Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #993: NAZAR BERSAMA SUAMI, KEMUDIAN BERCERAI TANPA SEMPAT TUNAI

nazar cerai.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Semasa mengerjakan umrah tahun 2009, saya bernazar untuk ke Mekah dengan suami dan anak lelaki seandainya Allah berikan anak lelaki pada saya. Tetapi selepas mendapat anak lelaki pada tahun 2011, saya dan suami bercerai tanpa sempat menunaikan nazar. Bagaimana cara untuk bayar nazar ya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan takrif nazar terlebih dahulu. Nazar dari segi bahasa, bermakna perjanjian yang baik atau yang buruk, manakala dari segi syara’ pula, dikhususkan kepada perjanjian yang baik sahaja.

Menurut istilah ulama’ fiqh, nazar bermaksud membuat iltizam untuk melakukan sesuatu kebajikan yang tidak wajib dari segi syara’ sama ada dikaitkan dengan sesuatu ataupun tidak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/291)

Berdasarkan kepada persoalan di atas, kami berpendapat bahawa yang wajib dilakukan adalah pergi ke Mekah untuk menunaikan umrah. Umrah adalah termasuk dalam perkara ketaatan kepada Allah, maka wajib ditunaikan nazar tersebut. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha, sabda Nabi SAW:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar mentaati Allah, hendaklah dia mentaatinya, dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat terhadap Allah, janganlah dia melakukannya.”

Riwayat al-Bukhari (6318)

Justeru perlu dibezakan antara dua perkara iaitu pergi ke Mekah untuk beribadat seperti umrah dan keduanya pergi dengan suami. Tetapi apa yang terjadi, suami sudah berpisah dengan puan. Seperkara lagi, pergi dengan siapa bukanlah termasuk perkara ketaatan tetapi lebih kepada keharusan sahaja. 

Oleh itu, pergi dengan siapa tidak semestinya ditunaikan. Lebih-lebih lagi atas apa yang telah berlaku kepada puan. Justeru, saya cadangkan puan pergi bersama anak puan untuk menunaikan umrah. Maka ianya sudah memadai insya Allah. Niat puan adalah baik dan mulia dalam menzahirkan rasa syukur atas kurniaan anak dan pada saat yang sama apa yang berlaku merupakan taqdir yang kita wajib menerimanya dengan redha.

Semoga Allah kurniakan kepada puan semangat dalam melaksanakan perintah Tuhan. Amin.