AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 424 (3 NOVEMBER 2016 M / 3 SAFAR 1438H)
SOALAN:
Saya merupakan salah seorang broker tanah. Baru-baru ini, saya telah mengambil sebahagian daripada wang pembelian/deposit sebidang tanah, kemudian dia tidak meneruskan pembelian tersebut. Jadi, bagaimanakah dengan kedudukan duit pendahuluan tersebut? Adakah saya boleh mengambilnya.
JAWAPAN:
Isu ini berkaitan dengan hukum-hakam tentang jual-beli Urbun. Sebelum dibincangkan dengan lanjut tentang permasalahan ini dibentangkan terlebih dahulu pengertian berkenaan jual beli urbun.
Perkataan urbun adalah perkataan asing kemudian dipakai oleh bangsa Arab. Ia merujuk kepada sesuatu yang mengikat akad jual beli. Fuqaha mengambil perkataan ini untuk digunakan dalam perundangan dengan memberi pengertian yang khusus iaitu seseorang yang ingin membeli sesuatu dan menyerahkan wang pendahuluan dua dirham atau lebih dengan perhitungan jika dia meneruskan akad jual beli itu, maka wang pendahuluan itu menjadi sebahagian daripada harga barang dan jika tidak meneruskan jual belinya itu maka wang pendahuluan itu menjadi hak penjual.
Para fuqaha telah berbeza pandangan tentang jual beli urbun. Hal ini boleh dilihat dengan lebih lanjut seperti yang berikut:
1. Jumhur fuqaha yang terdiri daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie berpandangan jual beli ini tidak sah kerana terdapat hadis yang melarang jual beli seumpama ini. Ia adalah satu cara makan harta secara batil da nada unsur gharar di dalamnya. Terdapat dalam satu hadis Rasulullah SAW:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْعُرْبَانِ
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang jual beli secara Urbun.
2. Mazhab Hanbali pula mengharuskan jual-beli seumpama ini. Namun perlu ditentukan batasan tempoh khiyar (tempoh pembelian) kepada pembeli. Ini kerana ia bagi mengelakkan kerugian yang ditanggung oleh pihak penjual.
3. Namun, menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh (3/120), jual beli secara urbun adalah diharuskan berdasarkan kepada uuruf semasa. Selain itu, hadis yang melarang jual beli ini juga adalah tidak sahih.
Melihat kepada senario masyarakat Islam pada hari ini, jual beli secara urbun ini dilihat sudah menjadi keperluan dan uruf kepada masyarakat khususnya di zaman sekarang ini sebagai tanda atau bentuk komitmen dalam melakukan perjanjian jual beli. Ia bertujuan bagi mengelakkan kerugian bagi pihak-pihak yang bertransaksi dan sudah tentu menyusahkan masyarakat.
Oleh itu, kami berpandangan jual beli seperti ini diharuskan bedasarkan kepada syarat-syarat berikut:
- Objek barang hendaklah jelas dan sesuatu yang diharuskan syarak.
- Tempoh masa (bagi tujuan pembelian sepenuhnya) diberikan secara jelas, agar terhindar dari unsur gharar. Misalnya jangka masa 1 hari, 2 hari, atau 3 hari, yang disepakati oleh kedua belah pihak yang berakad.
- Wang pendahuluan sebagai tanda jadi atau tanda komitmen harus berdasarkan kesepakatan.
- Wang pendahuluan yang akan menjadi milik penjual, ketika pembeli tidak jadi membeli barangnya merupakan wang ganti rugi (ta’widh), atas kerugian yang ditanggung oleh penjual. Namun, jika masih terdapat lebihan wang pendahuluan daripada kerugian sebenar penjual, maka ia hendaklah dipulangkan kepada pembeli.
Wallahua’lam.