Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI# 261 : TIDAK MENYAMPAIKAN ILMU KERANA GAGAP

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 261 (5 MEI 2016 M / 27 REJAB 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz Dr. SS Mufti, apakah hukum jika kita mempunyai ilmu, tetapi tidak disampai atau dikongsikan untuk dimanfaatkan bagi orang lain atas kerana tidak mampu disebabkan penyakit gagap. Adakah akan diazab kubur dan dimasukkan ke neraka? Seperti yang kita tahu Rasullah suruh sampaikan daripadaku walaupun satu ayat . Mohon pencerahan dari Dr Mufti sendiri.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Pada asalnya, menyampaikan ilmu merupakan suatu tuntutan dalam Islam berdsasarkan hadis Nabi:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (3461) dalam Sahih-nya

Kemudian, untuk menyampaikan ilmu ini perlukan kepada beberapa kriteria:

Memiliki ilmu. Berkata hukamak:

فاقد الشيء لا يعطيه

Maksudnya: Orang yang tidak memiliki sesuatu, tidak dapat memberi sesuatu itu.

 

Justeru, orang yang tidak ada ilmu tidak patut mengajar tetapi dia perlu belajar dan tidak salah untuk menyatakan ‘aku tidak tahu’.

 

Ilmu itu sendiri mesti betul. Tidak boleh menyampaikan ilmu yang tidak betul. Contohnya, seseorang itu berkehendak mengajar ilmu tauhid tetapi dia tidak mengetahui hakikat tauhid dan perbezaan dengan syirik.
Ilmu itu perlu disampaikan dengan cara yang sesuai dan berhikmah.

Persoalan; adakah perlu setiap kali berjumpa orang perlu disampaikan ilmu? Jawapannya, tidak perlu. Ini kerana berdasarkan hadis:

مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Barangsiapa ditanya tentang suatu ilmu tetapi menyembunyikannya, Allah akan mencambuknya dengan cemeti daripada api pada Hari Kiamat.

 

Hadis riwayat Imam Abu Daud (3658) dalam Sunan-nya.

Hadis ini memberi pengertian bahawa yang diharamkan ialah apabila seseorang itu sememangnya memiliki ilmu, lalu ditanya orang, tetapi dia menyembunyikannya.

Untuk penyakit gagap, terdapat banyak cara untuk seseorang menyampaikan ilmu. Antaranya dengan penulisan. Contoh, buku, media sosial, dll. Kemudian, percakapan bagi menyampaikan ilmu juga boleh dilakukan dengan ringkas, tidak semestinya panjang. Ringkas tetapi maklumat tepat. Tetapi ini semua bergantung kepada kemampuan kita.

Wallahua’lam.