Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1170: FENOMENA PANAS MELAMPAU: DOSA ATAU UJIAN ALLAH SWT

panas melampau.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Sekarang musim panas melanda di Malaysia. Adakah fenomena ini disebabkan oleh dosa atau ujian daripada Allah SWT?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Surah al-Baqarah (155)

Ayat ini menunjukkan ujian merupakan kepastian di bumi ini kerana ia menjadi sifat dunia ini sendiri yang penuh dengan mehnah, tribulasi dan cubaan dalam ranjau kehidupan ini.

Walaupun begitu, kadang-kadang manusia dengan sifat rakus, tamak dan juga lalai banyak melakukan kerosakan di muka bumi yang akhirnya menyusahkan kehidupan mereka sendiri. Benarlah firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Surah al-Rum: 41)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT juga akan membinasakan sesiapa sahaja yang menimbulkan kerosakan di muka bumi ini. Lantaran itu, perkara ini hendaklah menjadi pengajaran kepada mereka, semoga mereka dapat mengingati semula dan kembali ke jalan kebenaran. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5335)

Syed Qutb berkata: “Kerosakan-kerosakan yang berlaku di darat itu bukannya berlaku begitu sahaja atau berlaku secara kebetulan, malah ia berlaku mengikut aturan Allah SWT iaitu: “لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ” Maksudnya: “Kerana Allah mahu mereka merasakan setengah-setengah akibat daripada perbuatan yang dilakukan mereka.”

Iaitu perbuatan-perbuatan mereka yang jahat dan merosakkan itu, di mana mereka merasa terseksa dan pedih menerima akibatnya “supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” Yakni supaya mereka berazam menentang kerosakan itu dan kembali kepada Allah, kepada amalan yang soleh dan ke jalan yang lurus. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 12/482-483)

Tidak dapat dinafikan juga, fenomena alam adalah sebahagian daripada takdir Ilahi yang melanda kepada pelbagai tempat termasuk di negara kita. Fenomena seperti ini sewajarnya kita sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan ketika kita berinteraksi dengan fenomena cuaca panas yang melampau.

Kami juga beriman dengan takdir Qadha dan Qadar Tuhan di mana sewajarnya kita sentiasa berusaha untuk mengislahkan diri dan menapak ke hadapan menuju kepada mardhatillah. Untuk itu, sentiasa berfikiran positif dalam apa jua situasi yang disulami dengan kesabaran dan daya juang yang kental seperti kata pujangga, “Jika orang beri kepada kamu segelas perahan limau masam, maka masukkanlah gula secukup rasa pada minuman tersebut, nescaya terhasil satu minuman yang lazat.” Mafhumnya, kita perlu bijak mengubah suasana dan keadaan ke arah yang lebih baik.

Bagi kami, dalam isu kemarau seperti ini, alangkah baiknya kita kembali kepada sunnah Rasulullah SAW dengan mengadakan solat Istisqa’, berdoa, bertaubat, beristighfar, berinfaq, menolak kezaliman, saling tolong-menolong, memenuhi masjid-masjid dengan mendirikan solat dan sentiasa muhasabah diri adalah jalan yang terbaik dengan bekalan takwa untuk menuju ke hari Akhirat. Cukuplah dengan kita beristighfar dan bertaubat, maka Allah boleh mengubah dari keadaan yang tidak baik kepada yang lebih baik dan berkeuntungan. Firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: "Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. "(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; "Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

(Surah Nuh: 10-12)

Pakar sosiologi berpendapat, kelahiran sesuatu bangsa hanya akan berkembang biak apabila keadaan di suatu tempat berada dalam keamanan. Tidak berlaku kezaliman, keadilan pula tersebar kepada seluruh individu. Bukti kukuh yang membenarkan kenyataan itu ialah bangsa Mesir. Pada masa pemerintahan Mamalik iaitu pada abad ke-17 Masihi, yang merupakan saat-saat berlakunya kezaliman, penindasan dan kekerasan, kemiskinan dan kelemahan, rampasan dan rompakan, jumlah penduduk susut sehingga mencapai tiga juta orang.

