Soalan
Salam SS Dato’ Seri Mufti, apakah boleh menangguhkan pemberian zakat kepada golongan fakir?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Takrif Fakir
Takrif fakir yang masyhur digunakan di kebanyakan pusat zakat di Malaysia adalah pendapat al-Syafi’eyyah dan juga al-Hanabilah yang menyebut bahawa keadaan fakir itu lebih susah daripada miskin. Oleh itu, fakir dan miskin sepertimana yang telah disepakati takrifannya serta digunapakai dalam penentuan asnaf adalah seperti berikut:
“Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.”
Imam Malik pula menyatakan bahawa fakir adalah orang yang berhajat dan tidak meminta-minta, sedangkan miskin adalah orang yang meminta-minta. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Ibn Abbas, al-Zuhri dan dipilih oleh Ibn Sya’ban.
Hukum Menangguhkan Zakat kepada Golongan Fakir
Menjawab persoalan di atas, kami berpendapat hendaklah diberi kepada badan yang dilantik oleh kerajaan seperti Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Wilayah Persekutuan. Menunaikan zakat hendaklah disegerakan. Ini berdasarkan kepada beberapa nas al-Quran antaranya:
- Firman Allah SWT:
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
Maksudnya: Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan;
(Surah al-Baqarah: 148)
Syeikh Al-Maraghi berkata: “Bersegeralah kamu berbuat apa jua kebaikan dan hendaklah setiap orang di antara kamu berkeinginan untuk bersaing dan berlumba-lumba untuk mengikut perintah pembimbing, bukannya perintah orang yang berlumba mencampakkan kebenaran sebab dia berlumba-lumba ke arah kejahatan dan kesesatan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/288)
- Firman Allah SWT:
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ
Maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu,
(Surah Ali Imran: 133)
Syeikh al-Sobuni berkata: Hendaklah kamu berlumba-lumba kepada perkara yang mewajibkan keampunan melalui ketaatan kepada Allah dan mengikut segala titah perintah-Nya. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/210)
Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut, seseorang itu tidak dapat menjamin kadar umurnya, tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada esok hari dan hari seterusnya. Secara umum, sikap menangguhkan sesuatu perkara adalah haram dalam semua kewajipan yang diperintahkan oleh Islam. Ini kerana orang miskin yang memerlukan sudah tentu tidak mampu menunggu penangguhan zakat yang perlu dikeluarkan oleh orang kaya. Oleh itu, setiap Muslim wajib membayar zakat dan tidak boleh menangguhkannya. Lihat Fatawa Mu’asirah, 2/146 (terjemahan).
Justeru, kami menggesa kepada mereka yang berkelayakan membayar zakat, apabila cukup haul dan nisabnya, hendaklah bersegera dan jangan bertangguh. Sementelahan lagi, kehidupan kita tidak mengetahui bila akan berakhir. Dengan menunaikan zakat, insya Allah kehidupan menjadi berkat.
Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dalam mentaati kepada-Nya termasuklah menunaikan zakat. Amin.