Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1350: HUKUM SOLAT JUMAAT BAGI ORANG LELAKI YANG CACAT ANGGOTA (OKU)

jumaat lelaki oku.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah hukum tidak solat jumaat bagi orang lelaki yang cacat anggota (OKU)? Saya OKU fizikal yang berkeadaan tempang dan hanya boleh menggunakan tangan kanan sahaja. Mohon pencerahan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Solat Jumaat merupakan satu kewajipan yang amat dituntut dalam Islam. Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).

Surah al-Jumu’ah (9)

Sembahyang Jumaat merupakan khususiat (keistimewaan Bagi Umat Nabi SAW). Ia merupakan ibadat yang sangat agung dan mempunyai fadhilat yang banyak. Antaranya ialah sebagai penghapus dosa dalam setiap minggu. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya: “Solat Fardhu lima waktu, (Sembahyang) Jumaat hingga ke Jumaat (seterusnya), Ramadahan hingga Ramadhan seterusnya adalah semuanya ini penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar.” 

Riwayat Muslim (209)

Syarat Wajib Solat Jumaat

Syarat wajib solat Jumaat ada tujuh, iaitu:

  • Islam - tidak wajib bagi orang kafir asli dan wajib bagi yang murtad maka apabila ia kembali kepada Islam wajib baginya menggantikannya dengan solat zohor.
  • Baligh - tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh tetapi sah jika ia sudah mumayyiz.
  • Berakal - tidak wajib dan tidak sah bagi orang yang gila.
  • Merdeka - tidak wajib tetapi sah ke atas hamba abdi walaupun hamba Muba’ad dan Mukatab.
  • Lelaki - tidak diwajibkan tetapi sah untuk orang perempuan dan khunsa.
  • Sihat - tidak wajib bagi orang sakit dan yang uzur menurut syarak..
  • Bermukim dan Bermustautin - tidak wajib bagi orang yang musafir. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah bahagian Ibadah, hlm. 324)

 

Ancaman Pada Mereka Yang Sengaja Meninggalkan Solat Jumaat

Ancaman Rasulullah SAW terhadap mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat perlu diberi perhatian. Abu al-Ja`d meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya"Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya."

Riwayat al-Tirmizi (500)
Beliau menyatakan hadis ini hadis hasan

Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa ada uzur syar‘i hukumnya adalah berdosa besar, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicapkan oleh Allah sebagai hati orang munafiq. Abu al-Ja‘di al-Dhamriy R.A meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا طَبَعَ اللهُ عَلَى قَلْبِهِ وَجَعَلَ قَلْبَهُ فَهُوَ قَلْبُ الْمُنَافِقِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali nescaya Allah akan mencap hatinya, dan (Allah) menjadikan hatinya itu seperti hati orang munafiq.”

Riwayat al-Tirmizi (500), al-Nasa’ie (8813) dan Ibn Khuzaimah (1858)

 

Keuzuran Yang Mengharuskan Meninggalkan Sembahyang Jumaat

Sekalipun sembahyang Jumaat itu hukumnya wajib, tetapi adakalanya seseorang itu diharuskan meninggalkan sembahyang Jumaat jika terdapat keuzuran yang diharuskan oleh syarak. Antara keuzuran syar‘i yang berkaitan dengan soalan yang dinyatakan itu ialah: Sakit yang menghalangi untuk pergi sembahyang berjemaah ke masjid, sama ada jika dia pergi ke masjid akan menambahkan lagi sakit itu atau melambatkan sembuh. Begitu juga sakit cirit birit kerana takut akan mencemarkan kebersihan masjid. Adapun sakit biasa seperti sakit kepala, gigi dan demam ringan tidaklah dikira sebagai uzur yang mengharuskan tidak bersembahyang Jumaat.

Bagi orang yang ada keuzuran yang menyebabkannya tidak wajib menunaikan sembahyang Jumaat baginya sama ada untuk menunaikan sembahyang Zuhur ataupun sembahyang Jumaat. Jika dia bersembahyang Jumaat, maka sembahyang Jumaat sudah memadai, dia tidak perlu lagi untuk bersembahyang Zuhur.

Adalah disunatkan bagi orang yang menyangkakan keuzurannya meninggalkan Jumaat itu akan hilang supaya melambatkan sembahyang Zuhur sehingga ia berputus harapan untuk pergi ke masjid mengerjakan sembahyang Jumaat kerana keuzurannya itu boleh hilang dan dia dapat menunaikan sembahyang Jumaat itu. Walau bagaimanapun jika dia mengerjakan sembahyang Zuhur pada awal waktu kemudian hilang keuzurannya tidaklah wajib baginya sembahyang Jumaat walaupun masih ada waktu untuk mengerjakan sembahyang Jumaat.

Adapun jika dia menyangkakan yang keuzurannya itu tidak akan hilang maka disunatkan baginya untuk bersegera mengerjakan sembahyang Zuhur demi mencapai fadhilat sembahyang pada awal waktu. Jika orang yang ada keuzuran itu telah mengerjakan sembahyang Zuhur kemudian dia mengerjakan sembahyang Jumaat lagi, maka sembahyang fardhu yang dituntut ke atasnya sudah tertunai dengan sembahyang Zuhurnya, manakala sembahyang Jumaat adalah sebagai sembahyang sunat baginya.

Daripada penjelasan di atas, sembahyang Jumaat adalah merupakan satu kewajipan yang tidak dapat ditinggalkan. Oleh itu, ingatlah bahawa sembahyang Jumaat tidak boleh ditinggalkan melainkan jika ada keuzuran yang dibenarkan syarak.

Ulama menyatakan wajib solat Jumaat bagi sesiapa yang mendengar azan (dalam keadaan suasana angin yang tenang dan keadaan yang tidak bising)  dari hujung kampung atau bandar yang diwajibkan didirikan Jumaat di dalamnya . (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah bahagian Ibadah, hlm. 324)

 

Kesimpulan

Berdasarkan pada penjelasan di atas maka bagi seseorang yang cacat anggota fizikalnya, dia tidaklah termasuk keuzuran yang dibenarkan untuk meninggalkan Jumaat, tetapi jika keuzurannya termasuk seperti mana yang dinyatakan di atas maka ia diharuskan untuk meninggalkan Jumaat.

Kami nyatakan kepada saudara, pertama perlu niat untuk ke masjid bagi mendirikan solat Jumaat. Keduanya, jika tiada orang yang boleh membantu untuk sampai ke masjid serta masyaqqah kerana keadaan fizikal seperti saudara nyatakan, makanya gugurlah solat Jumaat ke atas saudara.

Semoga Allah SWT kurniakan taufik dan hidayah kepada kita serta istiqamah dalam mengamali perintah Tuhan. Amin.

Kami akhiri dengan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu takut kepada Allah SWT sedaya upaya kamu.

(Surah al-Taghabun: 16)