Soalan:
Assalamualaikum, bolehkah pihak Tuan memberikan penjelasan berkenaan hukum tidur di dalam selimut yang sama seperti yang selalu berlaku di asrama.
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam isu ini terdapat petunjuk nabawi yang disampaikan melalui sebuah hadis riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ
Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain, dan tidak boleh bagi seorang perempuan untuk melihat aurat perempuan yang lain. Serta tidak boleh untuk seorang lelaki berbaring dengan lelaki yang lain di dalam selimut yang sama demikian juga tidak boleh untuk seorang perempuan berbaring dengan perempuan yang lain di bawah selimut yang sama.
Riwayat Muslim (338)
Dalam mensyarahkan hadis ini, Imam Al-Nawawi Rahimahullah berkata: Pada hadis ini menunjukkan kepada haramnya seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki[1] dan haramnya seorang perempuan untuk melihat aurat perempuan yang lain. Demikian juga haram bagi seorang lelaki untuk melihat kepada aurat seorang perempuan dan haram bagi seorang perempuan untuk melihat aurat lelaki secara ijma’.
Kata al-Nawawi lagi: (Larangan berbaring di dalam pakaian atau selimut yang satu terhadap dua orang lelaki) adalah larangan yang menunjukkan kepada pengharaman sekiranya tidak ada lapik antara mereka berdua. Pada hadis ini menunjukkan keharaman menyentuh aurat orang lain pada setiap tempat dari badannya. Ini adalah perkara yang telah disepakati serta menjadi perkara yang diketahui umum. Orang ramai telah bermudah-mudahan dalam isu ini dengan berkumpulnya mereka di dalam bilik mandi yang sama. Maka wajib kepada mereka yang berada di situ untuk memelihara pandangan, tangan, dan anggota lainnya terhadap aurat orang lain. Juga wajib untuk dia memelihara aurat dirinya dari perhatian dan tangan orang lain. Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (4/25).
Imam Syams al-Haq Al-Azhim Abaadi pula dalam syarahannya ke atas hadis ini menukilkan kenyataan penulis kitab Al-Misbah terhadap perkataan ولا يفضي الرجل إلى الرجل yang berkata:
Seorang lelaki yang meletakkan dengan tangannya ke tanah, iaitu menyentuhnya dengan bahagian dalam tangannya. Meletakkan ke seorang perempuan, bererti dia menyentuhnya. Meletakkan kepada sesuatu pula bererti dia menyambungkan atau berhubung dengannya. Pada hadis ini larangan terhadap seorang lelaki untuk berbaring dengan lelaki yang lain di dalam selimut yang sama. Demikian juga tidak boleh bagi seorang perempuan dengan perempuan yang lain. Sama ada antara keduanya itu ada penghadang atau tidak, iaitu dalam keadaan keduanya tidak berpakaian.
Syeikh Al-Azhim Abaadi juga menukilkan kata-kata Al-Thibi yang menyebut: Tidak boleh untuk dua orang lelaki berbaring di bawah selimut yang sama dalam keadaan keduanya tidak berpakaian (telanjang). Demikian juga orang perempuan. Sesiapa yang melakukan perbuatan ini perlu ditakzir. Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Dawud, Shams Al-Haq Al-Azhim Abaadi (11/43).
Kesimpulan
Setelah kami meneliti beberapa hujahan yang dikemukakan oleh para fuqaha di atas, kami menyatakan bahawa kita hendaklah menekuni beberapa perkara yang berikut:
- Hadis tersebut menitikberatkan isu aurat antara sesama jenis. Dari sudut menyatakan pengharaman ke atas seorang lelaki dan perempuan untuk melihat dan menyentuh aurat kaum sejenis tanpa sebarang keperluan.
- Oleh yang demikian, larangan berbaring di bawah selimut yang satu bagi dua orang lelaki adalah bagi mengelakkan berlakunya sentuhan dan penglihatan terhadap aurat satu sama lain. Kerana itu dihuraikan oleh para ulama: dalam keadaan keduanya tidak berpakaian.
- Hadis ini tidak merujuk kepada pasangan suami isteri. Bahkan dalam mazhab Imam Al-Syafie, boleh bagi seorang suami melihat seluruh aurat isteri dan begitulah sebaliknya, melainkan ada pengecualian pada bahagian kemaluan.[2]
- Sekiranya kedua-dua orang lelaki itu berpakaian lengkap menutup aurat, tetapi cuaca dan suhu sekeliling dalam keadaan sejuk, lalu kedua mereka tidur di bawah selimut atau comforter, maka ia tidaklah termasuk dalam perbuatan yang dilarang dalam hadis ini mudah-mudahan.
- Namun, secara asasnya adalah kita memisahkan tempat tidur antara satu sama lain, bagi tujuan mengelakkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keharaman.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
[1] Dalam mazhab Imam Al-Syafi’e, aurat lelaki sesama lelaki adalah apa-apa yang berada antara pusat hingga lutut. Demikianlah juga aurat antara perempuan dengan perempuan yang lain.
[2] Isu hukum memandang kemaluan pasangan mempunyai perbahasan yang panjang dalam mazhab dan kami tidak memperincikannya di sini.