Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #823: HUKUM MENYEDIAKAN KHIDMAT VAN JENAZAH KEPADA BUKAN ISLAM

AL-KAFI #823: HUKUM MENYEDIAKAN KHIDMAT VAN JENAZAH KEPADA BUKAN ISLAM

Soalan:

Saya ketua unit outreach di syarikat DRH Hicom, dan peranan utama unit saya ialah kerja-kerja amal, kebajikan staf, dakwah dan pengurusan surau. Salah satu fungsi  unit juga menyediakan khidmat van jenazah kepada staf di seluruh Malaysia. Soalan saya, bolehkah saya menyediakan khidmat van jenazah yang non-Muslim?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah toleransi, ihsan dan perdamaian. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ

الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: "Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu". 

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Berlaku adil dan memberikan hak kepada yang berhak merupakan tanggungjawab seorang Muslim dan Mu’min, sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ

Maksudnya: “...dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.”

Surah al-Ma’idah (9)

Firman Allah SWT lagi:

وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ

Maksudnya: "Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai...”

Surah al-Syu’ara (183)

Dalam hal ini, menyediakan khidmat van jenazah hanyalah sekadar penyempurnaan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan kepada semua staf yang berhak tanpa sebarang diskriminasi. Tiada sebarang unsur pengagungan agama lain, atau pengakuan akan kebenaran agama lain. Prinsip asas hubungan Muslim dan non-Muslim jelas, seperti firman-Nya:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Maksudnya: "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku"

Surah al-Kafirun (6)

Bahkan kami juga pernah mengemukakan pandangan kami akan keharusan memandikan, mengkafankan dan mengebumikan jenazah ahli keluarga yang bukan Islam, jika ada keperluan ke arahnya. Namun terdapat dhawabith yang perlu dipatuhi, antaranya tidak terlibat dengan upacara keagamaan seperti doa dan tidak beri’tiqad akan kebenaran agama mereka. [1]

Begitu juga kami tegaskan bahawa setiap manusia dikurniakan karamah insaniyyah atau kemuliaan insan yang perlu dipelihara. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلً

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

Surah al-Israa’ (70)

Memelihara kemuliaan insan itu termasuklah pengurusan jenazah selepas mereka mati, sebagaimana kita bermuamalah dengan mereka dengan baik sewaktu mereka masih hidup.

Kesimpulan

Tuntasnya, kami menyatakan bahawa dalam kes ini, menyediakan khidmat van jenazah untuk staf non-Muslim yang berhak adalah harus hukumnya, kerana ia merupakan pelaksanaan tanggungjawab yang wajib dipenuhi tanpa diskriminasi.

Khidmat van jenazah itu juga bukanlah untuk mengagungkan agama lain, namun bertujuan untuk menghormati jenazah sebagai seorang manusia yang berhak dikebumikan secara terhormat.

Wallahu a’lam.

 

[1] Rujuk artikel penuh pada pautan  http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/898-apa-yang-boleh-dibuat-bila-ada-ahli-keluarga-non-muslim-meninggal-dunia?highlight=WyJqZW5hemFoIl0