Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #950: BADAL UMRAH UNTUK ANGGOTA BOMBA YANG LEMAS

Screen Shot 2018 12 11 at 10.23.58 AM

Soalan

 

Saya ingin bertanya, saya akan menunaikan umrah tidak lama lagi, dan saya berniat untuk melakukan umrah secara sukarela untuk anggota bomba yang terlibat dalam tragedi lemas tempoh hari kerana peristiwa ini amat menyayat hati saya.

 

Jawapan

 

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, isteri-isteri, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Isu anggota bomba yang terkorban ketika operasi menyelamat telah kami zahirkan rasa simpati dan doa kami di dalam sebuah artikel yang bertajuk: “QALAM MUFTI #16: TAKZIAH: SEMOGA MENDAPAT SYAHID…”[1]

 

Kewajipan Mengerjakan Haji Untuk Si Mati

Dalam menjawab persoalan ini, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan Buraidah RA, bahawa beliau berkata:

 

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَلَمْ تَحُجَّ أَفَأَحُجُّ عَنْهَا قَالَ ‏ "‏ نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا ‏"‏

 

Maksudnya: Telah datang seroang wanita kepada Nabi SAW, lalu dia berkata, “sesungguhnya ibuku meninggal dunia dan tidak mengerjakan ibadah haji, apakah aku perlu mengerjakan haji untuknya?” Nabi berkata, “Ya, lakukan haji untuknya”

Riwayat Muslim (1149)

 

Berdasarkan hadis ini, para ulama mengatakan hukumnya adalah wajib menqada’ bagi si mati yang diwajibkan haji ketika hidupnya. Hal ini ditegaskan lagi bahawa orang yang mati dan ketika hidupnya tergolong daripada golongan yang berkemampuan mengerjakan haji, maka dianggap berhutang dengan Allah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa beliau berkata:

 

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبِي مَاتَ وَلَمْ يَحُجَّ أَفَأَحُجُّ عَنْهُ قَالَ ‏"‏ أَرَأَيْتَ لَوْ كَانَ عَلَى أَبِيكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ ‏"‏‏.‏ قَالَ نَعَمْ.‏ قَالَ ‏"‏ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ ‏"‏.‏

 

Maksudnya: Berkata seorang lelaki, “wahai Rasulullah sesungguhnya ayahku telah meninggal dan dia tidak melakukan haji, adakah aku perlu melakukan haji untuknya?” Baginda bersabda: “apa pandanganmu sekiranya ayahmu ada menanggung hutang, adakah engkau akan menyelesaikannya?” Lelaki itu berkata ya. Lalu Nabi bersabda: “Maka hutang Allah lebih berhak (untuk ditunaikan)”

Riwayat al-Nasaie (2639)

Keizinan Untuk Melakukan Haji Untuk Si Mati

Dalam hal ini, ulama’ berpandangan bahawa, sekiranya ingin mengerjakan haji yang wajib untuk si mati, boleh dibuat dengan izin atau tidak. Sesiapa sahaja dari kalangan waris atau orang asing iaitu orang yang tidak berkenaan dengan si mati boleh untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima ini. Sementara haji sunat memerlukan wasiat daripada si mati ketika hidupnya untuk dibuat haji untuknya. Lihat al-Majmu’ (7/95).

 

Kesimpulan

 Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami berpandangan bahawa niat orang yang bertanya ini adalah suatu yang sangat mulia. Ini juga boleh dianggap sebagai suatu penghargaan kepada mereka yang syahid ketika menjalankan tugas.

Hukum haji atau umrah yang wajib, yang dilakukan tanpa keizinan atau wasiat daripada si mati adalah dibolehkan. Manakala, sekiranya si mati sudahpun melakukan haji atau umrah, dan tidak ada bernazar untuk melakukan haji, maka perlulah mempunyai keizinan atau wasiat dahulu daripada si mati.

Namun begitu, kami mencadangkan agar diberitahu kepada keluarga si mati agar mereka tidak lagi perlu mengeluarkan daripada harta si mati untuk tujuan umrah sekaligus dapat diagihkan dan dimanfaatkan oleh waris si mati. Sekiranya yang bertanya ini tidak tahu sama ada mereka ini sudah mengerjakan umrah atau belum, maka kami cadangkan untuk berniat umrah untuk diri sendiri, kemudian berniat menghadiahkan pahala kepada mereka yang terkorban ini.

Semoga kita sentiasa diberi hidayah dan petunjuk untuk mengamalkan syariat Islam. Amin.

 

[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/sumber/berita/pejabat-mufti-wilayah-persekutuan/2635-qalam-mufti-15-takziah-semoga-mendapat-syahid?highlight=WyJib21iYSJd