Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1333: PANDUAN SOLAT KETIKA MENGANDUNG

 Screen Shot 2019 07 25 at 3.26.58 PM

SOALAN

Saya ingin bertanya kepada mufti, saya sedang mengandung dan mengalami kesukaran untuk ruku’ dan sujud disebabkan kandungan saya ini. Bagaimanakah saya hendak mendirikan solat?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Solat adalah ibadah yang wajib ke atas umat Islam seluruhnya. Sesungguhnya balasan bagi orang-orang yang meninggalkan solat itu sangat berat seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT:

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ ﴿٤٢﴾ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ

Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" (42) Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; 

Surah al-Mudassir: 42-43

Maka, tidak kira apa keadaan sekalipun, umat Islam dilarang sama sekali meninggalkan solat. Namun, para fuqaha’ mengeluarkan empat keadaan yang tidak akan diazab sekiranya meninggalkan solat. Syeikh Hassan al-Kaf menyebutkan empat keadaan yang dikecualikan daripada azab ialah (lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi Qism al-Ibadah, 190):

  • Orang yang ketiduran sebelum masuknya waktu solat dan hanya tersedar selepas waktu solat.
  • Lupa secara sendiri atau kerana disebabkan sesuatu yang harus. Sekiranya disebabkan suatu yang makruh atau haram seperti mabuk arak dan dadah, tidak termasuk di dalam pengecualian.
  • Meninggalkan solat untuk dijama’kan pada waktu seterusnya atau sebelumnya telah dijama’kan bagi orang yang bermusafir, atau terlantar kesakitan atau sebab-sebab lain.
  • Dipaksakan untuk meninggalkan solat dan orang yang dipaksa mestilah cukup syarat-syaratnya untuk dimasukkan di dalam pengecualian ini.

Orang yang sedang uzur atau hamil tidak termasuk di dalam pengecualian di atas. Namun, Islam tidaklah menzalimi umatnya dengan memaksa umatnya sama ada yang sedang sakit atau wanita yang sedang hamil yang mempunyai kepayahan untuk melakukan pergerak tertentu. Sekiranya diperhatikan, Allah SWT telah berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا

Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)

Surah al-Taghabun:16

Maka di atas kesempitan ini akan diberikan jalan keluar untuk orang yang sedang keuzuran untuk melakukan solat semampunya. Di dalam suatu hadith yang diriwayatkan oleh ‘Imran Bin Husain RA, beliau yang sedang menghidap buasir bertanya kepada Baginda Nabi SAW tentang solatnya, lalu Baginda SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah secara berdiri, sekiranya kamu tidak mampu, maka (solat) dalam keadaan duduk, sekiranya kamu tidak mampu, maka (solat) dalam keadaan berbaring.

Riwayat al-Bukhari (1117)

Maka bertitik tolak daripada hadith di atas, wanita yang sedang hamil berkemampuan untuk solat seperti biasa, maka hendaklah menyempurnakannya. Adapun wanita yang tidak berkemampuan untuk berdiri, maka dibenarkan solat secara duduk.

Jumhur ulama’ menyebutkan dalam situasi mereka yang mempunyai masalah untuk ruku’ dan sujud secara biasa, maka dilakukan pada kadar kemampuan sahaja. Lihat al-Mausuah al-Kuwaitiyah (27/ 264).

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah yang kami nyatakan di atas, wanita hamil yang mempunyai masalah untuk melakukan mana-mana perbuatan solat tetap wajib menunaikan solat. Namun, diberi keringanan terhadapnya dengan dibenarkan untuk melakukan perbuatan solat tersebut seperti ruku’ atau sujud pada kadar kemampuannya sahaja.

Semoga kita diberikan kefahaman yang jelas dalam mempraktikkan syariat-Nya. Amin.