Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #860 : ADAKAH WANG EX-GRATIA WAJIB DIZAKATKAN?

AK860.png

SOALAN

Adakah wang pampasan dalam Skim Ex-Gratia Bencana Kerja perlu dikenakan zakat setelah penerimaannya? Mohon penjelasan.

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Maksud Skim Ex-Gratia Bencana Kerja adalah skim yang memberi pampasan kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang ditimpa bencana kerja semasa menjalankan tugas rasmi hingga menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian termasuk yang teraniaya disebabkan perbuatan balas dendam akibat daripada tindakan semasa menjalankan tugas rasmi.

Faedah pampasan yang disediakan di bawah skim ini meliputi Bayaran Ex-Gratia Pukal (bayaran sekali gus), Ex- Gratia Bulanan, Elaun Layanan Sentiasa dan Ex-Gratia Orang Tanggungan Bulanan.[1]

Manakala maksud zakat ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan zakat. Ini adalah kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/630)

Ia juga satu ibadah yang bertujuan kepada pertumbuhan ekonomi umat Islam serta satu bentuk penyucian jiwa untuk mengangkat darjat seseorang ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”

(Surah al-Taubah : 103)

Al-Maraghi berkata: “Iaitu dengan sedekah itu kamu dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888)

Menjawab kepada persoalan di atas, kami berpandangan bahawa wang pampasan Ex-Gratia adalah wajib dizakatkan apabila telah cukup haul iaitu setahun dan juga nisab. Namun begitu, penerima pampasan digalakkan untuk mengeluarkan zakat sejurus menerima wang tersebut tanpa perlu menunggu tempoh setahun.

KESIMPULAN

Pemberian Ex-Gratia merupakan satu tanda penghargaan atau pemberian serta kurniaan daripada pihak kerajaan kepada seseorang penjawat awam apabila terkhilaf hukuman atau dilanda musibah yang dirasakan perlu diberi perhatian sewajarnya. Justeru kami katakan duit tersebut perlu dizakatkan apabila cukup haul dan nisab tetapi lebih utama (aula) dibayar zakat apabila sudah memilikinya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan syariat Nya serta membersihkan jiwa kita daripada sifat-sifat buruk. Amin.

[1] Lihat http://pendaftar.uthm.edu.my/v2/en/soal-jawab-lazim/565-skim-ex-gratia-bencana-kerja.html