Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1367 : ZAKAT KE ATAS HARTA SEUMPAMA PINGGAN MANGKUK, BUKU-BUKU ATAU PAKAIAN

1367 compressed

Soalan:

Assalamulaikum wrm. wbt,

Kalau menyimpan sejumlah wang atau memiliki barangan kemas, orang Islam diharuskan mengeluarkan zakat. Bagaimana pula dengan hukum menyimpan pinggan mangkuk, buku-buku atau pakaian tetapi tidak digunakan? Apa yang perlu dilakukan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah ﷻ berfirman:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Berkata Imam Fakhruddin al-Razi:  

“Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menunjukkan kepada bahawa kadar yang diambil dari bahagian harta itu bukan kesemuanya, kerana kadar bahagian tersebut tidak disebut di sini dengan lafaz yang jelas. Akan tetapi perkara yang disebut di sini ialah firman-Nya: “sedekah”, yang dimaklumi sebagai bukan bermaksud untuk menjadikannya nakirah (lafaz umum, bukan spesifik) sehingga memadailah untuk mengambil sebahagian juzuk sahaja, sekalipun jumlah yang paling sedikit, contohnya sebiji bijirin daripada gandum, atau sedikit emas daripada kualiti yang rendah. Maka mestilah perkara yang dikehendaki daripada ayat ini adakah suatu sedekah yang diketahui sifatnya, caranya dan kuantiti, di sisi mereka, sehingga firman-Nya menyebut: “Ambillah dari harta mereka menjadi sedekah”, suatu arahan untuk mengambil sedakah itu secara yang maklum. Sedekah (atau zakat) yang telah diterangkan oleh Rasulullah ﷺ yakni diambil zakat seekor bint makhad dari dua lima ekor unta dan seejor bint labun dari tiga puluh enam ekor unta, sehingga yang selain dari itu daripada susunannya. Maka jadilah firman-Nya: “Ambillah dari harta mereka menjadi sedekah,” suatu arahan bahawa sedekah itu diambil daripada barang dan bilangan tertentu, yang mana secara zahirnya bermaksud arahan yang wajib.”

Rujuk Mafatih al-Ghaib (16/134-135)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili berkata:

“Sesungguhnya zakat harta itu diwajibkan ke atas pemilik harta. Akan tetapi, zakat itu tidak berkaitan dengan semua jenis harta yang seseorang itu miliki. Hanya sanya zakat itu terhad kepada harta yang boleh dikembangkan secara hakikat, realiti dan perbuatan, atau dengan kekuatan sehingga ia boleh dikembangkan sekalipun pemiliknya tidak mampu mengembangkannya sendiri.

Maka perkembangan itu adalah asas yang berkait dengannya zakat ke atas harta benda itu. Justeru, apabila suatu harta itu menerima perkembangan dan pertambahan maka zakat dikaitkan dengan secara mengikut, lalu dikeluarkan suatu nisbah kecil daripada pertumbuhan itu dan kekallah jumlah asal harta itu kepada pemilik, dan jumlah asal itu tidak dikenakan zakat dan tidak pula mengurangkannya. Oleh itu, wujudlah suruhan untuk menumbuhkan harta daripada pelbagai sudut yang dibenarkan oleh Syarak supaya pemilik itu dapat mengambil faedah daripada pertumbuhan ini dan pihak lain juga.

Adapun harta yang jumud yang tidak bergerak, iaitu harta yang pemilik itu mengkhususkan untuk keperluannya sahaja seperti rumah, kereta, perabot, dan pekakas-pekasan kerja, dan selainnya, maka tidak ada zakat ke atasnya. Ini kerana jika diwajibkan zakat ke atasnya sedangkan ia tidak mampu dikembangkan, nescaya hukum zakat akan menghabiskan harta itu dalam tempoh 40 tahun atau lebih cepat dari itu, sehingga terjadilah bahaya  terhadap pemiliknya itu sebagai permulaan, kemudian terhadap masyarakat dan umat sebagai pihak seterusnya. “

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/27)

Terdapat lima jenis harta yang menepati kriteria harta boleh kembang yang dikenakan zakat:

  1. Haiwan ternakan yakni unta, lembu dan kambing.
  2. Al-Mu`asysyarat yakni makanan ruji seperti gandum dan beras, dan buah-buahan yakni kurma dan anggur.
  3. Duit seperti emas, perak dan duit kertas
  4. Harta perdagangan
  5. Harta galian daripada emas dan perak, termasuk harta karun.

Rujuk Ibid (2/27)

Inilah jenis harta yang diwajibkan zakat dalam mazhab Syafie. Namun, sesuai dengan perkembangan zaman, para ulama telah meluaskan jenis-jenis harta yang diwajibkan zakat dan ketetapan ini berbeza mengikut mazhab atau negeri-negeri melalui pihak pemerintah. Walau bagaimanapun, perbezaan pendapat itu hanya seputar aplikasi prinsip harta boleh kembang sebagai kriteria wajib zakat.

Adapun barang-barang seumpama buku-buku, pinggan mangkuk, dan pakaian, ia tidak dinaskan oleh Syarak sebagai harta zakat. Tambahan lagi sifatnya tidak boleh dikembangkan, kecuali jika dijual beli maka masuklah dalam zakat perniagaan, sedangkan jika ia tidak diniagakan, maka ia tidak dapat dikembangkan lantaran nilainya sebagai keperluan manusia bersifat sangat relatif.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Kita berdoa kepada Allah ﷻ agar diberikan rezeki yang diberkati apabila kita menunaikan ibadat zakat. Amin.