Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1388: MAKSUD FIQH AL-AQALLIYYAT (الأقليات)

maksud fiqh aqalliyyatt.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh kami tahu, apa maksud Fiqh al-Aqalliyyat (الأقليات) secara ringkas?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Berkenaan maksud Fiqh, kami telah terangkannya beberapa kali sebelum ini. Kami nukilkan di sini daripada guru kami, Syeikh Mustafa al-Khin, yang menyebut: “Fiqh pada bahasa bererti faham. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَمَالِ هَـٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا

Maksudnya: Maka, apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?             

(Surah al-Nisa’: 78)

Begitu juga hadith sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ طُولَ صَلاَةِ الرَّجُلِ وَقصر خُطْبَتِهِ مَئِنَّةٌ مِنْ فِقْهِهِ

Maksudnya:Sesungguhnya seseorang yang lama solatnya dan pendek khutbahnya adalah tanda kefahamannya.”

                                                                                    Riwayat Muslim (869)

Pengertian Fiqh pada istilah pula membawa kepada dua maksud:

Pertama: Mengetahui hukum-hukum syara’ yang berkaitan dengan segala perbuatan dan perkataan mukallaf berdasarkan kepada dalil-dalil yang terperinci, iaitu nas al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan ijtihad, yang diambil daripada kedua-duanya. Contohnya mengetahui bahawa niat ketika berwudhu’ adalah wajib berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan adalah dengan niat.

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Kedua: Hukum syara’ itu sendiri. Justeru, apabila dikatakan: “Kamu mempelajari fiqh.” Ia bererti mempelajari hukum-hukum syara’ yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh yang diambil daripada al-Quran, al-Sunnah, ijma’ ulama’ dan ijtihad mereka. Contohnya, hukum-hukum wudhu’, solat, jual beli, perkahwinan dan penyusuan, jihad dan lain-lain. Kesemua hukum syara’ ini juga dinamakan fiqh dari segi istilah.

Perbezaan antara dua istilah tersebut ialah: Istilah pertama digunakan untuk mengetahui hukum-hukum. Istilah kedua digunakan pada hukum syara’ itu sendiri[1]. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/121-124)

Manakala perkataan aqalliyyat (أقليات) adalah jama’ kepada aqalliyyah (أقلية) yang memberi makna minoriti atau golongan yang sedikit. Ibn Manzur di dalam Lisan al-‘Arab menyebut: “Sedikit adalah lawan kepada banyak.” (Lihat Lisan al-Arab, 11/563)

Di dalam al-Misbah al-Munir disebut al-aqalliyyah merupakan: “Lawan kepada banyak. Al-Qillah yang dikehendaki pada bahasa iaitu nadir, atau ketiadaan atau kekurangan.” (Lihat al-Misbah al-Munir, 2/514)

Allah SWT berfirman:

وَاذْكُرُوا إِذْ كُنتُمْ قَلِيلًا فَكَثَّرَكُمْ

Maksudnya: “Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai.”

Surah al-A’raf (86)

Dr. Ali al-Kattani menyebut: “Al-Aqalliyyah merupakan kelompok manusia yang hidup di samping kelompok manusia yang majoriti dari segi bilangan dan berbeza padanya dari sudut sifat yang khusus yang kemudian akhirnya menatijahkan hubungan interaksi yang berbeza daripada interaksi golongan majoriti. (Lihat al-Aqalliyyat al-Islamiyyah fi al-‘Alam al-Yaum oleh Dr. Ali al-Kattani)

Perkataan Fiqh al-Aqalliyyat bukanlah istilah yang masyhur pada zaman dahulu, tetapi ia mula dikenali pada kurun yang lalu sekitar kurun ke-15 Hijrah apabila munculnya badan-badan Islam yang memberi keprihatinan terhadap isu-isu umat Islam yang berhijrah ke negara-negara barat. Antaranya badan Rabitah al-‘Alam al-Islami, Munazzamah al-Ta’awun al-Islami yang menggunakan kalimah aqalliyyat.

