Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Status perkahwinan orang yang tidak solat

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 191 (19 FEBRUARI 2016 M / 10 JAMADILAWAL 1437 H)

 

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz

Bagaimana status perkahwinan orang yang tidak bersolat?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

 

Ancaman yang begitu keras daripada Syariat berkenaan orang yang tidak melaksanakan solat fardu. Allah berfirman dalam Surah al-Muddaththir ayat 42-43:

 

 مَا سَلَكَكُمۡ فِي سَقَرَ  قَالُواْ لَمۡ نَكُ مِنَ ٱلۡمُصَلِّينَ 

 

Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.

Berkata Jabir RA, dia mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

 

Maksudnya: Sesungguhnya antara seorang lelaki, dan kesyirikan dan kekufuran itu ialah pada meninggalkan solat.

Hadis riwayat Muslim

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ مُتَعَمِّدًا فَقَدْ كَفَرَ جِهَارًا

 

Maksudnya: Barangsiapa yang meninggalkan solat secara sengaja maka dia telah kafir dengan nyata.

 

Hadis riwayat al-Tabarani. Berkata al-Haithami: Rijalnya tsiqah, kecuali Muhammad bin Abi Daud yang tidak diketahui latarbelakangnya.  

Dalam Ihya` Ulum al-Din  (1/147)  karangan al-Ghazali, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

الصلاة عماد الدين فمن تركها فقد هدم الدين

Maksudnya: Solat itu tiang agama, barangsiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agamanya.

Berkata al-Iraqi: Hadis ini al-Bayhaqi meriwayatkannya dalam Syu`ab al-Iman dengan sanad yang daif.

Imam al-Dzahabi turut meletakkan dosa meninggalkan solat sebagai dosa terbesar selepas mengamalkan sihir, dalam al-Kabair (1/12).

Berkenaan dengan perkahwinan, hukumnya sah kerana jika seseorang itu meninggalkan solat kerana malas, dia dikira berdosa besar menurut mazhab al-Syafie tetapi tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam. Walau bagaimana pun, tiada jaminan orang yang meninggalkan solat boleh memimpin keluarganya berdasarkan keredaan Allah SWT. Wallahua`lam.