Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #813 : HUKUM DUDUK DI ATAS KATIL YANG TERDAPAT AIR MAZI

 

 

SOALAN:

Assalamualaikum Ustaz. Saya nak tanya berkaitan air mazi. Maaf seandainya bahasa sedikit tidak berlapik. Situasi: Suami isteri bersama pada malam hari, suami melepaskan air mani keluar diatas katil, sedia maklum, pastinya ada air mazi yang keluar bersama air mani dan terkena tempat tidur, subuh harinya sebelum menunaikan solat subuh, suami duduk diatas tempat air tadi bersama pakaian solat, tapi tempat itu sudah kering. Jadi apakah hukum pakaian solat tersebut? Bersih atau bernajis? Suami sering juga mengeluarkan air di atas katil, jadi tidak diketahui tempat khusus air mazi itu jatuh. Maaf seandainya bahasa yang digunakan agak keterlaluan.

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Air mazi didefinisikan sebagai air yang berwarna putih jernih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Air Mazi adalah satu daripada najis dan jika terkena pada pakaian maka tidak boleh dibawa untuk bersolat dan perlu dibersihkan. Namun begitu, keluarnya Air Mazi, tidak membawa kepada seseorang untuk mandi wajib (rujuk Matla’ Al-Badrain, 1/85).

 Sepertimana Hadis Nabi SAW:

عَنْ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ، قَالَ كُنْتُ أَلْقَى مِنَ الْمَذْىِ شِدَّةً وَعَنَاءً فَكُنْتُ أُكْثِرُ مِنْهُ الْغُسْلَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَسَأَلْتُهُ عَنْهُ فَقَالَ ‏"‏ إِنَّمَا يُجْزِئُكَ مِنْ ذَلِكَ الْوُضُوءُ ‏"‏ ‏.‏ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ بِمَا يُصِيبُ ثَوْبِي مِنْهُ قَالَ ‏"‏ يَكْفِيكَ أَنْ تَأْخُذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَتَنْضَحَ بِهِ ثَوْبَكَ حَيْثُ تَرَى أَنَّهُ أَصَابَ مِنْهُ

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Sahl bin Hanif, ia berkata,  "saya  merasa letih dan  payah kerana sering mandi disebabkan keluarnya Mazi, lalu saya adukan hal itu  kepada  Rasulullah  SAW, kemudian Baginda bersabda, “cukuplah engkau dengan berwudhu”. Saya bertanya, Wahai Rasulullah, bagaimana dengan Mazi yang terkena pada pakaian saya? Beliau menjawab, “cukuplah engkau mengambil air setapak tangan,  lalu engkau siramkan pada  pakaian  yang terkena itu.

(Hadis riwayat Tirmizi, No.115)

Namun, di sisi pandangan ulama’, terdapat pengecualian dalam kes-kes yang sukar untuk dielakkan. Antaranya, lembapan yang ada pada zakar suami atau di kemaluan isteri sewaktu proses berjimak. Walaupun cecair basah itu beserta dengan cecair yang bernajis seperti air kencing dan mazi, tetapi ulama’ mengatakan bahawa lembapan itu adalah najis tetapi ia dimaafkan dan tidak wajib membasuhnya. Dinukilkan oleh Sheikh Abu Bakar menerusi kitab karangannya I’anah al-Thalibin, (1/104);

أَيْ مِنْ رَطُوبَةِ الفَرَجْ ، سَوَاءً كَانَتْ طَاهَرَة أَوْ نَجَسَة ، لِأَنَّهَا عَلَى الثَّانِي يُعْفَى عَنْهَا فَلاَ تَنْجُسْ مَا ذَكَرَ

Maksudnya: “Iaitu (tidak wajib basuh) dari lembapan faraj, sama ada ia suci ataupun najis, kerana jika ia adalah yang kedua itu (yakni najis) maka ia dimaafkan justeru ia tidak menajiskan perkara yang disebut itu (kemaluan orang berjimak, telur dan bayi yang baru lahir)”.

Maka, berdasarkan situasi soalan diatas, air mazi yang terhasil daripada zakar mujami’ atau kemaluan wanita ketika suami isteri yang sedang bersengama dan terkena pada selimut atau katil ia adalah najis yang dimaafkan. Tidak wajib untuk membasuh tempat yang terkena, Adapun begitu, ia berbeza pada keadaan seseorang itu melakukan onani atau berzina, lembapan yang terhasil (air mazi) ketika proses atau selesai, lalu terkena pada selimut dan katil misalnya, ia adalah najis dan wajib untuk dibersihkan kerana tiada rukhsah dalam perkara maksiat.

Namun begitu, jika air mazi yang terkena pada selimut dan katil itu daripada jenis tidak dimaafkan dan ia telah kering, maka hukumnya adalah sama seperti najis kering. Najis yang kering tidak memindahkan sifatnya kepada sesuatu yang kering, kerana najis hanya berpindah ketika bersifat lembap yang sederhana. Justeru mengenakan pakaian solat dan duduk di atas katil yang terdapat air mazi yang telah kering tidak perlu untuk membasuh pakaian tersebut. Ini jelas merujuk kepada kaedah fiqh;

النَّجِسُ إذَا لَاقَى شَيْئًا طَاهِرًا وَهُمَا جَافَّانِ لَا يُنَجِّسُهُ

Maknanya: “Jika najis menyentuh sesuatu yang suci, sedangkan kedua-duanya kering, maka najis itu tidak memberi kesan padanya”.

Rujuk Mausuah Qawaid Fiqhiyah (hlm. 1177)

Kesimpulannya, jika keluar air mani yang bercampur dengan air mazi sewaktu suami isteri sedang bersama adalah dimaafkan kerana sukar untuk dielak. Oleh itu, tidak diwajibkan untuk membasuh cadar setiap kali setelah bersama suami isteri. Akan tetapi, jika ia keluar ketika melakukan onani atau berzina hukumnya adalah sebaliknya. Namun begitu, nasihat kami adalah sebaik-baiknya dielakkan dan cari tempat yang diyakini bersih untuk duduk. Menukar cadar katil dan bantal juga adalah baik untuk kebersihan secara berkala. 

WallahuA’lam.