Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Al-Kafi #875: ADAKAH "PETUNJUK PRESTASI UTAMA" (KPI) SATU TANGGUNGJAWAB

AK875.png

SOALAN

Adakah tidak mencapai “Petunjuk Prestasi Utama” (KPI) yang ditetapkan dikira sebagai berdosa dan tidak amanah? Mohon penjelasan.

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bermaksud satu sistem pengukuran yang mudah, berkesan dan membantu organisasi menjelaskan dan mengawal tahap kemajuan sesuatu proses perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan selaras dengan misi dan visi sesebuah organisasi. Prinsip-prinsip KPI ialah meletakkan sasaran, boleh diukur dengan angka, diukur dalam keadaan normal dan selaras dengan misi dan visi organisasi. KPI adalah ukuran spesifik dalam bidang tertentu prestasi organisasi.[1]

Menjawab kepada persoalan di atas, kita dapat bahagikan kepada dua keadaan:

Pertama: Jika tidak memenuhi KPI disebabkan oleh sikap malas atau sambil lewa, maka di sini pekerja tersebut dikira berdosa kerana mengabaikan tugasannya dengan sengaja. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّـهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Anfal : 27)

Syeikh al-Maraghi menyebut: “Janganlah kamu mengkhinati amanah yang ada di antara kamu dengan para pemimpin. Amanah yang dimaksudkan juga melibatkan aspek muamalah dan kemasyarakatan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2593)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

لاَ إِيمِانَ لِمَنْ لاَ أَمَانَةَ لَه وَلَا دينَ لِمَن لا عهدَ له

Maksudnya: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak setia terhadap janjinya.”

Riwayat Ibn Hibban (194)

Kedua: Tidak memenuhi KPI disebabkan ketidakmampuan pekerja setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Dalam keadaan ini, pekerja tersebut tidak dikira berdosa. Allah SAW berfirman:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Demikian juga hadis Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَلاَ يُكَلَّفُ مِنَ الْعَمَلِ إِلاَّ مَا يُطِيقُ

Maksudnya: “Dan Tidak dibebankan kepada seseorang itu dari perbuatan kecuali apa yang dia mampu”

Riwayat Muslim (1662)

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami melihat bahawa “Petunjuk Prestasi Utama” (KPI) bukanlah satu amanah, namun “Petunjuk Prestasi Utama” (KPI) merupakan satu petunjuk atau panduan bagi mencapai suatu tugasan yang diamanahkan. Justeru, sekiranya seorang pekerja dengan sengaja mengabaikan tugasannya, maka dia dikira berdosa dan begitu juga sebaliknya.

Semoga dengan penjelasan yang diberikan ini memberi kita kefahaman yang lebih baik dalam menjalankan tugas-tugas kita sebagai pekerja. Amin.

[1]Lihat laman Web: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/nkra/pengenalan-nkra/5112-petunjuk-petunjuk-prestasi-utama-atau-key-performance-indicators-kpi-