Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1200: HUKUM MENCERAIKAN ISTERI DENGAN TAMBAHAN LAFAZ INSYA ALLAH

CERAI INSYA ALLAH.JPG

SOALAN

Saya ingin bertanya S.S. Datuk Mufti. Apakah hukum seorang suami mengatakan kepada isterinya dengan lafaz: “Insya Allah aku ceraikan kamu”. Mohon penjelasan Tuan Mufti.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Dalam Islam, penceraian adalah penyelesaian terakhir dalam rumah tangga jika sudah tidak dapat diselamatkan dengan cara yang lain. Perceraian pada kebiasaanya memberi kesan yang buruk bukan hanya kepada pasangan suami isteri sahaja, bahkan ia turut memberi kesan yang buruk kepada anak-anak, keluarga terdekat dan masyarakat secara umumnya.

Berhubung dengan soalan diajukan kepada kami, jumhur (majoriti) ulama’ dalam mazhab Imam asy-Syafi’e, Imam Abu Hanifah dan satu riwayat dalam mazhab Imam Ahmad berpendapat bahawa tidak jatuh talak bagi lafaz cerai yang dilafazkan bersama dengan lafaz insyaAllah jika suami yang melafazkan talak tersebut menyebut perkataan insyaAllah dengan niat bahawa talak akan jatuh dengan kekuasaan Allah dan kehendak-Nya. Ini kerana kekuasaan Allah dan kehendak-Nya adalah di luar kawalan manusia. Hukumnya seperti melafazkan talak dengan ta’liq ke atas perkara yang mustahil. Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/302), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (2/513-514), al-Mughni (7/216).

Para ulama’ berhujah mengenai masalah ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang berkaitan dengan sumpah:

مَنْ حَلَفَ على يَمِينٍ فقال : إنْ شاءَ اللهُ ، فلا حِنْثَ عليهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah, kemudian menyebut insyaAllah, maka tidak ada dosa ke atasnya (tidak perlu menyempurnakan sumpahnya)”

Riwayat at-Tirmizi (1531)

Namun begitu, jika suami menyebut lafaz talak bersama-sama dengan perkataan insyaAllah dengan niat untuk mendapatkan keberkatan daripada perkataan tersebut atau ia merupakan satu kebiasaan baginya melafazkan perkataan insyaAllah, maka jatuh talak ke atasnya. Rujuk Raudhah at-Tolibin (8/96), Mughni al-Muhtaj (3/302).

Pendapat kedua dalam masalah ini adalah jatuh talak jika seseorang menyebut lafaz cerai bersama dengan lafaz insyaAllah, tidak mengira apa jua niatnya. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad. Rujuk al-Mughni (7/216), Hasyiyah ad-Dasuki ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/392).

Mereka berhujah dengan athar daripada Abdullah bin Abbas RA, Abdullah bin Umar RA dan Abu Sa’id al-Khudri RA:

Abdullah bin Abbas RA telah berkata:

إِذَا قَال الرَّجُل لاِمْرَأَتِهِ أَنْتِ طَالِقٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى فَهِيَ طَالِقٌ

Maksudnya: “Jika seorang lelaki mengatakan kepada isterinya: Kamu diceraikan, insyaAllah. Maka dia (isteri) telah diceraikan oleh lelaki tersebut”

Abdullah bin Umar R.Anhuma dan Abu Sa’id al-Khudri RA pula telah berkata:

كُنَّا مَعَاشِرَ أَصْحَابِ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَرَى الاِسْتِثْنَاءَ جَائِزًا فِي كُل شَيْءٍ إِلاَّ فِي الْعِتَاقِ وَالطَّلاَقِ

Maksudnya: “Kami para sahabat Rasulullah SAW berpandangan bahawa istisna’ (pengecualian) harus dalam semua perkara kecuali pada hal pembebasan hamba dan penceraian”

  

Kesimpulan

Dalam masalah ini, kami cenderung untuk memilih pendapat majoriti ulama’ termasuk pendapat dalam mazhab Imam al-Syafi’e bahawa tidak jatuh talak jika seseorang itu melafazkannya dengan niat untuk menyandarkannya kepada kekuasaan dan kehendak Allah.

Adapun athar daripada Abdullah bin Abbas RA, Abdullah bin Umar RA dan Abu Sa’id al-Khudri RA, ia telah dinukilkan oleh Imam ibn Qudamah Rahimahullah dalam kitab karangannya, al-Mughni (7/216), namun tidak dijumpai jalan periwayatannya. Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (37/345).

Namun begitu, kami ingin menasihatkan agar dirujuk perkara ini kepada pihak mahkamah syariah bagi proses pengesahan, terutamanya berkenaan dengan niat suami ketika melafazkan lafaz talak berserta dengan perkataan insyaAllah.

Kami juga ingin menasihati pasangan suami isteri, terutamanya para suami agar tidak bermudah-mudah dalam hal yang berkaitan dengan lafaz penceraian. Ini kerana lafaz cerai adalah satu perkara yang amat mudah untuk dilafazkan, tetapi mempunyai implikasi yang sangat besar.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.