Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #942: MENYAMAKAN WARNA KULIT ISTERI DENGAN KULIT IBU KANDUNG, ADAKAH TERMASUK ZIHAR

kulit zihar.JPG

Soalan

Adakah menyamakan warna kulit isteri dengan warna kulit ibu kandung juga dikira sebagai sebahagian daripada Zihar yang membawa kepada kaffarah ke atas suami tersebut? mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Takrif Zihar

Kami kemukakan terlebih dahulu takrif zihar. Di sisi mazhab-mazhab, takrif zihar adalah seperti berikut:

  • Mazhab Hanafi: Seseorang Islam menyamakan isterinya sekalipun perempuan kitabiah, kecil, gila, atau menyamakannya apa yang diibaratkan daripada anggotanya atau menyamakan sesuatu yang terkenal padanya dengan perempuan yang diharamkan ke atasnya selama-lama. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 3/466)
  • Mazhab Maliki: Seseorang Islam menyamakan yang pada asalnya halal daripada isteri atau hamba perempuannya atau sejuzuk daripadanya dengan mahramnya. (Lihat al-Syarh al-Kabir oleh al-Dardir, 2/439)
  • Mazhab Syafi'e: Menyamakan isteri yang bukan Talaq Ba'in dengan perempuan yang tidak halal baginya berkahwin. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/352)
  • Mazhab Hanbali: Seseorang Islam menyamakan isterinya atau mana-mana anggota dengan belakang perempuan yang diharamkan ke atasnya berkahwin selama-lama atau dengan mana-mana anggotanya. (Lihat al-Muqni', 23/228)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Apabila suami melafazkan zihar, iaitu menyamakan isteri dengan seseorang daripada mahramnya, maka hendaklah dilihat kepada aspek yang berikut:

  • Jika lafaz zihar diikuti dengan lafaz talaq, maka hukum zihar termasuk dalam hukum talaq dan lafaz zihar tersebut tidak memberi sebarang kesan.
  • Sebaliknya, jika zihar tidak diikuti dengan lafaz talaq dan tidak berlaku perkara yang boleh memutuskan hubungan perkahwinan, dia dianggap kembali kepada kata-katanya yang berlawanan dengan maksud zihar. Oleh itu, dia dikenakan kaffarah yang mesti dijelaskan segera. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/449-450)

 

Menjawab isu yang di atas, ia tidak termasuk dalam zihar. Ini kerana perbandingan dan perumpamaan antara isteri dengan ibunya itu lebih kepada warna yang dianggap sebagai sifat bukan fizikal. Justeru, ia tidak dianggap sebagai zihar.

 

Lihat juga ulasan kami berkaitan isu zihar sebelum ini, antaranya dalam siri:

  • Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 215 : Hukum Hakam Berkaitan Zihar[1]
  • Irsyad Al-Fatwa Ke-74: Zihar[2]
  • Al-Kafi #678 : Zihar Sementara yang Bertempoh[3]

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.

 

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/2306-irsyad-al-fatwa-siri-ke-215-hukum-hakam-berkaitan-zihar

[2] Lihat https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/1916-irsyad-fatwa-ke-74-zihar

[3] Lihat http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2200-al-kafi-678-zihar-sementara-yang-bertempoh?highlight=WyJ6aWhhciJd