SOALAN
Soalan saya ialah adakah anak yang masih di bawah jagaan ibu bapa dan sudah baligh bekerja secara sementara untuk mendapat duit lebih perlu untuk membayar zakat harta?
JAWAPAN
Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Tuntutan kepada kewajipan berzakat telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Demikian firmanNya:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah : 103)
Demikian juga antara syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk mengeluarkan zakat ialah:
- Islam dan merdeka yang bermaksud tidak wajib zakat ke atas orang yang kafir serta ke atas hamba.
- Pemilikan penuh yang bermaksud harta yang boleh digunakan tanpa apa-apa halangan atau bukan harta yang dikongsi.
- Cukup nisab yang telah ditetapkan iaitu sejumlah harta yang mencapai nilai yang diwajibkan untuk berzakat.
- Cukup haul (Setahun Qamariah) iaitu genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/8) (Rujuk Kifayatul al-Akhyar, 1/169)
Menjawab kepada persoalan di atas, seseorang itu tidak wajib dikenakan zakat sehingga dia telah mencukupi syarat-syarat yang telah dinyatakan di atas. Meskipun seseorang itu masih dibawah jagaan ibubapanya, sekiranya dia dan hartanya telah mencukupi syarat tersebut, maka dia wajib untuk mengeluarkan zakat.
Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW berikut: Daripada Ali bin Abu Talib R.A, Nabi SAW bersabda:
وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ
Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun”
Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)
KESIMPULAN
Dalam isu ini, kami berpendapat bahawa seseorang yang telah memenuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu Islam, merdeka, pemilikan penuh terhadap harta, cukup nisab dan cukup haul adalah wajib ke atas dia untuk mengeluarkan zakat. Sekalipun seseorang itu masih kanak-kanak atau belum mumayyiz. Hal ini kerana zakat adalah satu ibadah harta yang melibatkan semua orang Islam tidak mengira umur.
Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.