Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #867 : HUKUM GUNA DUIT SUAMI SECARA RAHSIA UNTUK DIBERIKAN KEPADA IBU BAPA

af867 33729441 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Mohon pencerahan dengan masalah saya ini. Saya seorang isteri yang tidak berpendapatan dan tidak bekerja menggunakan duit suami saya secara rahsia untuk diberikan kepada ibu bapa.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pernah terjadi pada zaman Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah. Satu hari Hindun Binti ‘Utbah iaitu isteri kepada Abu Sufyan datang menemui Rasulullah untuk mengadu perihal suaminya. Kata beliau :

إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ ، لاَ يُعْطِينِي مِنَ النَّفَقَةِ مَا يَكْفِينِي وَيَكْفِي بَنِيَّ إِلاَّ مَا أَخَذْتُ مِنْ مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمِهِ ، فَهَلْ عَلَيَّ فِي ذَلِكَ مِنْ جُنَاحٍ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خُذِي مِنْ مَالِهِ بِالْمَعْرُوفِ مَا يَكْفِيكِ وَيَكْفِي بَنِيكِ

Maksudnya :” Sesungguhnya Abu Sufyan ini seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku. Kalau pun cukup disebabkan aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku itu salah?. Sabda Rasulullah saw : ambil lah daripada hartanya dengan cara yang baik yang cukup untuk engkau dan anak engkau.”

Riwayat al-Bukhari (2211) dan Muslim(4574)

Hadis ini menjelaskan kepada kita akan keharusan seorang isteri mengambil duit sekadar perlu untuk keperluan dirinya dan anaknya hanya jika suaminya tidak memberi nafkah yang sepatutnya diberikan kepadanya.

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyatakan antara faedah yang boleh diambil daripada hadis ini ialah barang siapa yang ada hak yang sepatutnya diberikan kepadanya dalam keadaan suaminya tidak memberikan haknya (iaitu nafkah) maka harus bagi isterinya mengambil haknya sekadar keperluan tanpa izin suaminya.Inilah mazhab ashab kami.

Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (6/141)

Bahkan boleh kita fahami di dalam hadis tersebut akan kewajipan seorang suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-San’ani di dalam kitabnya Subul al-Salam.

Namun, perlu diingat ianya dibenarkan untuk diambil sekadar keperluan hanya jika si suami tidak memberikan nafkah. Akan tetapi jika suami memberikan nafkah yang secukupnya, maka tidak boleh mengambil duit tanpa izin daripada suami.

Kami cadangkan agar duit yang diberikan oleh suami puan itulah yang digunakan untuk diberikan kepada ibu bapa. Kedua, jika duit itu hanya cukup untuk keperluan puan dan anak-anak, dalam keadaan puan ingin juga memberikan kepada ibu bapa, maka berbincanglah secara baik dengan suami. Perbuatan puan yang mengambil secara rahsia tanpa pengetahuan suami ditakuti akan mengeruhkan rumah tangga puan.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.