Soalan:
Salam Dato. Saya ada satu soalan. masa kecil-kecil dulu saya pernah mencuri majalah di sebuah kedai buku. Kalau ikutkan yg saya paham, kalau nak tebus dosa, saya kena minta maaf dgn tuan punya kedai. Tapi selepas beberapa tahun, saya pegi semula ke sana dan dapati kedai dah tak ada. Orang disekeliling pun tak tahu kemana tuan kedai tu pegi. Jadi, macam mana saya nak menebus dosa saya ye Dato. Harap dapat jelaskan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Allah SWT melarang kepada mereka yang menggunakan, mengambil, memindahkan sesuatu yang dimiliki daripada orang lain tanpa meminta kebenaran dan keizinan tuannya. Ini jelas difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Janganlah kamu makan harta orang lain dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui”.
(Surah Al-Baqarah: 188)
Merujuk kepada isu yang dibincangkan, langkah untuk bertaubat dari melakukan dosa adalah satu perkara yang wajib dan dipuji. Bahkan itu yang diajar oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'Taubat Nasuha'. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".
(Surah Al-Tahrim: 8)
Namun begitu, harus diketahui dosa diantara manusia terhapus hanyasanya dengan meminta kemaafan daripada manusia yang dizalami itu. Bahkan Baginda Nabi SAW telah menyatakan di dalam sebuah hadisnya, keadaan dan akibat bagi manusia yang melakukan kezaliman terhadap manusia ketika di hari akhirat kelak.
Sabda Nabi SAW:
رَحِمَ اللَّهُ عَبْدًا كَانَتْ لأَخِيهِ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ فِي عِرْضٍ أَوْ مَالٍ فَجَاءَهُ فَاسْتَحَلَّهُ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ وَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ فَإِنْ كَانَتْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ حَسَنَاتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ حَمَّلُوا عَلَيْهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِمْ
Maksud: Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.
Riwayat Tirmizi( 2419)
Namun begitu, jika sekiranya orang yang dicari tersebut tidak diketemui, hal tersebut telah dibincangkan oleh para ulama’ dan menyenaraikan langkah-langkah utama kepada mereka yang ingin memulangkan sesuatu kepada pemilik yang tidak diketemui. Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Imam al-Ghazali yang berkata:
إذَا كَانَ مَعَهُ مَالٌ حَرَامٌ وَأَرَادَ التَّوْبَةَ وَالْبَرَاءَةَ مِنْهُ فَإِنْ كَانَ لَهُ مَالِكٌ مُعَيَّنٌ وَجَبَ صَرْفُهُ إلَيْهِ أَوْ إلَى وَكِيلِهِ فَإِنْ كَانَ مَيِّتًا وَجَبَ دَفْعُهُ إلَى وَارِثِهِ وَإِنْ كَانَ لِمَالِكٍ لَا يَعْرِفُهُ وَيَئِسَ مِنْ مَعْرِفَتِهِ فَيَنْبَغِي أَنْ يَصْرِفَهُ فِي مَصَالِحِ الْمُسْلِمِينَ الْعَامَّةِ كَالْقَنَاطِرِ وَالرُّبُطِ وَالْمَسَاجِدِ وَمَصَالِحِ طَرِيقِ مَكَّةَ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِمَّا يَشْتَرِكُ الْمُسْلِمُونَ فِيهِ وَإِلَّا فَيَتَصَدَّقُ بِهِ عَلَى فَقِيرٍ أَوْ فُقَرَاءَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyimpan harta haram (harta yang bukan miliknya, termasuk hutang) dan dia hendak bertaubat dari perbuatannya, serta hendak berlepas diri dari harta haram tersebut, hendaklah dia mencari si pemilik sah harta itu. Apabila si pemilik sah sudah meninggal dunia, hendaklah harta itu diserahkan kepada ahli warisnya. Namun jika si pemilih sah dan ahli warisnya tidak diketahui juga, hendaklah harta tersebut disalurkan kepada maslahat kaum muslimin, seperti membina jambatan, masjid, menjaga perbatasan negara Islam dan sektor lain yang bermanfaat untuk seluruh kaum muslimin. Atau boleh juga disumbangkan kepada fakir miskin”.
Rujuk Majmu’ Syarh Muhazzab(9/351)
Dalam Kitab Syarh Riyad al-Solihin, penulisnya berkata boleh juga harta yang dicuri tersebut disedekahkan atas nama pemilik harta dengan ikhlas kerana Allah SWT, juga disertakan niat pahala kepada tuannya:
فَتَصَدَّقَ بِهِ عَنْهُ تَخَلُّصاً مِنْهُ، وَاللهُ- سُبْحَانَهُ وَتَعَالَي- يَعْلَمُهُ وَيُعْطِيهِ إِيَّاهُ
Maksudnya: “Maka disedekahkan atas namanya dengan ikhlas. Dan Allah SWT mengetahui hal ini dan akan menunaikan hal ini dan menunaikan kepada orang tersebut (pemilik harta).”
Rujuk Syarh Riyad al-Solihin, Bab Taubat(1/89)
Jika takdir diketemui maklumat berkenaan orang yang dicari tetapi sudah meninggal dunia, maka mohonlah keampunan kepada Allah SWT terhadap dosa yang dilakukan kerana Allah SWT maha berkuasa dan maha pengampun terhadap segalanya.
Firman Allah SWT:
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
(Surah Az-Zumar: 53)
WallahuA’lam.