Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #957 : TIPUAN BIDA: PAKATAN AGEN-AGEN SEMASA LELONGAN HARTANAH

af957

Soalan:

Salam Dr, maaf mengganggu. Saya Izzat, ada persoalan berkaitan pembelian rumah lelong. Situasi : Ali lantik ejen A untuk bida seunit rumah lelong berharga RM50k. Di dewan lelongan, ada ejen B, C dan D. Jika mereka lawan, kemungkinan Ali akan menang dengan harga RM80k. Tapi ejen A, B, C dan D kawtim, supaya hanya ejen A yang membida rumah tersebut manakala ejen yang lain menarik diri. Ali menang pada harga reserve price RM50k. Sudah jimat dan untung RM30k. Kawtim ni mungkin dari segi membayar sedikit imbuhan wang pada ejen B, C dan D supaya mereka menarik diri. Atau, atas dasar kenalan, ejen B, C dan D bagi laluan sahaja pada ejen A. Apa hukum dalam situasi ini Dr? Mohon pencerahan Dr. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. Wbt.,

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Pada asalnya, hukum jual beli secara bidaan atau lelongan adalah diharuskan mengikut majoriti ulama termasuk mazhab Imam al-Syafie. Dalil keharusannya ialah hadis riwayat Anas bin Malik RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَاعَ حِلْسًا وَقَدَحًا وَقَالَ مَنْ يَشْتَرِي هَذَا الْحِلْسَ وَالْقَدَحَ فَقَالَ رَجُلٌ أَخَذْتُهُمَا بِدِرْهَمٍ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ فَأَعْطَاهُ رَجُلٌ دِرْهَمَيْنِ فَبَاعَهُمَا مِنْهُ

Maksudnya: “Rasulullahpernah menjual alas pelana dan gelas (bagi pihak seorang sahabatnya yang susah), lalu beliau menawarkan: "Siapa yang akan membeli alas pelana dan gelas ini?" Seseorang berkata; Saya akan membelinya seharga satu dirham, Nabimenawarkan lagi: "Siapa yang mau membelinya lebih dari satu dirham?" Lalu seorang laki-laki memberinya dua dirham, beliau pun menjual kepadanya.”

Riwayat al-Tirmidhi (no.1139). Beliau berkata: hadis ini hasan.

Jual beli ini tidak termasuk dalam larangan belian atas belian orang lain, kerana tawaran untuk membeli oleh peserta lelongan dilakukan sebelum sebarang penentuan harga dibuat. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (3/62) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili. Justeru, diharuskan bagi orang Islam untuk melibatkan diri dalam aktiviti bidaan dan lelongan.

Namun, selari dengan perkembangan zaman, timbul fenomena pakatan sesama peserta lelong dalam aktiviti lelongan, sama ada dalam jual beli harta tanah atau selainnya. Pakatan ini dikenali dengan pelbagai istilah seperti collusion, ring, dan tawatu’. Sebahagian negara mengharamkan aktiviti ini kerana berpotensi merosakkan persaingan sihat yang penting bagi ekonomi. Ini kerana pakatan ini kadang-kadang melibat persetujuan sesama peserta untuk saling tidak membida sebaliknya membiarkan hanya peserta tertentu yang menang. Kebiasaannya, ia juga melibatkan pemberian imbuhan kepada peserta yang tidak membida. Di Malaysia, aktiviti ini dianggap sebagai tipuan bida yang dilarang dan merupakan kesalahan di bawah Akta Persaingan 2010. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang kesalahan tipuan bida, kami menjemput pembaca untuk melayari laman web Suruhanjaya Persaingan Malaysia:

  1. Video Penerangan (https://goo.gl/1UbPLt)
  2. Slaid Penerangan (https://goo.gl/oeZKqq)
  3. Akta Persaingan 2010 (https://goo.gl/QwcEk6)

