Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #893 : HUKUM FARAID BAGI ANAK YANG LAHIR DARIPADA WATIE SYUBHAH

 af893 compressed

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan anak wati syubhah dan adakah ia layak untuk mendapat faraid daripada harta?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Anak wati syubhah bermaksud anak yang dilahirkan akibat persetubuhan yang berlaku bukan dalam perkahwinan yang sah akibat keraguan tertentu.. Pada asalnya anak yang dilahirkan bukan daripada perkahwinan yang sah, seperti zina, tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya. Ini berdasarkan hadis Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Maksudnya: (Nasab) seorang anak itu berdasarkan firasy (nikah dan perhambaan), dan bagi penzina itu hukuman rejam (atau kehinaan; tidak boleh menasabkan).”

Riwayat al-Bukhari (no. 6818)

Namun para ulama menyatakan bahawa jika seorang anak itu lahir daripada persetubuhan yang syubhah, ia dikira sama seperti hukum nikah fasid, yakni dinasabkan kepada bapa biologinya.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut:

“Disyaratkan pada iqrar dengan nasab hendaklah tidak anak yang ingin dinasabkan itu anak zina, seperti orang yang berikrar itu menyatakan secara sarih bahawa anak itu adalah anak zina. Justeru sekiranya diberikan bukti yang boleh dianggap sebagai sebab yang Syarie daripada firasy (hubungan perkahwinan atau perhambaan) yang sahih, atau nikah (persetubuhan) yang syubhah, atau nikah yang fasid, sah iqrarnya... Apabila syarat-syarat dipenuhi dan sabit nasab itu, maka berlakukan kesan-kesan Syarie yang sempurna seperti warisan, nafkah, dan al-hurmah (hukum haram berkahwin)”

Contoh-contoh keraguan itu seperti:

  • Seorang lelaki bersetubuh dengan seorang wanita yang disangkakan isterinya, dalam keadaan gelap contohnya. Apabila keadaan terang, didapati bahawa itu bukan isterinya. Begitu juga wanita tersebut menyangka itu suaminya.
  • Seorang lelaki bersetubuh dengan seorang wanita yang dikahwini berdasarkan akad yang rosak di sisi mazhab Syafie tetapi tidak dalam mazhab lain seperti nikah tanpa wali yang sah dalam mazhab Hanafi, nikah tanpa saksi-saksi yang sah dalam mazhab Maliki, dan nikah mut’ah kerana ada pendapat Ibn Abbas yang menerimanya.[1]

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (5/154-155 & 498-499)

Apabila nasab sebagai anak terhadap seseorang itu sabit, maka begitu jugalah hak perwarisan juga sabit bersama. Seksyen 113 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) memperuntukkan tentang kesan persetubuhan syubhah:

“Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”

Justeru, bagi menjawab soalan yang ditanyakan, anak yang lahir daripada persetubuhan yang syubhat adalah dianggap sebagai anak sah taraf kepada bapa biologinya. Apabila dia dinasabkan kepada bapanya, maka dia juga adalah waris yang sah dalam hukum pusaka. Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada penanya. Wallahua’lam.

Nota hujung:

[1] Nikah mut’ah ini pada awal Islam diharuskan sebagai rukhsah dalam keadaan darurat, kemudian ia diharamkan Syarak selama-lamanya. Saiyidina Ibn Abbas R.Anhuma pernah berpendapat bahawa hukumnya adalah masih diharuskan, namun Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Ibn Abbas telah menarik balik kenyataannya. Rujuk Sunan al-Baihaqi (7/201). Antara dalil paling jelas pengharaman dan pemansukhan nikah mut’ah ialah hadis Saiyidina Ali RA kepada Ibn Abbas: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang nikah mut’ah, memakan daging keldai domestik, ketika peperangan Khaibar.” Riwayat al-Bukhari (no.4825) dan Muslim (no.1407). Justeru, rukhsah yang kekal di sini ialah penasaban anak sahaja dan bukan soal halalnya nikah mut’ah, yang mana sudah jelas keharamannya.