Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #905: LUPA BERULANG KALI DALAM SOLAT

LUPA BOH.JPG

 Soalan

Salam ustaz, saya ingin tahu, apakah sebab-sebab yang membawa kepada seseorang itu perlu sujud sahwi? Dan jika kita lupa berulang kali dalam solat, adakah kita juga perlu sujud sahwi berulang kali?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab soalan di atas, antara sebab-sebab yang menjadikan seseorang perlu sujud sahwi ialah:

  • Meninggalkan satu daripada sunat Ab’adh seperti tasyahhud yang pertama dan qunut.
  • Meragui bilangan rakaat.
  • Tidak sengaja melakukan perbuatan yang ditegah yang jika disengajakan akan membatalkan solat.
  • Memindahkan sesuatu perbuatan solat sama ada rukun atau sunat ab’adh atau surah yang dipindahkan kepada bukan tempatnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/443)

Oleh itu, jika berlaku salah satu daripada sebab-sebab yang dinyatakan, maka seseorang perlu untuk sujud sahwi. Ia perlu dilakukan di akhir solat sebelum memberi salam. Adapun, jika memberi salam sebelum sujud (sahwi) sama ada dengan sengaja atau terlupa yang agak lama luputlah sujud (sahwi) tersebut. Sebaliknya jika terlupa sekejap sahaja, bolehlah menyambungnya semula dengan sujud sebanyak dua kali dengan niat sujud sahwi dan memberi salam sekali lagi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/448)

Berkenaan soalan kedua, adakah kita perlu sujud sahwi berulang kali sekiranya kita lupa berulang kali dalam solat?

Jawapannya ialah tidak perlu. Imam al-Rafi’e Rahimahullah berkata: “Jika lupa berulang kali dalam solat, maka memadai dengan sujud sahwi (dua kali sujud) di akhir solat.” (Lihat al-‘Aziz Syarh al-Wajiz, 2/90)

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.