SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Kalau berlaku pertembungan antara pandangan imam mazhab dengan hadis sahih, maka kita hendak guna yang mana?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Secara umumnya, jika bertembung antara pendapat imam mazhab dengan hadis sahih, hendaklah didahulukan hadis yang sahih. Berkata Imam Muhammad bin Idris al-Syafie:
إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي وَاتْرُكُوا قَوْلِي الْمُخَالِفَ لَهُ
Maksudnya: Jika sahih sesuatu hadith itu, maka itulah mazhabku maka hendaklah kamu meninggalkan pendapatku yang bertentangan dengan hadith.
Rujuk al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab (6/370), Tuhfah al-Muhtaj (1/54) & Mughni al-Muhtaj (1/110)
Berkata Imam al-Syafie lagi:
عَلَيْكُمْ بِأَصْحَابِ الحَدِيْثِ فَإِنَّهُمْ أَكْثَرُ النَّاسِ صَوَابًا
Maksudnya: Hendaklah kamu berpegang kepada para ahli hadis kerana mereka ialah orang yang paling dekat dengan kebenaran.
Rujuk Tabaqat al-Syafieyyin oleh Imam Ibn Kathir, & Siyar A`lam al-Nubala’ oleh Imam al-Dhahabi (10/70)
Para muhaqqiqin mazhab, antara Imam al-Nawawi, menggunakan prinsip ini dalam mentarjihkan antara padangan qadim (lama) dan jadid (baru) oleh Imam Syafie pada menentukan hukum bagi orang yang mati sebelum sempat menggantikan puasanya tetapi berkemampuan menggantinya sebelum mati. Pandangan baru mewajibkan diambil harta peninggalannya untuk membayar fidyah satu mud bagi setiap hari yang ditinggalkan dan tidak sah jika waris berpuasa bagi pihak si mati, namun pandangan lama mengikut para muhaqqiqin adalah lebih dekat dengan hadis sahih, yakni waris dibolehkan menggantikannya, dan jika mereka tidak mahu, maka barulah dibayar fidyah daripada harta peninggalannya.
Rujuk al-Majmu’ (6/338)
Namun begitu, hendaklah kita berhati-hati dengan suatu seruan yang memperlecehkan para imam mazhab dan penguasaan mereka terhadap ilmu hadis. Boleh jadi hadis yang dianggap sahih oleh ramai tetapi cara faham hadis itu berbeza kerana pelbagai faktor seperti matannya tidak sarih (jelas) dan menerima kemungkinan maksud lain. Contohnya hadis Ummu Salamah R.Anha:
كَانَتْ النُّفَسَاءُ تَجْلِسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا
Maksudnya: Adalah orang yang bernifas pada zaman Rasulullah SAW menunggu sehingga 40 hari.
Hadis riwayat Imam al-Tirmizi (139). Kata beliau hadis ini hadis hasan sahih.
Di sisi mazhab Hanbali, hadis ini menunjukkan kadar maksimum bagi nifas adalah 40 hari. Tetapi di sisi mazhab Maliki dan Syafie kadar maksimum untuk darah nifas adalah 60 hari. Ketetapan ini adalah berdasarkan istiqra (kajian induksi) ulama-ulama tersebut dengan merujuk para wanita yang terpecaya pada zamannya. Disebabkan tidak akan ada pertentangan antara tabiat dan hadis, maka ditanggungkan maksud hadis itu kepada maksud ghalib (kebiasaannya). Ertinya kebiasaan nifas adalah 40 hari tetapi kadar maksimum adalah 60 hari.
Rujuk al-Majmu’ (2/524-525)
Justeru, perkaitan dengan isu yang dibincangkan, tidak semestinya hadis yang sahih itu difahami dengan satu cara sahaja. Kesimpulannya, para Imam mazhab ialah mereka yang cukup mengetahui ilmu hadis dan cara memahaminya. Disebabkan itu mazhab mereka itu berkembang dan kekal sehingga generasi ini beratus tahun. Maka janganlah kita bermudahan menuduh pendapat imam itu bertentangan dengan hadis sahih kecuali kita benar-benar ada ilmu dalam perkara yang diperbincangkan.
Wallahu a’lam.