Persoalannya; apakah perspektif Islam terhadap aktiviti ini? Menurut Syeikh Taqi Uthmani, ahli jawatankuasa Majma` al-Fiqh al-Islami, dalam kitabnya Fiqh al-Buyu` (1/144), pakatan sebegini mengandungi unsur rasuah dan bertentangan dengan nilai ekonomi Islam yang menjaga persaingan yang sihat dalam pasaran. Beliau berkata:

Apa yang jelas daripada prinsip-prinsip umum dan kemurnian Maqasid Syar`iyyah bahawa contoh pakatan seperti ini tidak dibenarkan oleh Syariah Islamiah sekiranya ia mendatangkan mudarat kepada penjual atau para peserta lain. Ini kerana prinsip yang dipegang oleh Syariah Islamiah bahawa hendaklah di sana terdapat persaingan yang bebas sesama penjual dan pembeli, dan terdapat penentuan harga yang terbit daripada persaingan bebas. Oleh kerana itu Islam mengharamkan ihtikar (monopoli barang untuk menaikkan harga), talaqqi al-jalb (memintas pedagang sebelum masuk pasar untuk membeli dengan harga yang murah dengan membuat spekulasi), jualan al-hadir li al-badi (jualan bagi pihak pedagang oleh salah seorang penduduk tempatan kepada penduduk kampung dengan harga yang lebih tinggi terhadap barang-barang keperluan mereka)... Boleh juga dilihat perkara ini dalam hadis Nabi yang muliayang bersabda: “Jangan melakukan tanajusy (pakatan antara penjual dan beberapa orang yang berlakon menawarkan harga supaya harga naik).” Tanajusy itu melibatkan tasyaruk (yakni persekutuan)... Dan pembahagian harga sesama peserta lelong yang terlibat dalam pakatan itu dan. Maka padanya terdapat kerosakan tambahan selain daripada kewujudan pakatan itu sendiri, yakni apa yang dibahagikan dalam kalangan peserta pada harga itu ialah rasuah bagi pakatan tersebut, maka itu tidak diharuskan secara Syarak.”

Namun di sana ada khilaf dalam kalangan fuqaha jika pakatan tersebut tidak melibatkan keseluruhan peserta bidaan itu:

Para ulama Maliki berpendapata, dan dipersetujui oleh Ibn Taimiyyah, bahawa tawatu’ (pakatan) untuk meninggalkan muzayadah (pertambahan bidaan) jika dilakukan oleh seorang yang hadir (peserta) dengan peserta lain seperti dia meminta peserta lain itu meninggalkan muzayadah, maka itu tidak mengapa. Sekalipun jika diberikan imbuhan daripada jenis harta untuk menahannya daripada menambah bidaan, seperti katanya: “Berhentilah daripada membida dan untuk kamu aku berikan satu dinar,” atau “Berhentilah daripada membida dan mari kita berkongsi pada pada al-sil`ah (barang belian itu)”. Ini kerana perkara bidaan ini (sifatnya) terbuka dan itu hanyalah satu bentuk tarik diri daripada bidaan sahaja. Adapun jika semua hadirin berpakat untuk berhenti membida maka itu tidak dibenarkan kerana akan mendatangkan mudarat kepada penjual.”

Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (37/92)

Kesimpulannya, berdasarkan penjelasan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa aktiviti “kawtim” oleh semua agen yang disebut oleh orang yang bertanya, adalah diharamkan oleh Syarak atas alasan sadd al-zari`ah (menutup peluang kepada kerosakan) dalam menyuburkan persaingan yang bebas dan menjaga hak si penjual, seperti mana larangan syarak bagi bai` al-najsy, yang telah dibahaskan di atas. Sebaiknya kita taat kepada undang-undang yang telah diwartakan, setelah mempertimbang maslahat dan mafsadah di negara kita, bahawa amalan tipuan bida ini adalah kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penalti kewangan. Semoga penjelasan ini memberikan kebaikan kepada kita semua. Wallahu a’lam.