Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #684 : HUKUM AIR MUSTA`MAL

Soalan:

Salam. Boleh ustaz huraikan apakah itu air musta`mal?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Air musta`mal adalah salah satu jenis air yang dihuraikan dalam bab taharah atau penyucian. Kalimah “musta`mal” daripada sudut bahawa bermaksud suatu yang telah digunakan. Daripada sudut istilah syarak, air musta`mal ialah air yang telah digunakan untuk fardu taharah seperti mandi, wuduk, dan menghilangkan najis hukmiah. Hukum air musta’mal adalah suci tetapi tidak lagi boleh menyucikan, seperti air mutaghayyirah yakni air yang bercampur dengan bahan suci jua.

Dalil kesuciannya ialah hadis Rasulullah SAW, daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma:

جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا مَرِيضٌ لاَ أَعْقِلُ فَتَوَضَّأَ وَصَبَّ عَلَيَّ مِنْ وَضُوئِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW datang mengunjungi aku, sedangkan ketika itu aku sakit sehingga aku tidak sedar, maka baginda mengambil wuduk dan menyiram atasku air lebih wuduknya.”

Riwayat Bukhari (194) dan Muslim (1616)

Manakala daripada sudut ia tidak boleh digunakan untuk bersuci, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW:

لَا يَغْتَسِلْ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُبٌ فَقَالَ كَيْفَ يَفْعَلُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟ قَالَ َتَنَاوَلُهُ تَنَاوُلًا

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang tetap tidak mengalir sedangkan dia berada dalam keadaaan berjunub.”

Lalu Abu Hurairah ditanya: “Bagaimana sepatutnya dia lakukan wahai Abu Hurairah?,” Lalu dia menjawab: “Mengambilnya satu persatu.”

Riwayat Muslim (283)

Persoalan; sekiranya air musta’mal terpercik masuk ke dalam bekas berisi air mutlak yang kurang dua kolah, adakah menjadikannya air musta`mal? Jawapannya, ditentukan pada air tersebut sekiranya kadar yang masuk itu boleh mengubah sifat air tersebut, yaitu warna, bau dan rasa,  sama ada secara hissi (fizikal) atau maknawi, maka jadilah air yang sedikit itu hukumnya air musta`mal. Sekiranya tidak berubah sama ada secara hissi atau maknawi, maka kekallah status air itu sebagai air mutlak.

Dabit (kriteria) yang digunapakai bagi takdir (menentukan) perubahan maknawi adalah qias dengan bahan-bahan cair yang memiliki sifat mengubah yang sederhana, seperti air perahan buah bagi sifat warna, rasa buah delima bagi sifat rasa dan bau kemenyan bagi sifat bau.

Berkata pengarang Kifayah al-Akhyar (ms.16), Imam Taqiuddin al-Husaini Rahimahullah  : “Tiada beza antara perubahan yang boleh disaksikan atau perubahan maknawi. Sekiranya air itu bercampur dengan suatu yang menepati pada sifatnya seperti air mawar yang sudah hilang baunya, bendalir pokok, dan air musta`mal, maka kita menentukannya dengan sekiranya yang jatuh itu mengubah air dengan suatu yang boleh dikesan melalui pancaindera dan merosakkan tohuriyyah (sifat menyucikan) air tersebut, maka kita hukumkan bahawa sifat menyucikan itu sudah rosak. Jika tiada, maka tidak rosaklah sifat penyucian air tersebut (yakni kekallah sebagai air mutlak).”

Kaedah taqdir ini hanyalah untuk orang yang syak bahawa air sedikit yang bercampur itu ialah campuran yang memudaratkan sifat penyucian air. Maka sunat baginya untuk menggunakan kaedah ini. Adapun jika seseorang itu meluru terus menggunakan air bagi bersuci tanpa  berijtihad dengan taqdir itu, maka taharahnya adalah sah kerana asal bagi air mutlak adalah suci dan menyucikan.

Rujuk Kasyifah al-Saja (ms. 96) dan Taqrirat al-Sadidah (ms. 66)

Begitu juga dalam mazhab Hanbali. Pengarang kitab al-Mughni (1/13-14), Imam Ibn Qudamah Rahimahullah menyebut: “Sekiranya air musta`mal jatuh ke dalam air, dimaafkan sekiranya sedikit…Ini yang zahir daripada keadaan Nabi SAW dan para sahabat baginda kerana mereka berwuduk daripada aqdah (mangkuk-mangkuk) dan atwar (cawan-cawan), dan mereka bersuci daripada jifan (mangkuk-mangkuk yang besar). Diriwayatkan bahawa Nabi SAW mandi dengan isterinya Maimunah daripada satu mangkuk besar yang sama yang padanya terdapat kesan adunan tepung. Juga Baginda mandi dengan isterinya, Aisyah daripada satu bekas sedangkan tangan mereka saling mengambil air daripadanya sambil berkata: “ Tinggalkan baki untukku.” Dan seumpama ini maka tidak selamatlah bekas-bekas itu daripada terkena percikan air (musta`mal). Sekiranya air yang masuk itu menjadi banyak dan menjejaskan, maka tertegah daripada menggunakan air itu untuk bersuci menurut satu daripada dua riwayat. Berkata para ashab al-Syafie: “Sekiranya air musta`mal itu lebih banyak maka tertegah, sekiranya lebih sedikit maka tidak tertegah.”

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang baik untuk beramal. Wallahua`lam.