Istilah tersebut menjadi perdebatan hangat sehinggalah Majlis Eropah telah mengadakan persidangannya di Dublin dan telah bersetuju dengan istilah Fiqh al-Aqalliyyat (الأقليات) sehingga menjadi ucapan utama dan istilah yang telah dikenali di seluruh dunia.

Begitu juga istilah ini telah mendapat persetujuan dengan mengemukakan takrif Fiqh Aqalliyyat (الأقليات) ialah hukum-hukum feqah yang berkaitan dengan orang Islam yang tinggal di negara bukan Islam. (Lihat Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat, hlm. 252)

Antara ciri-ciri Fiqh al-Aqalliyyat sepertimana yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi ialah :

  • Menggabungkan khazanah silam dengan keadaan –keadaan semasa dalam menetapkan sesuatu hukum.
  • Mengaitkan keuniversalan Islam dengan realiti masyarakat kini sehingga ia dapat menjawab persoalan masyarakat dengan baik.
  • Keseimbangan antara teks-teks syariat yang bersifat cabangan dengan tujuan-tujuan syariat. Ia menggabungkan antara kedua-duanya sekali bagi menggambarkan kesyumulan ajaran Islam.
  • Memperhatikan setiap perkara yang telah diputuskan oleh ulamak terdahulu bahawa fatwa akan berubah dengan perubahan zaman, masa dan tempat.
  • Menjaga keperibadian muslim bagi setiap individu untuk berinteraksi dengan masyarakat sekeliling sehingga mereka dapat mempengaruhi mereka. (Lihat Fi Fiqh al-Aqalliyyat al-Muslimah, hlm. 35-36)

Fiqh al-Aqalliyyat (الأقليات) merupakan satu bentuk fiqh yang memelihara keterkaitan hukum Syarak dengan aspek-aspek suatu komuniti dan tempat di mana mereka tinggal. Cara mencapainya adalah memerlukan kepada aplikasi sebahagian ilmu kemasyarakatan secara umum dan ilmu sosiologi, ekonomi dan beberapa ilmu politik dan hubungan internasional secara khusus. (Lihat Maqasid al-Syari’ah oleh Taha Jabir al-‘Alwani, hlm. 97)

Dr Yusuf al-Qaradawi ketika menyentuh berkenaan kepentingan Fiqh al-Aqalliyyat (الأقليات) dalam perkembangan Islam di Barat, menyebut bahawa umat Islam melalui tujuh tahap perkembangan iaitu identifikasi, kemunculan, gerakan, pembentukan masyarakat, pembangunan, pemantapan dan interaksi. Dan umat Islam di Barat ketika ini sudah memasuki fasa terakhir, iaitu interaksi dengan non Muslim. Umat Islam di Barat sudah mapan, mampu mengekspresikan dan melindungi identiti keagamaan mereka. Kerana itu, mereka juga perlu menyampaikan dakwah ajaran-ajaran Islam kepada masyarakat non-Muslim. (Lihat Fi Fiqh al-Aqalliyyat, hlm. 23)

 

Kesimpulan

Dengan perkembangan masa kini, dunia seolah-olah menjadi sempit dan hampir. Ini kerana, kemudahan pengangkutan yang terlalu moden berbanding dengan situasi pada masa dahulu. Walaupun begitu, sesebuah negara yang mempunyai majoriti penganut bukan Islam sedangkan umat Islam amat sedikit, makanya budaya dan resam setidak-tidaknya mempengaruhi umat Islam. Begitu juga beberapa isu berkaitan dengan muamalah dan interaksi antara Muslim dan non-Muslim. Makanya sudah tentu mereka berhajat dengan sebuah kefahaman di mana Islam tetap unggul untuk diamalkannya tanpa merasa sukar dan sempit. Justeru, Fiqh al-Aqalliyyat penting difahami.

Saya teringat kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam muqaddimah kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam. Antara lain menyebut: Jabatan Umum Kebudayaan Islam Universiti al-Azhar, memberitahu kepadaku keinginan masyayikh universiti tersebut agar saya mengambil bahagian dalam projek ilmiahnya, iaitu menyusun buku-buku kecil dan yang sederhana untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris secara tidak langsung memperkenalkan agama Islam dan pengajarannya ke benua Eropah dan Amerika untuk menyedarkan kaum Muslimin di sana, dan juga untuk menyampaikan seruan dakwah kepada mereka yang bukan Islam.

