AS dan Adam AS adalah menunjukkan tentang keharusan berdialog jika terdapat sebarang kemusykilan dalam keadaan damai dengan menyebut kelebihan antara satu sama lain. Hadis ini juga menunjukkan kewajipan beriman dengan perkara ghaib yang telah sabit dengan dalil yang sahih. Selain itu, hadis ini juga menunjukkan tentang bukti takdir masa lalu, menjelaskan kelebihan Nabi Adam AS yang diciptakan oleh Allah SWT dan para Malaikat sujud kepadanya serta kelebihan Nabi Musa AS yang dianugerahkan kepadanya Risalah dan Kalam Allah SWT. Dalam hadis ini juga menunjukkan bukti wujud kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS.[4]

Wallahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1379). Jld. 11 Hlm. 506

وقد اختلف العلماء في وقت هذا اللفظ فقيل يحتمل أنه في زمان موسى فأحيا الله له آدم معجزة له فكلمه أو كشف له عن قبره فتحدثا أو أراه الله روحه كما أرى النبي صلى الله عليه وسلم ليلة المعراج أرواح الأنبياء أو أراه الله له في المنام ورؤيا الأنبياء وحي ولو كان يقع في بعضها ما يقبل التعبير كما في قصة الذبيح أو كان ذلك بعد وفاة موسى فالتقيا في البرزخ أول ما مات موسى فالتقت أرواحهما في السماء وبذلك جزم بن عبد البر والقابسي

[2] Badruddin al-‘Aini, ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, t.t). Jld. 15 Hlm. 307

وَقَالَ القَاضِي عِيَاض: وَيحْتَمل أَن يحمل على ظَاهره، وأنهما اجْتمعَا بأشخاصهما. وَقد ثَبت فِي حَدِيث الْإِسْرَاء أَنه، صلى الله عَلَيْهِ وَسلم، اجْتمع بالأنبياء، عَلَيْهِم الصَّلَاة وَالسَّلَام، فِي السَّمَوَات وَفِي بَيت الْمُقَدّس وَصلى بهم، وَلَا يبعد أَن الله أحياهم كَمَا أَحْيَا الشُّهَدَاء، وَيحْتَمل أَن يكون جرى ذَلِك فِي حَيَاة مُوسَى، سَأَلَ الله تَعَالَى أَن يرِيه آدم، عَلَيْهِ الصَّلَاة وَالسَّلَام، فيحاجه

[3] Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1379). Jld. 11 Hlm. 507

وهذا مما يجب الإيمان به لثبوته عن خبر الصادق وإن لم يطلع على كيفية الحال وليس هو بأول ما يجب علينا الإيمان به وإن لم نقف على حقيقة معناه كعذاب القبر ونعيمه ومتى ضاقت الحيل في كشف المشكلات لم يبق الا التسليم

[4] Dr. Umar Sulaiman bin Abdullah, Sahih al-Qasas al-Nabawi. (Jordan: Dar al-Nafais, 1997) Hlm. 73-74

1. جواز المحاورة بين الصالحين فيما أشكل عليهم، كما تحاور ادم و موسى، وعلى المتحاورين أن ينصاعوا للحق اذا ظهر لهم بعد خفائه، كما انصاع موسى لحجة ادم. 2. يجب الايمان بالغيب الصادق، فقد مدح الله المؤمنين بايمانهم بالغيب، ومن هذا الغيب ما أخبرنا به الرسول ﷺ من الحوار الذي جرى بين ادم وموسى، أما الغيب الذي يدعيه بعض الناس، مما لم يقم دليل على صحته فهو من القول على الله بغير علم. 3. يحسن بالمتحاورين ان يعرف كل واحد منهم فضل الذي يحاوره، فقد ذكر كل من موسى وادم فضل الاخر، وذكر ما حباه الله به. 4. هذا الحديث يدل على اثبات القدر السابق، والنصوص في ذلك كثير، وفيه رد على القدرية النفاة الذين ينفون القدر السابق، ومنهم المعتزلة. 5. بيان الفضائل التي اختص الله بها ادم، فقد خلقه بيده، وأسجد له ملائكته، وأسكنه جنته، واختص موسى بالرسالته وكلامه، وأعطاه الألواح فيها تبيان كل شيء، وقربه نجيا، وهذه الفضائل لكل منهما بعضه منصوص عليه في القرآن، ودلت على بعضه أحديث أخرى غير هذا الحديث. 6. اثبا صفة اليد لله تعالى، فلا يجوز نفي هذه الصفةن ولا التكذيب بها، كما لايجوز تشبيه يد الله بأيدي المخلوقات، على حد قوله تعالى: (ليس كمثله شيء وهو السميع البصير) الشورى:11. 7. ذكر بعض العلم الذي كان موجودا في التورات التي أنزلها الله على موسى، فقد أخبر الرسول ﷺ أن فيها: وعصى آدم ربه فغوى. وهذا النص موجود في القران كما هو التورات التي انزلها الله، ولا وجود لهذا النص في التوراة الموجودة اليوم. 8. في الحديث حقيقة علمية غيبية، وهي أن الله كتب التوراة قبل أن يخلق آدم بأربعين سنة. 9. فيه اثبات أن الله كتب التوراة بيده، وهذا من فضائل التوراة، وهو من فضائل موسى