Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1358: TAFSIR AYAT ANTARA DUA MASLAHAT: TARJIH

TAFSIR DUA MASLAHAT.JPG

 

Soalan

Boleh SS Dato’ Seri. Boleh tafsirkan maksud ayat 94 daripada Surah Taha berkenaan mentarjihkan antara dua maslahat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قَالَ يَا ابْنَ أُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي ۖ إِنِّي خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي

Maksudnya: Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ' "

Surah Taha (94)

Ibn Kathir berkata: Menyebut dengan nama anak ibu adalah untuk melembutkan, sedangkan Harun dan Musa adalah saudara seibu sebapa. Sebutan ibu akan menambahkan lagi perasaan kasih sayang dan kelembutan. Dengan sebab itu, beliau menyebut. Begitu juga, ia adalah permohonan maaf daripada Harun kepada Musa dengan sebab kelewatannya di mana dia tidak dapat bersama dengannya. Justeru, apa yang berlaku dikhabarkannya dengan satu alasan yang kukuh. katanya sesungguhnya aku bimbang untuk menemuimu dan mengkhabarkan berita ini. Nescaya kamu kata kepadaku, kenapa kamu tinggalkan mereka sendirian dan kamu menyebabkan atau membiarkan perpecahan antara mereka. Kamu tidak meraikan apa yang aku perintahkan denganmu ketika aku wakilkan kamu untuk menggantikanku pada mereka. Ibn Abbas berkata: Harun adalah orang yang dihormati dan dipatuhi. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 9/362)

Syeikh al-Maraghi berkata: Penyusun kitab al-Kashsyaf berpendapat: Nabi Musa AS adalah seorang yang berfikiran kental, berwatak keras dalam semua aspek, sangat pemarah kerana Allah SWT dan agama-Nya. Justeru, apabila baginda melihat kaumnya menyembah patung anak lembu jantan sedangkan mereka mengetahui tanda-tanda kekuasaan Allah SWT Yang Agung, menyebabkan Nabi Musa AS tidak dapat menguasai dirinya lalu melemparkan lembaran Kitab Taurat dengan perasaan marah kerana Allah SWT dan bertindak kasar kepada saudaranya selaku pemerintah ke atas kaumnya. Akibat kemarahan itu, Nabi Musa AS telah menerkam Nabi Harun AS seperti seorang musuh menyerang lawannya dan bertindak kasar dengan menarik rambutnya yang lebat dan janggutnya.

Selepas kejadian tersebut, Nabi Harun AS mengemukakan beberapa alasan mengapa dia tidak bertindak membasmi kemungkaran kaumnya kerana Nabi Harun AS tidak mahu dianggap sebagai menderhakai perintah Nabi Musa AS supaya memelihara kepentingan kaumnya.

Nabi Harun AS bimbang sekiranya baginda bertindak menghapuskan kemungkaran kaumnya ini akan menimbulkan perpecahan antara mereka. Oleh sebab itu, Nabi Harun AS membiarkan sahaja tindakan mereka sehingga Nabi Musa AS pulang dari Bukit Tursina dan bertindak menghukum kaumnya dengan kuasanya. Nabi Harun AS tidak menghapuskan kemungkaran kerana bimbang Nabi Musa AS mencelanya kerana melanggar amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Ini kerana semasa Nabi Musa AS mahu pergi ke Bukit Tursina, Baginda AS mengamanahkan kepada Nabi Harun AS mengawasi kaumnya dan tidak mengikut serta melakukan kerosakan.