Sebenarnya, rencana menyusun buku-buku seperti ini, sama ada kecil atau besar adalah sangat baik sekali dan sudah sampai masanya, yang mana menurut pandanganku, ianya amat wajar direalisasikan sejak dahulu lagi. Ini kerana umat Islam di Eropah dan Amerika memang tidak mengenali Islam, kecuali sedikit sahaja, sedangkan yang sedikit itu pun tidak sepi daripada kekeliruan dan kesalahan.

Seorang teman lepasan Universiti al-Azhar yang kebetulan dihantar ke salah sebuah wilayah dari negara Amerika Syarikat baru sahaja menulis dan memberitahuku: “Sesungguhnya kebanyakan orang Islam di wilayah itu mencari mata pencariannya dengan membuka bar-bar untuk berniaga beraneka macam arak dan minuman keras dan mereka tidak mengetahui bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah dan merupakan antara larangan besar dalam Islam.”

Katanya lagi: “Ramai dari kalangan lelaki Islam yang berkahwin dengan wanita-wanita Kristian dan Yahudi dan ada pula yang sampai mengahwini wanita penyembah berhala dan mereka membiarkan wanita Islam terdedah dirinya dalam kerosakan dan mereka berbuat begini dan begitu…”

Jika beginilah gaya kehidupan orang-orang yang beragama Islam, maka apakah pendapatmu tentang orang-orang yang bukan Islam itu pula? Sesungguhnya, mereka tidak mengenal Islam itu, selain contoh-contoh yang buruk, gejala-gejala yang jelek tentang Islam dan utusan Islam, iaitu Nabi Muhammad SAW dan juga penganut-penganut agama Islam.

Satu gambaran yang kerap dipropagandakan oleh Kristian dan penjajahan yang penuh dengan racun berbisa bertujuan semata-mata untuk mencemarkan gambaran sebenar agama Islam serta mengelirukannya di mata khalayak ramai dengan menggembleng segala keupayaannya dalam apa jua cara sekalipun, sedangkan kita sebagai umat Islam terus lalai dalam hal ini dan terus leka untuk mengendalikan permasalahan ini.

Sekarang, sudah sampai masanya untuk memulakan rencana ini, iaitu untuk merealisasikan cita-cita yang diwajibkan oleh dakwah kepada Islam yang sesungguhnya dititikberatkan dalam permasalahannya.

Justeru, perkara ini adalah suatu langkah yang akan diberkati Allah SWT, yang wajar sekali kita galakkan mereka yang bekerja kuat untuk melindungi dakwah Islamiah itu serta melaksanakan cita-citanya di dalam al-Azhar dan di luarnya dengan harapan agar mereka melipatgandakan perhatian mereka terhadap cita-cita ini serta mendoakan agar mereka memperolehi taufik daripada Allah SWT dalam pelaksanaannya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 5-8)

Semoga dengan kefahaman tentang Fiqh al-Aqalliyyat menjadikan kita berlapang dada dan meraikan sebahagian pendapat sahabat-sahabat kita di negara barat atau yang bukan disifatkan sebagai negara Islam. Inilah sifat samahah atau toleransi Islam agar semua umatnya dapat beramal dengan Islam sebaik-baiknya.

 

__________________________________

 

Nota Hujung:

 

[1] Takrif feqah di sisi Imam Abu Hanifah pula ialah:

مَعْرِفَةُ النَّفْسِ مَالَهَا وَمَا عَلَيْهَا

Maksudnya: Iaitu mengenali jiwa, apa yang menjadi haknya dan apa yang menjadi kewajiban ke atasnya. (Lihat Mir’at al-Usul, 1/44 dan al-Taudih li Matni al-Tanqih, 1/10)

Guru kami, Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Ma’rifah dengan maksud mendapat dan memahami segala juzuk berdasarkan dalil. Dikehendaki dengannya di sini adalah sebabnya. Iaitu penguasaan yang terhasil daripada pengamatan pelbagai kaedah secara berulangan. (Lihat Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/29)