Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #783 : HUKUM SUARA ORANG PEREMPUAN

 

Soalan

Apakah hukum suara orang perempuan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menurut pendapat jumhur, suara orang perempuan tidak dikira sebagai aurat, kerana para sahabat mendengar suara isteri-isteri Nabi Muhammad SAW untuk mempelajari hukum-hukum agama. Tetapi diharamkan mendengar suaranya yang berbentuk lagu dan irama sekalipun bacaan al-Quran kerana dikhuatiri menimbulkan fitnah.

Firman Allah SWT:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

Maksudnya: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

(Surah al-Ahzab: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman (فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ) “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing).” Al-Suddi dan selainnya berkata: “Yang dimaksudkan ialah melembutkan kata-kata jika mereka berbicara dengan lelaki. Untuk itu Allah SWT berfirman (فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ) “yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu),” Iaitu niat buruk. (وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا) “dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” Ibnu Zaid berkata: “Kata-kata yang baik, bagus dan ma’ruf dalam kebaikan. Makna hal ini adalah bahawa wanita berbicara kepada kaum lelaki dengan kata-kata yang tidak mengandungi kelembutan. Ertinya, jangalah seorang wanita berbicara dengan kaum lelaki seperti berbicara dengan suaminya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 6/477)

 

Tarjih

Kami cenderung kepada pendapat yang suara wanita bukanlah aurat. Ini berdasarkan beberapa hujah yang telah dibahaskan di atas di samping banyaknya tokoh wanita yang menjadi guru-guru mengajar kepada murid-muridnya bukan sahaja zaman sekarang tetapi sejak zaman dahulu lagi.

Al-Alusi berkata: “Yang tersebut di dalam kitab-kitab feqah Syafie, di mana aku sendiri cenderung kepada pendapat ini (suara bukan aurat) kecuali kalau dikhuatiri timbulnya fitnah”. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 18/146)

Menurut ulama’ Hanafi, pendapat yang rajih ialah suara orang perempuan bukan aurat.[1]

Kami menutup perbincangan ini dengan menukilkan pendapat Syeikh Ali al-Sobuni: “Sebaiknya kaum lelaki menegah perempuan-perempuan daripada melakukan perkara yang membangkitkan fitnah dan tipu daya seperti memakai pakaian sempit, meninggikan suara, dan memakai wangi-wangian. Firman Allah SWT:

فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

Maksudnya: Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

(Surah al-Ahzab: 32)

Semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang fitnah. Ameen.

 

Nota hujung:

[1] Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/549-550.