Soalan:
Perlukah harta yang diperoleh daripada faraid dibayar zakat ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda S.A.W, sahabat baginda S.A.W serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda S.A.W.
Zakat merupakan suatu kewajipan ke atas setiap muslim. Apabila syarat-syaratnya telah mencukupi maka zakat perlulah dikeluarkan. Di antara syarat wajibnya zakat adalah seperti berikut:
- Islam
- Pemilikan yang mencapai nisab
- Berlalunya haul yang penuh ke atas harta.
Maka setelah syarat-syarat ini mencukupi, wajib bagi seseorang itu untuk mengeluarkan zakat.
Berkenaan dengan harta yang diperoleh daripada faraid, sekiranya seseorang itu telah cukup syaratnya serta harta tersebut sudah cukup tempoh haulnya, maka wajib dikeluarkan zakat dari harta tersebut. Wallahu A'lam.