Soalan:
Assalamualaikum S.S. Mufti, adakah seseorang yang menghisap rokok atau mendedahkan aurat sama ada perempuan dewasa yang tidak memakai tudung ataupun lelaki dewasa yang hanya memakai seluar pendek itu dianggap sebagai perbuatan mujaharah dengan maksiat ?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.WT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Perbuatan mujaharah dengan maksiat iaitu melakukan maksiat secara terang-terangan adalah di antara dosa besar yang dicegah dalam agama. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
Maksudnya: Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.
Riwayat Al-Bukhari (6069)
Hadis di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan yang mempublikkan maksiat ataupun melakukannya secara terang-terangan ini terkecuali dari mendapat ‘aafiyah daripada Allah S.W.T. Golongan al-mujaahiruun ini terbahagi kepada dua bahagian seperti berikut:
Pertama: Seseorang itu melakukan maksiat dan dia melakukannya secara terbuka.
Ini adalah mereka yang melakukan maksiat secara terang-terangan di hadapan orang ramai dan mereka melihat ke arahnya, maka dalam kes ini dia dianggap melakukan kezaliman ke atas dirinya sendiri atas maksiat yang dilakukan. Begitu juga dia melakukan dosa ke atas orang lain kerana menjadi faktor orang lain turut mengikut maksiat yang dia lakukan.
Kedua: Seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi. Kemudian dia pergi menceritakan dosa yang telah dilakukan kepada orang lain.
Ini juga termasuk dalam perbuatan mujaharah (menceritakan dosa kepada orang lain). Perbuatan ini menyebabkan dia turut terkecuali dari mendapat mu’aafah (kemaafan) daripada Allah S.W.T. Para ulama menjelaskan beberapa maksud al-mu’aafaah (kemaafan) yang terdapat di dalam hadis ini. Di antaranya adalah seperti berikut:
Maksud Perkataan Mu’aafa
Kata al-Syeikh ‘Ali al-Qari Rahimahullah: Perkataan mu’aafaa adalah bermakna Allah S.W.T memberikan seseorang itu ‘aafiyah dan keselamatan dari perkara yang makruh (tidak disukai).
Kemudian beliau turut menukilkan kata-kata al-Thibi yang menyebut: ‘’Yang lebih azhar (jelas) adalah untuk disebutkan: Semua umatku ditinggalkan (terlepas) daripada umpatan melainkan golongan yang menjaharkan (berterang-terangan) melakukan maksiat. Ini seperti yang disebutkan: ‘’Sesiapa yang mencabut jilbab malu (dari dirinya) maka tidak dianggap ghibah (ucapan orang lain) buat dirinya’’. Lihat Mirqaat al-Mafatiih, Mulla ‘Ali al-Qari (7/3034).
Secara asasnya, yang dimaksudkan dengan ucapan: ‘’Setiap umatku diberikan ‘aafiyah kecuali golongan yang menjaharkan maksiat’’ adalah seperti berikut:
- Seseorang yang menjaharkan maksiat itu tidak akan terselamat dari ucapan manusia. Iaitu tidak dianggap ghibah sekiranya orang ramai mengatakan dirinya sebagai fasiq kerana perbuatannya yang menjaharkan maksiat.
- Begitu juga golongan ini tidak mendapat sitrullah iaitu Allah tidak akan menjaga keaiban mereka atas faktor mereka sendiri yang menunjukkannya.
- Begitu juga mereka tidak terlepas daripada hukuman had dan juga takzir, kerana secara terang-terangan menzahirkan maksiat. Ini kerana, perbuatan menjaharkan maksiat ini merupakan suatu perbuatan yang merendahkan hak Allah dan juga Rasul-Nya S.A.W.
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa jauhilah dosa besar dan kesan buruk yang terhasil dari perbuatan mujaharah bil maksiat (melakukan maksiat secara terang-terangan) ini. Perbuatan menghisap rokok, mendedahkan aurat, menceritakan dosa yang telah dilakukan, kesemuanya itu termasuk dalam perbuatan menjaharkan maksiat.
Kami nyatakan di sini bahawa, sekiranya seseorang itu diuji oleh Allah S.W.T dengan maksiat, hendaklah dia berusaha menyembunyikannya berserta dengan perbanyakkan taubat. Ini berdasarkan kata hukama’ :
إِذَا ابْتُلِيتُم بِالمَعَاصِي فَاسْتَتِرُوا
Maksudnya: Apabila kamu diuji dengan maksiat, maka hendaklah kamu menutupnya (tidak menceritakan kepada orang lain).
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.