Kesimpulannya, Nabi Harun AS bertindak dengan keputusan yang betul menurut fikirannya bagi memelihara dan mengatur kehidupan mereka supaya perjalanan kehidupan mereka tidak musnah. Nabi Harun AS bertindak demikian kerana mengelakkan celaan Nabi Musa AS ke atas dirinya. Nabi Harun AS mahu Nabi Musa AS melihat sendiri perkara yang dilakukan oleh kaumnya. Apabila Baginda pulang dari Bukit Tur, Nabi Musa AS marah dan mahu membunuh Nabi Harun AS kerana tidak bersikap tegas menghapuskan kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4358)

Syeikh Tahir Ibn Asyur berkata: Ijtihadnya ini dalam mengurustadbir siyasah umat apabila bertentangan padanya dua maslahat; iaitu maslahat memelihara aqidah dan maslahat memelihara daripada peperangan yang terdapat padanya maslahat menjaga nyawa, harta dan persaudaraan sesama umat. Lalu Harun mentarjihkan maslahat yang kedua. Ini kerana beliau berpendapat ia lebih berpanjangan dan kekal sedangkan maslahat menjaga aqidah akan diperoleh dengan kepulangan Musa yang akan menghentikan penyembahan anak lembu tersebut. Berbeza dengan maslahat menjaga nyawa, harta dan perpaduan apabila tergugat, maka sukar untuk menyelesaikannya.

Ini terkandung dalam firman Allah SWT “إِنِّي خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي” (Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!"). Ijtihadnya tersebut adalah marjuh kerana menjaga kaedah yang utama bagi Syari’ah (aqidah) adalah lebih penting daripada menjaga usul yang bercabang-cabang padanya. Ini kerana maslahat aqidah yang benar merupakan ibu kepada segala maslahah yang dengannya masyarakat akan menjadi sejahtera. Hal ini sepertimana yang telah kami jelaskan dalam kitab Usul Nizam al-Ijtima’ al-Islami. Disebabkan itu, Musa tiada rasa bimbang atas perkara tersebut. Ini kerana Harun memahami tugasnya di mana dia meninggalkan keadaan kaumnya dan kesesatan mereka dan bersama dengan saudaranya Musa serta mengetahui ia membawa kepada perpecahan antara mereka.

Sesungguhnya kemuliaan Syariah adalah dengan menjaga Usulnya dan tidak bermudah-mudahan padanya. Dengan kemuliaan Syariah akan kekal pelaksanaannya dalam kalangan umat dan beramal dengannya sepertimana saya telah terangkan dalam kitab Maqasid al-Syari’ah. (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 8/293-294)

Sayyid Qutb berkata: Ayat tersebut menjelaskan pendirian Harun yang sebenar apabila beliau mendedahkan kepada saudaranya Musa untuk menenangkan kemarahannya dengan membangkitkan hubungan darah mereka yang dekat. Begitulah kita dapati Harun mempunyai saraf dan perasaan yang lebih tenang dari Musa. Beliau telah berjaya menyentuh titik perasaan yang amat peka pada Musa apabila beliau bercakap dengan Musa dari sudut hubungan rahim yang amat sensitif dan mengemukakan sudut pandangannya dalam bentuk kepatuhan kepada perintah Musa mengikut penilaiannya, iaitu beliau bimbang jika beliau mengendalikan perkara itu dengan kekerasan, kaum Bani Israel akan berpecah-belah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mempertahankan penyembahan patung anak lembu dan satu kumpulan lagi patuh kepada nasihat beliau, sedangkan Musa sendiri berpesan supaya menjaga perpaduan Bani Israel dan jangan menimbulkan sesuatu perkara di kalangan mereka. Tentu ini merupakan satu langkah mentaati perintah Musa dari sudut yang lain. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/550)

Kami berpendapat isu menjaga perpaduan adalah amat penting kerana apabila maraknya api permusuhan, ketika itu segala yang berkaitan dengan Maqasid Syariah terutama aqidah akan dialpakan dan diabaikan. Yang penting ketika itu hanya memuaskan hawa nafsu yang dikuasai oleh syaitan. Akibatnya buruk. Itulah pentingnya nilai perpaduan yang sewajarnya kita jaga tetapi saat yang sama, akidah hendaklah dipelihara dengan sebaik mungkin.

Semoga kita semua sentiasa memahami ayat al-Quran dengan tadabbur seterusnya menghayati dan melaksanakannya dalam kehidupan kita.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”