Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bagaimanakah cara saya ingin menangani isu isteri yang cepat panas baran?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Perkahwinan yang menurut syarak dan terhormat akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman diri. Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
(Surah al-Rum: 21)
Demikianlah indahnya ungkapan ayat-ayat al-Quran yang menyatakan, betapa perlunya kepada perkahwinan dan bagaimanakah terhasilnya perlindungan, kebahagiaan dan ketenteraman. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka.
(Surah al-Baqarah: 117)
Ayat ini mengumpamakan suami isteri sebagai pakaian bagi pasangan masing-masing kerana mereka saling melindungi. Keperluan suami isteri kepada pasangannya sama seperti keperluan mereka dengan pakaian.
Sekiranya pakaian menutup keaiban tubuh badan dan menjaganya daripada sebarang kesakitan, suami isteri pula akan menjaga kemuliaan pasangannya, memelihara kehormatan dan memberi kerehatan serta ketenteraman.
Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada buku al-Halal wa al-Haram oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi yang antara lain menyebut:
Seorang suami mestilah bersabar terhadap karenah isterinya, jika dia mendapati ada sesuatu kelakuan daripada isteri yang tidak menyenangkan hati suami. Suami hendaklah sentiasa ingat bahawa isterinya itu adalah seorang yang lemah, kerana dia seorang perempuan, di samping ada banyak kekurangan sebagai seorang manusia. Sepatutnya dia sentiasa mengingati segala kebaikannya di samping keburukannya dan memandang budi baiknya yang banyak di samping keaibannya yang sedikit.
Dinyatakan dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:
لاَ يَفْرُكُ، أَيْ لاَ يُبْغِضُ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً، إِنْ سَخِطَ مِنْهَا خُلُقًا، رَضِيَ مِنْهَا غَيْرَهُ
Maksudnya: “Seorang mukmin (suami) tidak boleh membenci mukminah (isteri): Jika dia tidak suka kepada sesuatu perangainya, dia tentu rela kepada perangainya yang lain.”
Riwayat Muslim (2672)
Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّـهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: Pergaulilah isteri-isteri kamu itu dengan cara yang baik, maka jika kamu membenci mereka, maka semoga sesuatu yang kamu membencinya itu justeru Allah SWT akan menjadikan padanya kebaikan yang banyak.
(Surah al-Nisa’: 19)
Sebagaimana Islam mewajibkan seorang suami supaya bersabar di atas kelakuan dan perangai isteri yang tidak disukainya, Islam juga menyuruh si isteri dengan suruhan yang sama supaya merelakan suaminya apa yang mungkin berlaku daripadanya sekadar yang termampu serta pandai mengambil hatinya, di samping itu Islam mengancam isteri supaya jangan sampai dia dapat tidur dalam keadaan suaminya marah kepadanya .
Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا تَرْتَفِعُ صَلَاتُهُمْ فَوْقَ رُءُوسِهِمْ شِبْرًا رَجُلٌ أَمَّ قَوْمًا وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ وَامْرَأَةٌ بَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَلَيْهَا سَاخِطٌ وَأَخَوَانِ مُتَصَارِمَانِ
Maksudnya: “Ada tiga orang yang sembahyangnya tidak terangkat melebihi batas kepalanya walaupun hanya sejengkal, iaitu: Seorang lelaki yang menjadi imam kepada suatu kumpulan, sedang mereka semua membencinya, seorang isteri yang seronok tidur sedangkan suaminya menyimpan marah terhadapnya, dan dua orang saudara yang saling bermusuhan.”
Riwayat Ibn Majah (961)
Semoga Allah SWT jadikan rumahtangga kita sentiasa aman, baik dan bahagia. Marilah sama-sama kita mengamalkan doa yang diajar oleh Allah SWT:
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
(Surah al-Furqan: 74)