Ketika Muhammad ‘Aliy menjadi pemimpin keluarga kerajaan di Mesir pada permulaan abad ke-18, beliau menaiki takhta dan memimpin dengan menggunakan segala kebijaksanaan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyusun segala keperluan negaranya sama ada dalam bidang pertanian, perindustrian, pengetahuan atau ilmu. Dengan demikian keturunan manusia pun bertambah. Anak keturunan dan cucu-cucu Muhammad ‘Aliy pun semakin berkembang biak dan turut mengikut jejak langkah beliau, maka keturunan manusia jadi meningkat. Sehingga penduduk Mesir pada masa kini telah mencapai jumlah penduduk seramai 20 juta. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7231)

Memandangkan situasi kurangnya hujan dan kepanasan yang terik berlaku di Malaysia mutakhir ini, maka saya mengambil kesempatan untuk mengajak umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan agama serta mengeratkan perpaduan di samping sentiasa mengharapkan daripada Allah seluruh kebaikan dengan berdoa dan munajat kepada-Nya. Begitu juga dengan melakukan solat Istisqa’.

Semoga Allah SWT menghindarkan kita daripada sebarang fitnah, bencana dan petaka serta mengurniakan pelbagai nikmat yang membawa kebahagiaan kepada kita. Mudah-mudahan akhirnya negara kita Malaysia memperolehi seperti yang disifatkan, Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin.

Kami akhiri perbincangan ini dengan doa Istisqa’:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سُقِيَا رَحْمَةٍ وَلاَ سُقْيَا عَذَاب ٍوَلاَ مَحْقٍ وَلاَ بَلاَءٍ وَلاَ هَدَمٍ وَلاَ غَرْقٍ اللَّهُمَّ عَلَى الظِّرَابِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثاً مُغِيْثا،ً هَنِيْئاً مَرِيْئاً مَرِيْعاً، غَدَقاً مُجَلَّلاً عَاماً، دَائِماً إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ اللَّهُمَّ اسْقِنَا الغَيْثَ وَلاَ تَجْعَلْنَا مِنَ القَانِطِيْنَ اللَّهُمَّ إِنَّ بِالعِبَادِ وَالبِلاَدِ وَالْبَهَائِمِ وَالخَلْقِ مِنَ الجُهْدِ وَالجُوْعِ وَالضَّنْكِ مَا لاَ نَشْكُوْ إِلاَّ إِلَيْكَ اللَّهُمَّ أَنْبِتْ لِنَا الزَّرْعَ وَأَدِرَّ لَنَا الضَّرْعَ وَاسْقِنَا مِنْ بَرْكَاتِ السَّمَاءِ وَأَنْبِتْ لَنَا مِنْ بَرْكَاتِ الأَرْضِ اللَّهُمَّ وَاكْشِفْ عَنَّا مِنَ البَلاَءِ مَا لاَ يَكْشِفُهُ غَيْرُكَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَغْفِرُكَ إِنَّكَ كُنْتَ غَفَّاراً فَأَرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْنَا مِدْرَاراً

Maksudnya:Ya Allah! Jadikanlah hujan itu rahmat, bukan azab, bukan kemusnahan, bukan bala, bukan kehancuran dan bukan kebanjiran. Ya Allah! Turunkanlah hujan ke atas bukit, kawasan berpasir, kawasan tumbuh-tumbuhan dan kawasan lembah. Ya Allah! Turunkanlah hujan di sekeliling kami bukan di atas kami. Ya Allah! Turunkanlah hujan yang menyelamatkan kami daripada kegetiran. Hujan yang menyegarkan dan menyuburkan, hujan yang turun lebat di merata bumi, hujan yang sentiasa mendatangkan manfaat sehingga hari kiamat. Ya Allah! Siramilah kami dengan hujan dan janganlah Engkau jadikan kami golongan yang berputus asa. Ya Allah! Sesungguhnya hamba-hamba-Mu dan negara ini telah didatangi kesukaran, kesempitan hidup dan kelaparan. Kami tidak mengadu melainkan kepada-Mu. Ya Allah! Tumbuhkanlah tanam-tanaman kami, banyakkanlah susu ternakan kami, turunkanlah kepada kami keberkatan daripada langit, dan tumbuhkanlah bagi kami dari bumi tanaman yang berkat. Hindarkanlah bala bencana daripada kami yang tiada sesiapa yang boleh menghindarkannya selain-Mu. Ya Allah! Kami memohon ampun kepada-Mu kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, maka turunkanlah hujan yang lebat ke atas kami.

Riwayat al-Bukhari (967) dan Muslim (897)